Pelantikan Maszlee teruskan kesinambungan

in Nasional by


SHAH ALAM – Pelantikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dilihat tepat dan bersesuaian kerana kedudukan beliau sebagai menteri kanan persekutuan.


Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, pelantikan itu juga meneruskan kesinambungan sebelum ini.


“Selain itu, saya juga terbaca kenyataan dari bahagian korporat UIAM bahawa Dr Maszlee menolak sebarang bayaran dari pelantikan ini.


“Dalam bahasa mudahnya, ini adalah sumbangan Menteri Pendidikan untuk mengembalikan semula kegemilangan UIAM khusunya di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Kaji semula pelantikan Maszlee: Tun M]


Rabu lalu, Maszlee dilantik sebagai Presiden UIAM ketujuh bagi menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai lepas.


Namun pelantikan itu mencetuskan kontoversi apabila mendapat bantahan dan kritikan ramai yang mempersoalkan kelayakan beliau yang kini memegang portfolio sebagai menteri Kabinet.


[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Pelantikan saya tak bercanggah manifesto PH’]


Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji semula pelantikan Maszlee yang dikritik sebagai bercanggah dengan inti pati manifesto PH sebelum PRU14.


Sementara itu, Maszlee dilaporkan berhasrat untuk menghadap Sultan Pahang untuk mendapatkan nasihat berhubung isu pelantikannya.


Dalam pada itu, Hassan Basri berkata, pelantikan itu juga dilihat akan menaikkan imej UIAM yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat dan mempunyai pentadbiran sangat utuh bermula dari Ketua Perlembagaan, Presiden dan Rektor yang menduduki tiga tangga teratas pengurusan universiti berkenaan.


Katanya, Presiden UIAM dilantik Ketua Perlembagaan sekarang iaitu Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dengan nasihat dari Perdana Menteri.


“Presiden pula bertanggungjawab melantik Rektor dan keempat-empat timbalan rektor di universiti tersebut yang tugasnya menyamai tugas Menteri Pendidikan yang melantik semua Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor di 19 universiti awam dalam negara.


“Tambahan pula, Presiden UIAM juga adalah Pengerusi Board of Governers (BOG), sementara Timbalan BOG ini adalah Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan. Ahli BOG pula terdiri dari 15 orang dan dari jumlah tersebut ahli wajib dari negara-negara Islam (OIC), iaitu setiausaha agung dan duta-duta dari Arab Saudi, Mesir, Turki, Pakistan, Libya, Bangladesh dan Maldives, manakala bakinya dari tokoh-tokoh dalam negara yang dipilih kerajaan,” katanya.


Melihat kepada struktur BOG itu, beliau yakin Maszlee dapat melaksanakan fungsinya dengan baik sebagai Presiden UIAM tanpa mencampuri urusan harian universiti yang diuruskan Rektor dan timbalannya serta pengurusan universiti itu.


“Ia sejajar dengan penegasan beliau untuk memberikan autonomi meluas kepada universiti dan menjadikan universiti sebagai medan idealisme dan intelektualisme kepada mahasiswa serta mahasiswi,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]