Undi meningkat bukti kerjasama Pas, Umno tepat

in Politik by


SHAH ALAM – Peningkatan undi sekali ganda yang diperoleh calon Pas, Dr. Halimah Ali pada PRK Dun Seri Setia semalam berbanding diperoleh calon Pas dalam PRU14 membuktikan kerjasama Pas dan Umno adalah di landasan yang betul dan tepat.


Ketua Wanita Umno, Datuk Noraini Ahmad berkata, beliau yakin peningkatan undi calon Pas dari 4,563 undi pada PRU14 kepada 9,698 undi yang diraih oleh Dr Halimah


merupakan satu terjemahan kemahuan ahli dan penyokong kedua-dua parti Melayu terbesar itu untuk menjalin permuafakatan dan persefahaman ke arah memperjuangkan nasib orang Islam dan Melayu ke tahap piawaian yang lebih tinggi.


Menurutnya, peningkatan undi yang diperoleh calon Pas itu sekaligus memberi petunjuk yang berharga bahawa Pas dan Umno boleh menjalin lebih banyak kerjasama bukan sahaja di peringkat kepemimpinan parti tetapi selepas ini lebih teliti dan mendalam lagi dalam kalangan ahli-ahli akar umbi kedua-dua parti.


“Keputusan PRK Seri Setia akan menjadi titik tolak penting dalam menunjukkan keikhlasan peringkat kepemimpinan Pas untuk duduk bersama lagiĀ  selepas ini dengan Umno dalam mencari titik persamaan sepenuhnya terutama apabila mengundang kepimpinan Umno dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-64 yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Sabtu depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Halimey pertahan Seri Setia]


Noraini mendakwa PRK Seri Setia dan PRK Sungai Kandis sebelum ini menjadi suatu referendum rakyat bahawa mereka tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku terutama membabitkan isu-isu berkepentingan Melayu dan Islam.


Katanya, apatah lagi janji-janji dalam manifesto PH sebelum menjadi kerajaan yang kira-kira 70 peratus masih belum tertunai dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan yang berakhir 17 Ogos lalu.


Semalam, calon PH, Halimey Abu Bakar menang kerusi Dun Seri Setia dengan majoriti 4,027 undi.


Halimey memperoleh 13,725 undi menewaskan pencabarnya dari Pas, Dr Halimah Ali yang memperoleh 9,698 undi.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]