Setia pada Najib: Kena ambil serius teguran PM

in Nasional by


IPOH – Amanah Perak meminta ketua setiausaha negara dan setiausaha kerajaan negeri memandang serius teguran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap sesetengah pegawai kerajaan yang melambatkan tugasan diberi kerana masih setia dengan pemimpin kerajaan terdahulu.


Naib Pengerusinya, Dr Muhaimin Sulam berkata, gejala ini berlaku di sesetengah peringkat di negeri-negeri dan perlu dikawal.


Katanya, jika perkara ini dibiarkan, beberapa keputusan dan pendekatan kerajaan akan dilihat lemah dan lembab.


“Ini akan meresahkan harapan rakyat yang mahu perubahan berlaku. Kebebasan dalam negara demokratik hendaklah disertakan dengan rasa kebertanggungjawaban seperti yang digariskan dalam Rukun Negara.


“Sehubungan itu, Amanah Perak meminta ketua setiausaha negara dan setiausaha kerajaan negeri mengambil perhatian dan tindakan serius kepada mana-mana pegawai kerajaan yang terbukti melakukan pengkhianatan dari dalam jentera kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mahathir yang mendakwa terdapat segelintir pegawai kerajaan yang masih setia bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


[ARTIKEL BERKAITAN: Segelintir pegawai kerajaan masih setia dengan Najib]


Muhaimin berkata, tindakan mereka boleh disifatkan bagai gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut.


Menurutnya, kerjasama erat antara ahli politik, kakitangan kerajaan dan rakyat sangat penting dalam memacu pembangunan dan kelestarian sebuah negara.


Beliau berkata, memenuhi harapan rakyat adalah sebahagian tanggungjawab nasional semua pihak.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]