Bersatu berjaya ‘gegar’ arena politik negara

in Politik by


KUALA LUMPUR – Meskipun baru dua tahun ditubuhkan, Bersatu dianggap sebuah parti politik berjaya kerana menjadi sebahagian daripada gerakan yang menumbangkan BN dan membentuk kerajaan baru di Malaysia selepas PRU14.


Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selepas parti berjaya sampai ke tahap sekarang, wujud semangat dan dorongan untuk terus maju ke hadapan walaupun pada awal penubuhan terpaksa menempuh pebagai onak duri.


Menurutnya, kejayaan Bersatu juga dibantu sokongan daripada parti lain seperti PKR, Amanah dan DAP yang konsisten menentang kleptokrasi, salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah yang berlaku dalam Malaysia.


“Kita sudah sampai peringkat ini. Kalau nak sebutkan, kita lebih sedikit dari setahun jagung, kita kini dua tahun jagunglah, besar sikit tapi saya sedar waktu mula-mula tubuhkan parti ini, ahli tak ramai.


“Sebahagian besar pun tak berapa faham tentang politik, sebahagian pun tak pernah masuk politik. Mereka minat masuk politik pun kerana nak sokong Tun (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) dan saya.


“Sebahagian besar daripada pemimpin kita belum cukup matang, kurang berpengalaman, maklumlah parti baru kan tetapi apa pun bila berjaya ke tahap ini, ada satu semangat dan dorongan lebih besar,” katanya dalam wawancara khas di kediamannya, semalam.


Tambah bekas Timbalan Perdana Menteri itu, beliau percaya prospek untuk parti itu amat cerah dan perkara penting yang perlu dilakukan sekarang adalah menarik penyertaan lebih ramai orang Melayu ke dalam parti.


Jelasnya, beliau merangka dua perkara besar iaitu membentuk Akademi Latihan Kepimpinan Bersatu dan menggerakkan jentera penerangan parti ke seluruh negara dalam usaha menguatkan pengaruh parti berkenaan.


“Nak jadi ahli Bersatu tapi tak tahu apa itu Bersatu, itu kita tak boleh elak. Jadi saya rasa tanggungjawab kita adalah untuk bentuk perkara ini. Kita mulakan dengan kursus-kursus biasa tapi merangkumi semua pemimpin utama.


“Itu yang pertama, yang kedua adalah menggerakkan jentera penerangan ke seluruh negara. Mereka akan pergi ke setiap negeri supaya dapat bertemu orang-orang Melayu, beri penjelasan dan sebagainya.


“Kalau keadaan begitu (dapat dibuat), saya jangka Bersatu akan jadi satu pertubuhan politik yang jauh lebih berpengaruh, bilangan ahli pasti akan meningkat. Ramai sudah buat permohonan dan ramai sudah diterima tapi proses ini masih berterusan,” katanya.


Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan Bersatu akan terus memperjuangkan hak orang Melayu namun bukanlah parti yang bersifat perkauman sehingga dicop sebagai parti rasis.


Tambahnya, Bersatu merangka strategi ampuh agar orang Melayu merasakan dengan terbentuknya parti berkenaan, mereka boleh terus bangkit memperjuangkan hak mereka melalui satu wadah baru.


“Orang Melayu boleh perjuangkan hak mereka, ada suara baru bila bersama Bersatu tapi kita bukan parti rasis, perkauman dan terbukti hingga hari ini, kita bukan rasis, kita bekerjasama dengan parti-parti lain.


“Maka dengan itu, bukan saja kita dapat menarik sokongan orang Melayu tapi dengan kepimpinan Bersatu, Tun yang mengepalai Pakatan Harapan maka semua kaum boleh dikatakan tampil beri sokongan,” jelasnya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]