GV5 buka tirai, tiada penyingkiran di konsert pertama

in Hiburan by

GV5 buka tirai, tiada penyingkiran di konsert pertama


PERTANDINGAN nyanyian yang berjaya mencetuskan fenomena luar biasa, Gegar Vaganza (GV) kini kembali membuka tirai menerusi musim terbaharunya yang juga merupakan penganjuran edisi kelima bermula malam tadi.


GV5 tampil lebih menyengat dengan membariskan sembilan peserta solo lelaki dan wanita, selain tiga peserta berkumpulan yang juga merupakan kelainan yang dibawa untuk musim ini.


Mereka yang beraksi dalam GV5 terdiri daripada Amelina (Asyik), Norynn Aziz (Fantasi Oh Realiti), Safura Yaacob (Sedalam Mana Cintamu), Dia Fadilla (Aku Masih Setia), Hetty Sarlene (Sangsi Asmara) dan Maya Ruslee (Matahari).


Diikuti Farawahida (Tanpamu), Zamani Slam (Gerimis Mengundang), Syafie Rio (Layu Di Hujung Mekar), Elite (Tamparan Wanita), Billy Zulkarnain (Hati Terluka) dan Forteen (Berdua Beraatu).


Masing-masing tampil dengan persembahan hebat menerusi konsert pengenalan yang bertemakan ‘Oh Dia Ke..’ dengan menyanyikan lagu yang pernah menaikkan nama mereka sebelum ini.


Sebagaimana yang dijangka, pada konsert pertama ini tiada penyingkiran yang dilakukan, sekali gus membolehkan kesemua peserta meneruskan persaingan pada konsert kedua minggu depan.


Kesemua peserta diadili dua juri tetap, Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim, selain juri jemputan, Datuk AC Mizal.


Sementara itu, Nabil Ahmad dan Jihan Muse masih dikekalkan sebagai pengacara program yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) ini.

 


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]