Pas perlu tingkat ekonomi di Kelantan

in Politik by


KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan disarankan supaya lebih berperanan dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi dalam negeri ini agar tidak terus bergantung pada persekutuan.


Exco Pemuda Umno Malaysia, Nik Saiful Adli Burhan berkata, mandat yang diberikan kepada Pas untuk memerintah negeri itu sejak 1990 seharusnya dijaga dengan penuh amanah dan beretika termasuk berusaha lebih gigih membangunkan ekonomi penduduknya.  


“Pas kuat berpegang kepada ajaran Islam dan Islam itu sendiri agama yang menyeluruh serta menuntut supaya umatnya membangun dalam semua aspek kehidupan termasuklah dari segi pembangunan ekonomi ummah.


“Jangan sentiasa menggunakan alasan status sebagai negeri pembangkang semata-mata, sebaliknya kerajaan negeri yang berperanan penting dalam isu ini supaya negeri Kelantan tidak terus menerus bergantung pada persekutuan,” katanya kepada Sinar Harian.


Beliau berkata demikian merujuk teguran Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terhadap Kelantan yang menjadi penerima terbesar bantuan kewangan defisit dan kewangan pendahuluan dari Kerajaan Persekutuan berjumlah RM913juta sejak 2013.


Sementara itu beliau yang juga Pengerusi Biro Peguam Muda turut menyeru semua pihak menghormati prinsip penubuhan negara persekutuan yang asalnya bertujuan membantu negeri-negeri di bawahnya. Negeri yang menyumbang kepada ekonomi negara melalui hasil bumi mahupun pelaburan industri tidak semestinya menikmati hasil bersendirian.


“Hasil kepada Persekutuan inilah dikongsi dengan negeri-negeri yang lain, inilah nilai dalam konsep persekutuan yang harus dihormati oleh semua. Kita saling membantu sebagai sebuah negara Malaysia dan bukan dengan membuat kira-kira negeri yang menyumbang lebih atau siapa yang makan hasil paling banyak.


“Perkara ini termaktub dalam Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan, malah perkara 109 (3) dan 109 (5) turut menyatakan dengan jelas kaedah bantuan khas selain yang mengikut skala untuk negeri-negeri yang terpaksa diberi bantuan lebih termasuklah dengan bajet luar jangka,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]