Sebat: Kena tambah baik, biar pesalah gerun

in Nasional by


KUALA TERENGGANU – PKR Terengganu menyokong usaha kerajaan negeri dalam melaksanakan hukuman sebat tetapi perlu ditambah baik supaya memberi kegerunan kepada pesalah lain.


Pengerusinya, Azan Ismail berkata, hukuman yang dikenakan perlu memberi pengajaran dan lebih kepada bentuk pencegahan.


“Tumpuan hukuman adalah untuk mencegah dan menimbulkan rasa takut kepada pesalah serta pelaku lain.


[ARTIKEL BERKAITAN: Lebih ringan daripada sebatan guru disiplin]


“Berdasarkan gambaran menerusi video yang saya lihat, ia tidak menakutkan dan  mendatangkan kecederaan serta memberi kesan kepada penerima, kecuali dari sudut publisiti,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Program Usahawan Belia dan Wanita serta dialog bersama pimpinan wanita Keadilan di Dewan Taman Sinar Harapan, semalam.


Katanya, pesalah mungkin sedikit terkesan atas kesalahan dilakukan, tetapi tidak meninggalkan kesan fizikal yang akan memberikan kegerunan kepada pelaku lain.


“Saya tiada gambaran jelas kerana saya tengok melalui rakaman video, namun, yang saya nampak, tiada reaksi takut mahupun gentar oleh pesalah.


“Elemen pencegahan itu seolah-olah tiada di situ. Pada saya, perlu ada sedikit penambahbaikan,” katanya.


Dalam perkembangan sama, katanya, langkah kerajaan negeri dalam melaksanakan hukuman itu sejajar dengan syariat Islam dan perlu disokong.


“Ia adalah undang-undang Islam dan sepatutnya disokong dan di pertingkatkan.


“Setiap undang-undang dalam Islam bukan bertujuan mendera, tetapi untuk mencegah,”katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]