'Siasat tak perlu tiga bulan, hanya setengah hari'

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertikaikan kenyataan bekas menteri Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz mengenai isu 40,000 hektar tanah Kementerian Pertahanan yang diswastakan.


Menurut Najib, siasatan mengenai isu tidak perlu mengambil masa sehingga tiga bulan kerana hanya boleh diselesaikan dalam setengah hari.


“Tan Sri Rafidah Aziz menjawab persoalan saya hari ini dan turut bertegas dengan sumpah beliau bahawa ‘setiap inci tanah’ berjumlah 40,000 hektar Kementerian Pertahanan dan tentera telah diswastakan dan kini dimiliki oleh tiga individu. Dia menggesa saya untuk bersabar untuk menanti tuduhan dengan memetik kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada 14 Jun lalu bahawa setiap tuduhan kesalahan terhadap kementerian tersebut akan disiasat.


“Persoalan saya ialah perlukah mengambil masa tiga bulan untuk menentukan bahawa setiap inci tanah kementerian dan tentera sudah terletak bawah nama tiga individu? Sekadar memeriksa Surat Hakmilik tanah sudah tahu. Tak sampai setengah hari pun,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Najib tanya apa jadi kepada dua tuduhan terhadap dirinya]


Semalam, Najib membangkitkan persoalan mengenai perkembangan dua tuduhan terhadap dirinya sebelum PRU14 termasuk isu 40,000 hektar tanah Kementerian Pertahanan.


Rafidah dalam kenyataan balasnya di sebuah portal mempersoalkan mengapa Najib tidak sabar untuk disiasat.


Menurut Rafidah, terdapat kertas mesyuarat Kabinet bagi membuktikan dakwaannya dan pentadbiran hari ini boleh mendedahkannya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]