SPR: Hentikan kempen

in Politik by


PETALING JAYA – Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Othman Mahmood menyeru agar semua penyokong parti yang bertanding pada PRK Dun Seri Setia dan Balakong dapat menghentikan kempen mereka serta-merta hari ini.


Beliau berkata, mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tiada sebarang bentuk kempen boleh dilakukan selepas jam 12 tengah malam pada hari pengundian.


“SPR sudah maklumkan kepada calon dan penyokong di mana mereka tidak boleh berkempen pada hari pengundian.


“Malah kita turut mengarahkan pasukan SPR untuk mengambil tindakan supaya mereka bersurai dan buka balik khemah sendiri.


“Kita boleh amik penguatkuasaan tapi kita mahukan ia secara harmoni dan berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas melawat salah satu pusat mengundi di Dewan D’ Kelana, hari ini.


Terdahulu tinjauan Sinar Harian mendapati masih terdapat ramai penyokong kedua-dua parti dilihat giat melakukan kempen di luar pusat pengundian bagi menarik sokongan pengundi.


Dalam pada itu, Adun Tanjung Emas, Rohani Ibrahim memaklumkan bahawa ahli Pas masih berkempen pada hari ini bagi menyatakan sokongan kepada calon mereka, Dr Halimah Ali.


“Tidak salah untuk kami berkempen pada hari pengundian asalkan ia dilakukan 50 meter dari pusat pengundian,” katanya.


Selain itu, seorang penyokong PH yang juga calon exco wanita PKR Pusat, Napsiah Khamis berkata kebanyakan penyokong bukannya keluar untuk berkempen, namun hanya menyatakan sokongan kepada calon mereka, Halimey Abu Bakar.


“Kita dibenarkan untuk meraih undi, maksudnya kalau orang datang kita boleh suruh pengundi menyokong PH,” katanya.


PRK Dun Seri Setia dilaksanakan susulan penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat kanser usus di Hospital Putrajaya.


Pada kali ini, difahamkan sebanyak 18 pusat pengundian dengan 115 saluran bagi PRK Dun Seri Setia dibuka mulai jam 8 pagi tadi bagi membolehkan 50,722 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]