'Itu anak aku, hentikan viral merapu korang'

in Edisi Selangor KL by


KUALA SELANGOR – Seorang bapa mengecam tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan gambar anaknya untuk sebaran maklumat palsu mengenai isu anak yatim hilang tempat tinggal dan memerlukan penjagaan di media sosial.


Dalam kenyataan melalui akaun Facebook Hizami Ejump itu turut memaklumkan laporan polis sudah dibuat dan aduan sama turut dipanjangkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.


Dalam post bertarikh 18 dan 19 September itu, bapa terbabit membuat pengakuan bahawa gambar yang tersebar adalah anaknya dan memohon kerjasama semua pihak untuk menghentikan viral yang merapu.


[ARTIKEL BERKAITAN: 15 bayi dan kanak-kanak hilang penjagaan?]


“Wahai makhluk media sosial, mohon bagi kerjasama hentikan viral merapu korang ni, aku bapak kepada budak-budak yang korang viral, report polis sudah dibuat dan report SKMM akan menyusul siapa yg kena bukan hal aku, ko (engkau) jawab sendiri ngan (dengan) SKMM.”


Selepas ‘post’ pendedahan mengenai kanak-kanak yang masih mempunyai ibu bapa dan menjadi mangsa penipuan itu tular, ramai netizen memberi komen dan kongsi mengenai isu sama.


Bagaimanapun dalam kenyataan terbaharu Hizami Ejump atau nama sebenarnya, Hizami Mohd Nor, 35, memaklumkan, jangan mudah terpedaya dan menularkan sesuatu tanpa usul periksa terlebih dahulu.


Terdahulu, tular mengenai satu pesanan melalui aplikasi WhatsApp yang mengatakan sebuah rumah jagaan anak yatim di daerah ini terpaksa ditutup berikutan masalah kewangan.


Pesanan itu turut memaklumkan terdapat dalam 20 penghuni rumah itu termasuk 15 bayi serta kanak-kanak yang memerlukan penjagaan bagi sesiapa yang berminat.


Bayi dan kanak-kanak terbabit dikatakan masih berusia lima bulan, tujuh bulan, 3 tahun, 5 tahun dan tiga orang bersekolah rendah.


Namun apa yang menghairankan, pesanan itu turut tular dengan pelbagai nama individu yang kononnya boleh membantu dalam prosedur pengangkatan anak angkat.


Sinar Harian turut membuat pemeriksaan terhadap rumah yang dikatakan bernama Rumah Anak Yatim di Kuala Selangor bagaimanapun masih belum menemui sumber sahih.


Sumber JKM memaklumkan, pihaknya turut menerima pesanan aplikasi WhatsApp yang sama dan turut membuat pemeriksaan di rumah jagaan anak yatim dan miskin yang ada di daerah ini.


Bagaimanapun katanya, pihaknya masih belum menemui rumah anak yatim yang dikatakan tutup itu dan jika benar seperti dakwaan, pihaknya sedia untuk membantu.


“Hasil pemeriksaan tiada rumah jagaan anak yatim yang masih bayi dalam pesanan WhatsApp itu dan kalau betul ada, JKM sudi membantu sebab kita tak mahu perkara ini satu penipuan,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]