Johor ambil serius masalah kewarganegaraan

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor prihatin untuk menyelesaikan masalah berkaitan kewarganegaraan selepas mendapati isu berkenaan merupakan antara masalah yang serius.


Exco Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Dr S Ramakrishnan berkata, ia bertujuan untuk membantu penduduk Johor yang berdepan dengan masalah kewarganegaraan atas sebab-sebab tertentu.


“Terdapat pelbagai masalah berkaitan kewarganegaraan ini hingga menyebabkan segelintir penduduk tidak memiliki dokumen pengenalan diri.


“Antaranya termasuklah ibu bapa warganegara asing gagal mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini dan apabila mereka memiliki anak, anak mereka dianggap anak luar nikah selain kanak-kanak ditinggalkan sejak kecil serta tiada langsung dokumen penting dan sebagainya.


“Kesannya penduduk tersebut sukar untuk bersekolah, tidak dapat membeli hartanah di negara ini, tiada kelebihan menerima perkhidmatan di hospital dan sebagainya,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Projek Mendaftar Anak Malaysia di Dewan Besar Kuil Arulmigu Sri Rajamariamman, di sini, semalam.


Program kerjasama dengan Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA) diadakan selama dua hari bermula semalam melibatkan kehadiran 800 pengunjung dari pelbagai bangsa yang berdepan dengan masalah kewarganegaraan


Pada program tersebut, sukarelawan DHRRA akan membantu menyemak dokumen pemohon sebelum dikemukakan di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Setia Tropika, di sini, pada 18 hingga 20 September depan.


Ramakrishnan juga berharap, JPN dapat membantu menyelesaikan isu ini dengan menyediakan garis panduan serta turun ke akar umbi untuk meneliti masalah yang dialami pihak yang terlibat.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]