NGO mahu PDRM, SPRM siasat Kastam

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pembangunan Komuniti Malaysia (PPKM) mahu siasatan dalaman dibuat terhadap kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana didakwa terdapat unsur salah guna kuasa.


Malah, difahamkan terdapat juga cubaan mendapatkan kepentingan tertentu berkaitan kedudukan jawatan dalam agensi berkenaan.


Presidennya, Nor Aizam Abd Kadir, berkata, ia berikutan ada sebuah pertubuhan tidak berdaftar yang diwujudkan untuk menjaga kepentingan pegawai tertentu yang dinaungi pegawai atasan agensi itu.


“Diyakini juga jabatan berkenaan disalah guna sebagai platform untuk melobi kenaikan pangkat atau penempatan pegawai tertentu di posisi perjawatan yang sensitif terutama di pintu masuk pelabuhan negara.


“Oleh itu kami mohon pihak berkuasa siasat situasi kenaikan pangkat yang drastik pegawai tertentu yang sangat muda (junior) berbanding pegawai lain yang jauh lebih senior dan berpengalaman,” katanya.


Katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.


Menurutnya, disyaki juga wujud unsur rasuah apabila Muzium Kastam di Melaka diberi penjenamaan semula sebagai Muzium Kastam Tan Sri Dr Ali Hamsa pada Mac lalu.


“Dr Ali Hamsa adalah penjawat awam berpangkat Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan kedudukan itu boleh disalah tafsir dan boleh digunakan untuk melobi.


“Adalah tidak masuk akal menukarkan nama muzium kepada nama seorang penjawat awam yang masih bertugas dan individu berkepentingan yang membuat dasar dan keputusan,” katanya.


Nor Aizam berkata, perkara yang berlaku sebelum pemerintahan PH itu akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]