PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

September 2018 - page 2

Bukan mudah ambil tindakan kes keluar parti

in Politik by


KUALA LUMPUR – Tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat yang meninggalkan parti yang diwakili ketika pilihan raya bukan mudah untuk dilakukan kerana banyak perkara yang perlu diperhalusi, apatah lagi peruntukan undang-undang seperti itu belum lagi wujud.


Jika untuk menuntut ganti rugi terhadap kos yang parti keluarkan ketika proses pilihan raya ia mungkin boleh dilakukan, tetapi untuk memaksa seorang wakil rakyat mengosongkan kerusi yang dimenangi jika mereka keluar atau lompat parti, undang-undang seperti itu belum ada di Malaysia.


Penganalisis politik Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata sesebuah parti itu tidak boleh mengambil tindakan terus kerana mereka yang lompat parti, keanggotaan mereka secara sendiri telah terbatal.


“Lompat melompat parti ini bukan suatu benda yang baharu bahkan ia telah lama berlaku. Kalau wakil rakyat menang dan keluar daripada parti yang mereka wakili, keanggotaan itu akan terbatal. Kalau dah terbatal keahlian, nak ambil tindakan macam mana.


“Kalau nak sekat mereka daripada lompat, Malaysia tidak ada undang-undang khusus menghalang wakil rakyat yang melompat untuk menyertai parti lain melainkan sebelum mereka menjadi calon, ada aku janji ataupun perjanjian yang ditandatangani…itupun melibatkan soal membayar ganti rugi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.


Abdul Halim berkata jika mereka ingin wakil rakyat mengosongkan kerusi terlebih dahulu, perlu ada pindaan terhadap Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya peruntukan undang-undang itu diwujudkan.


Semalam, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu akan mengambil  tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat daripada parti itu yang melompat parti dan menjadi wakil rakyat bebas.


[ ARTIKEL BERKAITAN: YB Umno keluar parti berdepan tindakan undang-undang ]


Katanya Umno juga akan menuntut bayaran balik yang melibatkan kos dan pihak berkenaan juga perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.


Ahmad Zahid juga berkata semua wakil rakyat Umno akan diminta menandatangani surat aku janji dan jika mereka keluar parti, sama ada menjadi ahli bebas atau pun menyertai parti lain, status mereka sebagai wakil rakyat terlucut secara automatik dan parti  akan menuntut mereka membayar penalti dan ganti rugi.


Ini berikutan Umno berhadapan dengan beberapa wakil rakyatnya yang bertindak keluar parti, selepas kalah pada PRU14.


Bagi Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz, tindakan menyaman mereka yang keluar daripada parti adalah dianggap melanggar kebebasan berpersatuan.


“Dalam kes ini, Umno adalah persatuan. Sewaktu dia menjadi ahli adalah tanggungjawab parti membolehkan dia bertanding dan kalau dia meninggalkan parti berkenaan, dia disaman. Ia boleh dianggap kebebasan berpersatuan itu disekat oleh parti,” katanya.


Shamrahayu berkata seharusnya tiada syarat yang dikenakan wakil rakyat meninggalkan parti kerana mereka mempunyai hak kebebasan berpersatuan.


“Tapi ada juga kemungkinan saman itu boleh diteruskan oleh Umno di mahkamah kerana mereka telah menghabiskan banyak wang ringgit dan sebagai ganti rugi bagi membolehkan mereka bertanding atas tiket Umno,” katanya. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

TUDM juara Kejohanan Payung Terjun ATM 2018

in Sukan by


PASUKAN payung terjun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempertahankan kejuaraan selama enam tahun berturut-turut pada Kejohanan Payung Terjun Tertutup ATM 2018 yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4.


Pertandingan yang berlangsung selama 10 hari bermula 21 September lalu sehingga  hari ini melibatkan 176 penerjun daripada 11 pasukan.


TUDM muncul juara keseluruhan selepas berjaya menguasai  empat kategori yang dipertandingkan iaitu ketepatan payung sukan, ketepatan payung tentera, formasi udara dan formasi payung di udara.


Majlis penutup kejohanan itu disempurnakan oleh Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Abu Bakar Mohd Ajis dan turut dihadiri Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Abdullah.


Abu Bakar dalam ucapannya berkata kejohanan ini telah berjaya mencapai objektifnya iaitu untuk meningkatkan semangat kesukanan dalam kalangan peserta.


“Secara tidak langsung, kejohanan ini mampu meningkatkan disiplin anggota tentera yang terlibat. Saya juga bersyukur kerana tiada  kecederaan serius dilaporkan berlaku sepanjang kejohanan ini berlangsung,” katanya.


Sementara itu, johan kategori ketepatan payung sukan individu, Hisyam Sharkawi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), berkata, kemenangannya adalah hasil minat mendalam dalam sukan tersebut.


“Saya banyak melakukan pemerhatian dan belajar daripada pasukan tentera dan polis sejak dari dulu lagi. Semua yang dipelajari saya gabungkan ketika melakukan terjunan.


