Bomba siap siaga hadapi banjir

in Edisi by


KUALA TERENGGANU – Tahap persediaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menghadapi banjir di seluruh negara terutama kawasan pantai timur telah pun mencapai 100 peratus.


Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid berkata, di pantai timur, JBPM telah bersedia 100 peratus dari segi logistik dan tenaga manusia termasuklah peralatan marin yang telah diselenggara bagi menghadapi bencana banjir.


“Di pantai timur kita telah bersedia 100 peratus, saya berani bercakap kerana alatan logistik melalui postmoterm daripada kejadian lepas dan atur strategi telah dibuat tetapi dalam keadaan banjir ia bergantung kepada ekstrem atau tak.


“Kalau tak ekstrem (banjir) hanya melibatkan beberapa agensi tapi kalau ekstrem dan disahkan sebagai bencana, kita kena ikut arahan Majlis Keselamatan Negara, jadi ini memang sudah ada dalam prosedur operasi standard (SOP) kita,” katanya kepada media selepas ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Aktiviti Air Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2018 di Pulau Warisan, di sini.


Mohammad Hamdan berkata, dari segi latihan pengurusan insiden dan bencana juga telah dibuat di akademi melibatkan pegawai-pegawai di kawasan pro banjir seperti negeri pantai timur iaitu Pahang, Terengganu, Kelantan dan juga di Sabah, Sarawak serta Johor Bahru.


Dalam masa sama, jabatan berkenaan turut melatih orang awam melalui kursus pengurusan bencana komuniti di mana mempunyai seramai 16,000 orang yang telah menyertainya termasuk juga komuniti yang menetap di kawasan berisiko banjir.


Beliau turut berpesan,sekiranya terdapat amaran daripada pihak kaji cuaca, kerajaan dan agensi-agensi lain mengenai banjir, orang awam perlu bertindak segera dengan melihat tahap amaran tersebut.


“Kalau perlu pindah, mereka kena ikut peraturan itu kerana dalam kita buat kursus, kita dah kenalpasti data penduduk melalui ketua kampung, penghulu dan sebagainya bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap di dalam banjir terutama orang kurang upaya, warga emas dan juga orang sakit,” katanya.


Tambahnya, dalam siap siaga itu, kira-kira 10,000 pegawai  bomba seluruh negara akan bersiap sedia menghadapi bencana dan daripada jumlah itu seramai lebih kurang 4,500 di pantai timur yang biasanya turut dibantu oleh balai bomba dari Selangor, Perak dan Kuala Lumpur terlibat.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]