Jangan ada kem dalam Bersatu, pesan Muhyiddin

in Politik by


SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Walaupun tidak dapat hadir pada Sambutan Hari Ulang Tahun Kedua Bersatu, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin tetap menyampaikan ucapannya menerusi rakaman video kepada ahli dan penyokong parti itu.


Dalam ucapannya, Muhyiddin berharap agar tidak wujud kem dan kumpulan dalam Bersatu.


Katanya, ini kerana ia budaya buruk yang akan menyebabkan perpecahan dalam parti.


“Elakkanlah perkara ini. Sementara parti kita ini masih baru, semailah ia dengan nilai-nilai perpaduan dan setiakawan yang akan memperkukuhkan parti.


“Jagalah hubungan baik sesama kita. Sentiasalah bersangka baik dengan rakan-rakan kita, sebagai manusia, kita tidak sempurna dan ada kelemahan masing-masing. Jangan kita memperbesarkan kelemahan orang lain sehingga menimbulkan prasangka dan pergaduhan sesama sendiri. Jika ada kelemahan, sama-samalah kita bantu-membantu untuk memperbaikinya supaya kita menjadi parti yang kuat,” katanya.


Muhyiddin berkata, beliau sedar Bersatu masih boleh membentuk budaya yang mulia untuk memastikan kuasa yang diberikan digunakan pada landasan benar.


“Budaya Bersatu ini hendaklah berasaskan kepada beberapa nilai utama antaranya disiplin kerana kita mesti mempunyai disiplin yang kuat. Patuh kepada Perlembagaan dan tataetika parti. Jangan kita buat hal masing-masing sehingga parti porak peranda.


“Mesti ada rasa hormat dan taat kepada arahan pucuk pimpinan. Ingat peristiwa perang Uhud. Ketika tentera Muslim hampir menang, ada yang ingkar perintah Rasulullah SAW dengan meninggalkan bukit Uhud semata-mata untuk merebut harta rampasan perang. Sedang mereka leka mengutip laba, musuh datang menyerang semula dan mengalahkan mereka. Jangan kita ulangi kesilapan tentera Uhud,” katanya.


Menurutnya, amanah adalah antara nilai yang perlu ada dalam jiwa pemimpin Bersatu.


“Ingat bahawa kita sedang menggalas amanah dan harapan rakyat. Sebagai parti yang memerintah, rakyat meletakkan harapan yang tinggi kepada kita untuk melaksanakan janji-janji kita kepada mereka. Bagi ahli-ahli parti yang memegang jawatan dalam kerajaan, baik di peringkat persekutuan, negeri atau majlis tempatan, sentiasalah kita bermuhasabah dan mengingatkan diri kita supaya melaksanakan janji-janji kita kepada rakyat.


“Jangan kita bertindak cuai sehinggakan kita dilihat sengaja melanggar janji kita sendiri untuk menegakkan sebuah kerajaan yang berintegriti dan beramanah. Rakyat sedang memerhati dan menilai tindak tanduk kita,” katanya.


Muhyiddin turut mengingatkan bahawa kemenangan Bersatu dalam pilihan raya yang lalu bukan bermaksud telah mencapai semua tujuan perjuangan.


“Malah, kita sebenarnya sedang memasuki satu fasa baharu dalam perjuangan untuk memulihkan negara dan melakukan pembaharuan. Saya ingin mengingatkan bahawa fasa perjuangan ini masih getir.


“Dalam keadaan negara sedang menjalani proses pemulihan, masih ada pengorbanan-pengorbanan yang mesti kita lakukan. Justeru, jangan kecewa jika ada permintaan-permintaan yang tidak dapat dipenuhi pada masa ini. Insya-ALLAH, berkat kecekalan, kesabaran dan keikhlasan kita berjuang dan berkorban, ALLAH akan mempermudahkan segala urusan kita,” katanya.


Mengulas lanjut, beliau turut menekankan kepada  pelaksanaan manifesto yang terkandung di dalam Buku Harapan.


“Alhamdulillah, dalam tempoh 100 hari pemerintahan PH, kita telah berjaya melaksanakan sebahagian janji-janji utama kepada rakyat. Masih banyak janji-janji yang perlu kita laksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.


“Antara yang paling utama ialah meringankan beban kos sara hidup rakyat. Sehubungan itu, saya berharap agar satu inisiatif yang menyeluruh dapat dilaksanakan dalam masa terdekat untuk menangani isu kos sara hidup merangkumi hal-hal yang berkaitan dengan harga barangan keperluan asas, pekerjaan, pendapatan, bekalan makanan yang mencukupi dan bantuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah,” katanya.




 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]