Peluang niaga sempena Sukma Perak

in Uncategorized by


IPOH – Mereka yang ingin berniaga sempena Sukma Perak 2018, boleh berbuat demikian di kawasan bersebelahan Stadium Indera Mulia yang dikhaskan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), bagi tujuan berkenaan.


Setiausaha Bandaraya, Mohd Zakuan Zakaria berkata, lokasi berkenaan disediakan demi melancarkan lalu lintas di sekitar pekarangan Kompleks Sukan MBI sepanjang temasya sukan dwi tahunan itu berlangsung mulai 11 hingga 22 September ini.


“Demi melancarkan lalu lintas serta tidak berlaku masalah berkaitan kesihatan yang serius khususnya kepada para atlet, Jawatankuasa Sukma Peringkat Daerah Kinta telah menetapkan lokasi sebelah Stadium Indera Mulia sebagai lokasi bagi peniaga yang berminat untuk berniaga.


“Mereka boleh berhubung terus dengan pihak penganjur iaitu Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Perak, untuk sebarang maklumat lanjut,” katanya.


Kompleks Sukan MBI menempatkan beberapa venue Sukma kali ini seperti Pusat Akuatik, Stadium Perak,  Stadium Indera Mulia, Arena Badminton dan Squash serta Stadium Tenis dan Stadium Ragbi, Perak.


Sementara itu, Mohd Zakuan memohon kerjasama agar peniaga mematuhi ketetapan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Sukma berkaitan lokasi perniagaan di Kompleks Sukan MBI.


Katanya, MBI sangat menghargai kerjasama daripada peniaga demi memastikan penganjuran Sukma Perak 2018 kali ini adalah penganjuran terbaik dalam sejarah Sukma.


“MBI turut menyediakan 70 unit gerai di Medan Selera MBI yang baru dinaiktaraf dan pasti menjadi tumpuan pengunjung.


“MBI yakin dengan adanya kedua-dua lokasi perniagaan ini akan dapat memenuhi keperluan semua yang terlibat dan pengunjung yang hadir ke acara sukan yang bersejarah di Malaysia ini,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]