PRK Seri Setia: Bukti sokongan kepada Pas meningkat

in Politik by


KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa sokongan rakyat kepada dua parti pembangkang, Pas dan BN dalam PRK Dun Seri Setia meningkat namun perkara sebaliknya terjadi kepada PH.


Menurutnya, jumlah 9,698 undi diraih Pas jelas menunjukkan adanya peningkatan sebanyak 3,330 undi atau 52.2 peratus manakala PH sekadar meraih peningkatan sebanyak 825 undi (6 peratus).


Tambah beliau, jumlah itu juga menunjukkan penurunan majoriti sebanyak 2,505 undi atau 38 peratus berbanding dicatatkan dalam PRU14 yang lepas.


“Jika nisbah keputusan PRU14 dijadikan sandaran, PRK ini mencatatkan peratusan keluar mengundi yang rendah pada 44.1 peratus. Sepatutnya undi Pas dan BN hanya berjumlah 6,368 undi manakala PH sepatutnya meraih 12,900 undi dan majoriti  6,532 undi.


“PRK ini, Pas dan BN berjaya meraih 9,698. Ini jelas menunjukkan ada peningkatan sokongan yang ketara kepada Pas dan BN manakala PH sekadar meraih peningkatan sebanyak 825 undi dan penurunan majoriti sebanyak 2,505 undi.


“Meskipun tewas, Pas menganggap ini adalah satu pencapaian yang memuaskan,” katanya memetik satu kenyataan dikeluarkan beliau, hari ini.


Tambahnya, tiga bulan berlalu selepas PRU namun kerjasama Pas dan BN seakan mula membuahkan hasil lantas beliau merasakan peningkatan akan terus berlaku dalam tiga tahun mendatang.


“Ini baru tiga bulan selepas PRU14, bayangkan peningkatan yang akan datang pada masa tiga tahun sekiranya kita terus berusaha,” ujarnya.


Dalam pada itu, Pas turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencari jalan bagi meningkatkan jumlah keluar mengundi memandangkan peratusan agak rendah dalam tiga PRK dijalankan baru-baru ini.


“Ketiga-tiga PRK muktahir ini tidak mencerminkan sokongan padu pengundi, apabila pemenang hanya mewakili sebilangan kecil jumlah sebenar pengundi,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]