Tinggal dua minggu sahaja serah lesen terbang

in Nasional by


SEREMBAN – Pemegang lesen terbang hari ini diingatkan mereka mempunyai masa dua minggu sahaja lagi untuk menyerahkan lesen masing-masing kepada Unit Integriti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri atau berdepan dengan tindakan.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, JPJ mempunyai maklumat terperinci mengenai identiti mereka.


“Kita sudah ingatkan (sebelum ini) semua pemegang atau pembeli lesen terbang supaya kembalikannya kepada JPJ,” katanya kepada pemberita pada majlis pesta tanglung di sini, hari ini.


Maklumat mengenai lesen terbang terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 pegawai dan anggota JPJ dari Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak sejak 4 Sept lalu.


Selepas tangkapan itu terdapat sekurang-kurangnya dua lagi tangkapan anggota JPJ dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan ini, katanya.


Loke tidak mengulas lanjut mengenai tangkapan tersebut.


Beliau juga berkata pihaknya maklum tentang iklan penjualan lesen terbang di laman sosial antaranya Facebook dan telah mengarahkan Ketua Pengarah JPJ untuk menjalankan siasatan untuk tindakan lanjut.


Kini, terdapat seramai 14,000 pemegang ‘lesen terbang’ di seluruh negara.


Kesemua 12 pegawai dan anggota JPJ yang ditahan itu melibatkan seorang timbalan pengarah; masing-masing dua penolong pegawai penguat kuasa dan ketua pembantu penguat kuasa; enam pembantu penguat kuasa; dan seorang pembantu tadbir. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]