PKR Perak akui sukar tapis ahli baharu

in Politik by


IPOH – PKR Perak mengambil maklum sebarang isu berkaitan pemilihan termasuklah berkenaan status keahlian parti bagi calon yang bertanding.


Ketua Penerangannya, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, pihaknya mengakui tapisan keahlian sukar untuk dilaksanakan memandangkan pendaftaran ahli dibuat secara dalam talian.


Beliau berkata, bagaimanapun kesemua keahlian itu akan dihantar ke peringkat negeri dan cabang untuk saringan.


“Kita sedia maklum kemasukan ahli yang begitu ramai ini tetapi untuk membuat tapisan agak sukar dan hanya di peringkat negeri dan cabang sahaja yang boleh membuat saringan.


“Begitu juga dengan pemilihan. Jika ada bantahan melibatkan keahlian calon kita akan ambil tindakan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.


Semalam, Parti Gerakan Bahagian Ipoh Barat menggesa seorang ahli parti berkenaan menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai ahli parti berkenaan apabila didapati menyertai PKR, selepas PRU14 lalu.


[ARTIKEL BERKAITAN: Gesa ahli serah surat letak jawatan]


Sementara itu, Siti Aishah berkata, sehingga kini keahlian PKR di Perak seramai 35,000 orang dan daripada jumlah itu, seramai 5,000 dianggarkan ahli baharu.


“Kita boleh nampak jumlah peningkatan ahli yang mendadak selepas PKR menjadi kerajaan.


“Secara peribadi saya berpandangan jumlah keahlian yang ramai bukanlah petunjuk bahawa parti ini kuat lebih-lebih lagi kemasukan ahli baru ke dalam parti mempunyai motif tertentu,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]