Kes malaria di Lombok meningkat

in Global by


MATARAM – INDONESIA. Agensi kesihatan Lombok Barat di Nusa Tenggara Barat telah merekodkan 103 kes malaria di empat daerah di seluruh wilayah itu yang dilanda gempa bumi, baru-baru ini.


Pengarahnya, H Rahman Sahnan Putra berkata, empat kes pertama direkodkan di kem penempatan sementara di perkampungan Bukit Tinggi dalam daerah Gunungsari, awal bulan ini.


Wabak berkenaan kini telah tersebar di tiga daerah lain iaitu Batulayar, Lingsar dan Narmada.


Katanya lagi, beberapa kanak-kanak dan wanita mangandung dilaporkan antara yang dijangkiti wabak berkenaan.


Tambah Rahman, situasi terkini di Lombok Barat amat membimbangkan, memandangkan lokasi penyebaran malaria terlalu hampir dengan kem penempatan mangsa gempa.


“Kami sentiasa memantau keadaan di sini dan mungkin mencadangkan perintah darurat bagi membendung malaria.


“Dengan adanya status darurat, ia memberikan kami usaha maksimum untuk membendung penularan penyakit ini,” katanya.


Kata Rahman, agensi itu telah melaporkan kes berkenaan ke Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.


Difahamkan, Kementerian Kesihatan telah menghantar satu pasukan untuk membantu mengendalikan kes malaria di Lombok Barat.


Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) juga menghantar 135 kelambu bagi memastikan mangsa gempa tidak dijangkiti penyakit tersebut.


“Bantuan ini sudah memadai,” kata Rahman sambil menambah sekurang-kurangnya 10,000 kelambu diperlukan untuk diberikan kepada semua mangsa gempa, lebih-lebih lagi musim hujan diramal melanda wilayah tersebut, bulan depan. -Agensi


Source: SH Global

[featured-video-plus]