“Saya telah menyertai pertandingan seumpama ini sejak 2010 dan pernah juga menyertai pertandingan terjunan di peringkat antarabangsa,” katanya.


Selain JBPM dan ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM),  kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM40,000 itu turut disertai oleh Polis Diraja Malaysia. -Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]

Bosnia and Herzegovina harap jalin kerjasama dua hala

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Bosnia and Herzegovina berharap dapat menjalin kerjasama dua hala dengan Malaysia dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan, pelaburan dan pelancongan.


Ini adalah antara perkara yang dibincangkan Menteri Hal Ehwal Sivil Bosnia Adil Osmanovic dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof ketika melakukan lawatan kerja selama tiga hari ke Sarajevo.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat menteri di sini , Mujahid memulakan lawatan kerja dengan mengadakan kunjungan hormat terhadap beberapa pemimpin negara berkenaan antaranya Grand Mufti of Bosnia Sheikh Husein Kavazovic, Datuk Bandar Sarajevo Abdulah Skaka dan Ketua Pegawai Eksekutif Bosna Bank International (BBI) Amer Bukvic.


Dalam lawatan kerja itu, Mujahid turut berucap di Sarajevo Halal Fest 2018 dan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat-syarikat Malaysia dan Bosnia.


Selain itu, beliau turut dijemput menyampaikan syarahan kepada pelajar di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Sarajevo. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Hanya tinggal 1 peratus untuk hidup, bayi ajaib pulih

in Global by


LONDON – ENGLAND. Seorang bayi ajaib mengalami kecederaan parah selepas terjatuh di ketinggian 40 kaki akhirnya pulih.


Memetik portal Mirror, Anwar Nyanzi berusia 11 bulan dikatakan duduk di atas kerusi menghala ke tingkap.


Tanpa disedari ibu saudaranya, Anwar menjenguk ke luar tingkap sebelum terjatuh ke kawasan penjalan kaki di tingkat bawah blok pangsapuri tersebut.


Mengalami kecederaan parah di kepala, tulang belakang, dia dikatakan hanya mempunyai peluang satu peratus untuk hidup.


Bagaimanapun, mimpi ngeri itu bertukar keajaiban apabila Anwar kembali bernafas dalam tempoh beberapa minggu selepas insiden ngeri itu.


Ibunya, Hawa Rutansingwa, 32, berkata, ia satu keajaiban kerana Anwar berjaya mengharungi dan melawan kesakitan.

Anwar jatuh dari tingkat tiga kediaman ibu saudaranya.- Mirror


Katanya, dia pengsan sebaik tiba di lokasi kejadian setelah melihat keadaan anak lelakinya.


“Kepalanya seperti belon. Matanya hampir terkeluar. Tetapi dia mampu buktikan dia seorang anak yang kuat dan seorang pejuang,” katanya.


Anwar terjatuh dari tingkat tiga kediaman ibu saudaranya, Fauzia di Croydon, Selatan London ketika Hawa sedang bekerja.


Fauzia yang panik segera menghubungi pasukan kecemasan dan memaklumkan Hawa mengenai kejadian menimpa anaknya itu.


Selama empat hari di unit rawatan rapi di Hospital St George di Tooting, London, Anwar menjalani pembedahan otak dan rawatan patah tulang rusuk dan lengan.


Hawa yang bekerja dalam sektor kesihatan pasrah dan mengucapkan selamat tinggal kepada anaknya setelah melihat keadaannya tipis untuk pulih.


Namun, ibu kepada tiga anak itu berkata saat Anwar bernafas semula adalah suatu keajaiban dan amat mengejutkan semua orang.


Source: SH Global

[featured-video-plus]

Koindah perkenal dua produk baharu

in Edisi by


KEMAMAN – Koperasi Indahraya Kemaman Bhd (Koindah) pada tahun ini mengeluarkan dua lagi produk baharu iaitu produk berasaskan daging lembu tempatan dan makanan sunnah iaitu cuka epal campur madu untuk meningkatkan lagi jumlah keuntungan kesemua ahli koperasi mereka.


Pengerusi Koindah, Roslin Abd Rahman berkata, tambahan dua produk itu menjadikan Koindah kini membekalkan sebanyak enam produk dan pihaknya menyasarkan mampu meraih keuntungan sebanyak RM100,000 sehingga hujung tahun ini.


Kata beliau, produk berasaskan lembu yang diperkenalkan adalah daging lembu tempatan, tulang lembu tempatan, organ dalamannya dan daging tempatan proses menjadi daging burger.

Koindah kini turut memiliki sebuah lori dilengkapi bilik sejuk untuk penyimpanan daging.


“Sebelum ini kita hanya menjual lembu hidup kepada penjual daging. Lembu itu kita bela sampai maksimum 100 hari dan kita jual.


“Kita miliki tiga ladang menternak lembu iaitu di Tersat, