Umno julung kali diundang hadiri muktamar Pas

in Politik by


KUALA NERUS – Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan Umno julung kali diundang selaku pembangkang menghadiri Muktamar Tahunan Pas Ke-64 pada 15 dan 16 September ini di Terengganu.


Jelas beliau lagi, adalah menjadi amalan biasa parti itu mengundang pemimpin utama daripada  parti pembangkang dan perkara sama turut dilakukan kepada DAP,  PKR dan lain-lain ketika parti berkenaan masih berperanan sebagai pembangkang sebelum ini.


“Sebelum ini Umno tidak diundang kerana mereka pada ketika itu bukan parti pembangkang. Jadi untuk muktamar kali ini Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama 10 wakil daripada biro politik parti itu mengesahkan kehadiran mereka.


“Kita juga turut menjemput wakil daripada MCA dan MIC, namun setakat ini belum ada pengesahan dibuat lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sidang media khas di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini, hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Zahid sahkan hadir Muktamar Pas]


Menurut Takiyuddin lagi, atas dasar semangat pembangkang yang ingin menjadi pihak semak dan imbang kepada pelaksanaan kerajaan, Pas sentiasa memberi keutamaan kepada perkara yang memberi keuntungan kepada rakyat dan Islam.


Dalam perkembangan sama, Takiyuddin turut menegaskan kehadiran pimpinan utama pembangkang termasuk Umno pada muktamar kali ini merupakan amalan biasa atas dasar kerjasama politik dan bukannya gabungan parti.


Katanya, selaras dengan budaya politik matang dan sejahtera, parti itu sedia menjalin kerjasama politik selagi mana ia menguntungkan rakyat dan Islam.


Justeru katanya, tidak seharusnya timbul persoalan mengenai gabungan antara Pas dan Umno, selepas parti yang memerintah negara lebih 60 tahun itu pertama kali menghadiri muktamar yang bakal berlangsung minggu depan itu.




 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]