AP bauksit tidak dikeluarkan jika gagal patuhi tempoh

in Nasional by


PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan mengeluarkan lesen eksport (AP) bauksit kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi tempoh moratorium yang masih berkuat kuasa sehingga 31 Dis ini, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.


Beliau berkata, pihak kementerian dimaklumkan terdapat individu atau entiti yang menjalankan aktiviti pengorekan bauksit secara haram dalam tempoh moratorium.


“Memandangkan aspek penguatkuasaan perlombongan haram adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, pihak kementerian akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Pahang dalam menangani isu berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas dengan tidak mengeluarkan lesen eksport ke atas mana-mana pihak yang tidak mematuhi tempoh moratorium,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Xavier berkata kerajaan negeri Pahang boleh mengambil tindakan penguatkuasaan mengikut Enakmen Mineral Negeri Pahang jika didapati melombong secara haram di atas tanah Kerajaan dan tindakan penjara serta denda jika disabit kesalahan.


“Jika melombong di atas tanah milik, tindakan tambahan juga boleh dikenakan sebab melanggar syarat tanah beri milik,” katanya.


Pada 7 September, kerajaan bersetuju mengeluarkan AP dalam tempoh munasabah kepada syarikat terlibat mengosongkan simpanan stok bauksit yang berada dalam kawasan pelabuhan terlebih dahulu.


Keputusan itu dicapai setelah Xavier mengadakan sesi pertemuan dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk mendapatkan input, pandangan dan gambaran yang lebih holistik  berhubung hala tuju industri perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri itu.


Sebelum ini, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli turut mengadakan sesi perbincangan yang melibatkan wakil-wakil rakyat selain satu lagi sesi bersama penggiat industri perlombongan bauksit negeri Pahang  untuk mendengar pandangan mereka serta mendapatkan input.


Sementara itu, Xavier berkata sebuah pasukan petugas akan diwujudkan bagi menyediakan Prosedur Operasi Standard baharu berhubung perlombongan, pengangkutan, pengurusan simpanan stok dan pengeksportan bauksit.


“Apabila moratorium ini ditarik balik kelak, semua pemain industri termasuk pelombong yang diberikan lesen eksport perlu menandatangani suatu Surat Aku Janji untuk mematuhi semua syarat yang ditetapkan demi memastikan industri perlombongan bauksit Pahang berjalan secara mampan.


“Seandainya didapati mana-mana pihak melanggar mana-mana syarat yang ditetapkan, pihak Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk memberhentikan operasi mereka dengan serta-merta,” katanya.   – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]