Tubuh Luzwam untuk pengurusan zakat lebih sistematik

in Nasional by


GEORGETOWN – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) mencadangkan Lembaga Urusan Zakat dan Wakaf Malaysia (Luzwam) ditubuhkan agar wang zakat dapat diagihkan kepada golongan asnaf yang benar-benar memerlukan.


Presidennya, Tan Sri Mohd Yusoff Latif berkata, penubuhan Luzwam itu juga dilihat dapat mewujudkan satu organisasi kutipan dan pengurusan zakat di peringkat Persekutuan yang lebih moden, sistematik dan profesional.


Menurutnya, jika ia ditubuhkan, Luzwam boleh dijadikan contoh atau model kepada seluruh dunia seperti Lembaga Urusan Tabung Haji yang diangkat sebagai contoh kejayaan pemikir Islam Malaysia di peringkat dunia.


“Pemenang mencadangkan Luzwam ditubuhkan adalah untuk manfaat orang Islam itu sendiri. Antara matlamat strategik cadangan penubuhan ini adalah mewujudkan mekanisme yang mana zakat pendapatan atau gaji pegawai serta kakitangan kerajaan dapat diagihkan kepada asnaf yang benar layak.


“Ia perlu diagihkan seluruh negara melewati sempadan dan tidak dipisahkan mengikut negeri seperti yang diamalkan sekarang. Contohnya di Selangor, mungkin golongan asnaf yang ada tidak ramai jika dibandingkan di negeri lain seperti Kelantan, Sabah dan Sarawak. Maknanya kutipan zakat dibuat secara berpusat.


“Maka wang zakat yang dikutip itu, boleh disalurkan kepada golongan ini jika Luzwam ditubuhkan. Saya berharap cadangan ini akan dipertimbangkan, dinilai dan diambil kira bagi kebangkitan sosial masyarakat Islam di negara ini,” katanya kepada media di pejabatnya tadi.


Tambahnya, Luzwam juga akan memperkasakan ekonomi masyarakat Islam dalam penyediaan infrastruktur antaranya masjid; sekolah agama; klinik dan hospital Islam serta membeli tanah untuk diwakafkan.


Mohd Yusoff berkata, cadangan memorandum itu akan diserahkannya kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raya, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini untuk diteliti dan dipertimbangkan.


Menurutnya, cadangan itu dibuat selepas Raja-raja Melayu berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam peringkat Persekutuan bagi tujuan penambahbaikan institusi Islam.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]