Jangan jadi macam Pemuda Umno: Syed Saddiq

in Politik by


SHAH ALAM – Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan pemuda parti tersebut agar sentiasa bermuhasabah dan membaiki segala kelemahan.


Katanya, walaupun telah menjadi kerajaan, mereka tidak boleh lena dibuai kemenangan menumbangkan BN.


Beliau berkata, Bersatu mempunyai budaya baharu tidak seperti Pemuda Umno yang hidup mewah.


“Kita kena ingat banyak yang perlu dilakukan. Jangan sampai ada yang kata kita sama seperti Umno.


[ARTIKEL BERKAITAN: Meriah tapi tak ‘full house’]


“Jangan sampai ada yang kata kita keluarga Pemuda Bersatu sama seperti Pemuda Umno,” katanya ketika berucap dalam sambutan Hari Ulang Tahun Kedua Bersatu 2018, di Stadium Malawati, hari ini.


Katanya, Pemuda Bersatu perlu sedar kemenangan dalam PRU14 hanya permulaan kepada perjuangan dan tidak mudah melatah.


“Jangan kita berpecah belah hanya kerna orang tertentu kerana diberikan jawatan dalam pelbagai agensi.


“Kita Bersatu berlainan, walaupun warna kita merah, roh kita roh memperjuangkan hak Melayu dan hak yang betul,” katanya.


Jelasnya, pemimpin Bersatu yang mewakili orang Melayu perlu beramanah dan berintegriti lantas menjadi contoh kepada rakyat negara ini.


“Biar mereka lihat kepimpinan Melayu hari ini bukan pemimpin yang melakukan salah laku, biar mereka lihat kita adalah Melayu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berani kerana benar,” katanya.


Dalam pada itu, beliau turut memuji semangat  juang Pemuda Bersatu walaupun berdepan pelbagai kekangan seperti kewangan.


“Kalian lama berjuangan bersama Bersatu dan saya fahami pelbagai rintangan. Peringkat awal kita menjelajah satu Malaysia tanpa kewangan mencukupi sehingga ada yang tidur dalam kereta.


“Namun dengan semangat yang ada kita berjaya mengharungi dengan menjadi kerajaan pada hari ini,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]