Banjir paling buruk!

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – Mangsa menyifatkan kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Sungai Ayam dan Kampung Sungai Suloh di Senggarang, dekat sini, semalam, sebagai kejadian paling buruk pernah berlaku di perkampungan tersebut.


Mangsa, Abdul Hamid Othman, 57, berkata selama mendiami kawasan itu sejak berpuluh tahun lalu, beliau hanya pernah mengalami pengalaman limpahan air banjir di halaman rumah sahaja.


Beliau berkata hujan yang bermula sejak awal pagi dan berlarutan hingga beberapa jam mengakibatkan paras air naik begitu pantas.


“Tetapi semalam, air bah terlalu cepat dan deras mengakibatkan kami sekeluarga tidak sempat menyelamatkan apa-apa juga barangan termasuklah kenderaan yang tenggelam,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Suloh di sini, hari ini.


Menurutnya, rumahnya dinaiki air mencecah paras leher dan mereka sekeluarga hanya mampu melihat sahaja keadaan tanpa boleh berbuat apa-apa.


Seorang lagi mangsa, Abdul Halim Mat Jusoh, 47, berkata, dia terkejut melihat air naik terlalu pantas sehingga menyebabkannya tidak sempat menyelamatkan apa-apa.


“Saya hanya mampu melihat barangan rumah seperti mesin basuh, peti ais dan lain-lain tenggelam tetapi saya tetap bersyukur kerana tiada nyawa anggota keluarga terjejas,” katanya.


PPS itu yang dibuka pada pukul 7 malam tadi turut menempatkan seramai 104 mangsa daripada 41 keluarga. – Bernama


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]