Belum bincang kerusi mana akan dikosongkan: Zuraida

in Politik by


KUALA LUMPUR – Kepimpinan tertinggi PKR belum mengadakan sebarang perbincangan  mengenai kerusi Parlimen yang akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding, kata Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin.


Malah Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata beliau hanya mengetahui perkara itu melalui media massa.


“Saya ada baca berita mengenai perkara tersebut tetapi masih tiada sebarang mesyuarat atau perbincangan mengenainya di peringkat kepimpinan tertinggi parti,” katanya ketika ditemui pada majlis kenduri rakyat bersempena majlis perkahwinan anak sulungnya di Ampang, hari ini.


Turut hadir Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad.


[ARTIKEL BERKAITAN:Sah, seorang Ahli Parlimen PKR berundur demi Anwar]


Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan satu kerusi Parlimen akan dikosongkan oleh PKR  bagi memberi laluan untuk Anwar bertanding.


Bagaimanapun Dr Wan Azizah yang juga Presiden parti,  berkata PKR belum dapat mengumumkan  di mana kerusi terbabit  atau bila akan dikosongkan


Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang sebelum itu dilaporkan berkata parti berkenaan akan mengosongkan satu kerusi Parlimen minggu depan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.- Bernama

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]