Wajar pertimbang sebelum rasmi Bersatu di Sarawak

in Politik by


KUCHING – “Pertimbangan sewajarnya harus diambil kira terutama dari segi sokongan rakyat, jika mahu menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini” kata Ahli Majlis Pemimpin Tertinggi Bersatu Mohd Redzuan Md Yusof.


Katanya beliau tidak mahu penubuhan parti itu kelak dilihat sebagai sebuah parti yang hanya mahu memecah-belahkan kesatuan serta menandingi parti sedia ada.


“Kita mahu setiap anggota faham dulu hasrat sebenar parti ini ditubuhkan, iaitu untuk memperkasa perpaduan serta kesatuan suara rakyat Malaysia kerana ini akan membawa negara lebih ke hadapan bersama menjana ekonomi serta menikmati kekayaan sedia ada,” katanya.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan berucap demikian pada Majlis Suai Kenal Parti Bersatu di hotel Hilton di sini, hari ini.


“Jika permohonan anggota mendapat sambutan memberangsangkan dan mampu mencapai 50,000 permohonan, saya sendiri akan mengusulkan cadangan untuk merasmikan Bersatu di Sarawak ini secepat mungkin kepada Pengerusi Bersatu yang juga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.


Kira-kira 120 wakil pelbagai kaum di Sarawak menghadiri majlis tersebut, dan pada majlis  sama Mohd Redzuan turut menyerahkan borang pemohonan anggota kepada ketua pendaftaran setiap bahagian.


Setakat ini, Bersatu Sarawak telah mengumpul 19, 868 borang permohonan daripada mereka yang berminat daripada kesemua 31 bahagian Parlimen manakala anggota yang sah berdaftar adalah 3,777 orang. –Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]