Melayu tak sedar perubahan sikap pemimpin Umno

in Politik by


SHAH ALAM – Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa orang Melayu sebelum ini tidak sedar perubahan sikap yang telah berlaku dalam kepimpinan Umno.


Katanya,  mereka tidak nampak atau tidak dapat mengakui bahawa kepimpinan Umno tidak lagi berjuang untuk orang Melayu.


Menurutnya, orang Melayu juga tidak nampak pemimpin mereka sudah memperalat Umno untuk kepentingan diri mereka.


“Mereka membutakan mata mereka apabila pemimpin mereka mencuri duit rakyat supaya mereka hidup mewah. Mereka tidak faham kerosakan yang dilakukan kepada negara dan kepada masa depan mereka.


“Mereka dibuai dengan sagu hati yang diberi, dengan wang yang banyak yang ditabur percuma. Mereka tidak sedar maruah mereka, kehormatan diri mereka sudah dimusnah. Mereka tidak sedar yang mereka ditanam dengan jiwa pengemis, yang menanti wang percuma jatuh ke tangan mereka tanpa kerja, tanpa apa-apa sumbangan dari mereka. Mereka sudah jadi orang yang tidak lagi mampu berdiri atas kaki sendiri,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Ulang Tahun Bersatu 2018, malam ini.


Beliau berkata, disebabkan kesedaran bahawa masa depan kaum tidak lagi dilindungi dan dipelihara oleh parti Melayu Umno, maka sekumpulan telah keluar parti untuk menubuh parti yang boleh menggantikan dan mengembalikam perjuangan asal.


“Ya. Memang pun Bersatu ini adalah parti Melayu dan Bumiputera. Ia ditubuh kerana parti Umno tidak dapat diperbaiki, dari dalam.


“Orang Melayu masih tidak dapat terima parti berbilang kaum. Jika Umno perlu diganti dengan parti lain, maka parti itu


mestilah parti Melayu yang mendapat sokongan orang Melayu,” katanya.


Mengulas lanjut, Mahathir berkata, di bawah Dasar Ekonomi Baru orang Melayu telah diberi banyak peluang dan bantuan supaya mereka dapat meningkatkan kejayaan mereka dalam perniagaan dan perusahaan.


“Dengan itu perbezaan ketara antara ekonomi mereka dengan kaum lain dapatlah dikurangkan sedikit. Kejayaan program ini amatlah kecil dan tidak memuaskan. Namun keperluan mengurangkan jarak ekonomi antara kaum perlu diteruskan.


“Soalnya ialah apakah sebabnya Dasar Ekonomi Baru dengan affirmative actionnya gagal mencapai matlamat. Mirip kita ialah untuk menuduh orang lain. Mirip kita ialah untuk menuduh lerajaan, menuduh kaum lain dan berbagai lagi. Mereka semua salah apabila kita gagal. Kita tidak pernah salah,” katanya.


Jelasnya, beliau berpendapat, jika orang Melayu dapat mengakui kesalahan, maka ia perlu diperbetulkan segera.


“Apakah kesalahan kita. Sesungguhnya terdapat banyak kesalahan yang kita lakukan.


“Pertama kita tidak bekerja sekuat orang lain. Bukan sahaja kita tidak kerja keras tetapi kerap kali kita tidak ambil berat tanggungjawab kita.


“Kita sering kurang meneliti sebelum kita membuat keputusan dan bertindak. Kita kurang kuasai ilmu dan maklumat yang diperlukan untuk kita membuat keputusan yang baik. Tanpa izin saya berani mendakwa kita malas.Kita lebih suka serah kerja kepada orang lain,” katanya.


Tambahnya, pada hari ini ramai orang asing datang bekerja di negara ini kerana rakyat kita tidak sanggup bekerja.


“Pergilah ke tempat kerja dan kita tidak akan bertemu dengan pekerja kita.


“Ya, memang kerja itu berat. Mungkin kotor dan berbahaya. Kita cuma cari kerja yang ringan, di kilang berhawa dingin. Tetapi di situ pun daya keluaran atau produktiviti kita rendah,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Mahathir akui Bersatu parti perkauman]


Source: SH Politik

[featured-video-plus]