Wanita hilang 19 jam ditemui lemah

in Edisi Pahang by


PEKAN – Seorang wanita yang hilang berjaya ditemui selamat oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung setelah hampir 19 jam hilang di rumahnya di Kampung Nyior Manis, Peramu, hari ini.


Mangsa, Syazwani Muhammad Fithal, 31, yang mengalami kemurungan dilaporkan hilang dari rumahnya pada jam 10 malam semalam sebelum ditemui di belakang rumahnya pada jam 4.20 petang tadi.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud, berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.15 malam semalam sebelum tiba ke lokasi kejadian dan melakukan operasi pencarian.


Menurutnya, berdasarkan keterangan keluarga, mangsa kali terakhir dilihat memakai pakaian muslimah biru bersama seluar dan tudung berwarna hitam


“Operasi mencari dan mengesan mangsa dilakukan pada malam tadi tetapi kita tangguh kerana sudah lewat malam. Operasi kemudian disambung pada hari ini pada jam 9 pagi dengan membuat pencarian di sekitar hutan belakang rumah mangsa.


“Operasi turut disertai pihak polis dan dipecahkan kepada empat kumpulan selain dibantu penduduk kampung serta menggunakan dron bagi memudahkan operasi pencarian,” katanya.


Wan Samsul Effendi berkata, berdasarkan pemantauan menggunakan dron itu pihaknya berjaya mengesan pergerakan objek di kawasan hutan kira-kira 100 meter dari kawasan yang dikenalpasti.


“Anggota penyelamat dan orang kampung kemudian pergi ke kawasan itu sebelum menemui mangsa dengan jarak 200 meter dari rumah mangsa dalam keadaan lemah dan mengalami sedikit luka kecil,” katanya.


Tambahnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]