KPM mula langkah mansuh AUKU: Maszlee

in Nasional by


SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan telah memulakan langkah untuk memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) bagi memulangkan hak kebebasan bersuara kepada mahasiswa.


Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, beliau sedia memberi jaminan kepada golongan mahasiswa untuk terus bersuara.


Menurutnya, hasrat pihaknya adalah bagi melahirkan mahasiswa yang kritikal dan berani bersuara.


“Mereka ialah mahasiswa kita, pelapis pemimpin negara kita.  Sehubungan itu saya akan umumkan beberapa pendekatan dalam waktu terdekat.


“Saya tahu kita sudah lama hidup dalam budaya takut bersuara ini.  Budaya ini muncul setelah wujudnya undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara mahasiswa seperti Auku,” kongsinya menerusi Twitter peribadinya, pagi tadi.


Maszlee berkongsi langkah berkenaan susulan Jumaat lalu, sekumpulan kecil aktivis pelajar mengadakan ‘duduk bantah’ di bangunan Kementerian Pendidikan di Putrajaya bagi mendesak Maszlee melepaskan jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Susulan insiden berkenaan, dua mahasiswa yang menyertai bantahan di kawasan Kompleks Kerajaan Parcel E di Putrajaya berkenaan ditahan polis kira-kira 2 pagi Sabtu lalu.


[ ARTIKEL BERKAITAN: ‘Ini yang buat kami terkejut’ ]


4 September lalu Persatuan Staf Akademik UIAM mengucapkan tahniah kepada Maszlee atas pelantikannya sebagai presiden universiti itu di halaman Facebook rasminya.


Bagaimanapun lantikan Maszlee mengundang kecaman pelbagai pihak baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang.


Susulan itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Jumaat lalu berkata kerajaan akan mengkaji semula pelantikan tersebut.


Sementara itu, Maszlee berkata, ramai yang memberi pandangan mengenai keberanian mahasiswa bersuara.


Menurutnya, ada yang menerima sebagai sesuatu yang membina, ada yang menganggap sebagai biadab.


“Apa pun saya sangat menghargai kebebasan bersuara mereka.  Suara mereka saya terima dan seperti yang saya sendiri katakan, saya ingin berjumpa dengan mereka yang mengadakan protes baru-baru ini.


“… saya ingin mendengar sendiri apa yang mereka ingin utarakan,” katanya.


[ ARTIKEL BERKAITAN: ‘Letak jawatan atau kami buat bantahan besar-besaran’ ]


Pada 10 Jun 2014, mahasiswa Auku (Pindaan) 2012 dan Akta Institusi-institusi Pelajaran 1976 (Akta 174) dimansuhkan kerana tidak cukup membebaskan mahasiswa berpolitik.


Pengerusi Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku/Akta 174 (GMMA/174), Khairul Najib Hashim berkata, pindaan terhadap Auku pada 2012 masih tidak cukup untuk membebaskan mahasiswa daripada undang-undang restriktif universiti.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]