Laporan pemutihan ESH di peringkat akhir

in Nasional by


JOHOR BAHRU – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dalam proses menyediakan laporan akhir mengenai pemutihan Elaun Sara Hidup (ESH) kepada Kementerian Kewangan yang dijangka siap pada pertengahan Oktober ini.


Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya dalam proses untuk menyediakan laporan (pemutihan ESH) sebelum memberikan laporan akhir untuk Bajet 2019 yang akan dibentangkan pada November ini.


“Sekitar pertengahan Oktober ini, kita akan menyerahkan sebagai laporan akhir (ESH) kita kepada Kementerian Kewangan,” katanya dalam  sidang media di Dewan Pusat Islam Iskandar Johor, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika mengulas lanjut mengenai usaha kerajaan menerusi MOA yang melaksanakan pemutihan ESH nelayan.


Ini kerana terdapat laporan segelintir nelayan  yang menerima ESH menyalahgunakan bantuan dengan tujuan tidak mendatangkan manfaat pada diri dan keluarga.


Usaha itu juga bagi memastikan hanya yang berkelayakan sahaja memperoleh manfaat itu.


Salahuddin sebelum ini turut menyatakan proses pemutihan itu membabitkan 55,000 penerima di seluruh negara dengan keutamaan diberiman kepada ‘nelayan tulen’.


Antara syarat dikenakan adalah untuk menikmati ESH tersebut, nelayan perlu turun ke laut sekurang-kurangnya 120 hari dalam setahun.


Bahkan ketika ini ada yang tidak menjadi nelayan mendapat insentif itu biarpun bukan dalam kelompok kumpulan sasar layak menerima.


Dalam pada itu, Salahuddin berkata, kementeriannya sedang melaksanakan pelan tindakan untuk penambahbaikan elaun berkenaan.


“Tindakan itu supaya hanya yang benar-benar nelayan mendapat bantuan ini sekaligus memastikan supaya tidak berlaku keciciran atau ketirisan.


“Kita fikirkan cara yang lebih baik, mungkin bantuan-bantuan dalam bentuk peralatan dan yang lain-lain supaya ia lebih efisien untuk bantuan nelayan kita,” katanya.


Terdahulu Salahuddin hadir pada program Bicara Tani Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Bersama Pengusaha Cili Malaysia.


Turut hadir, Ketua Setiausaha MOA, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan dan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]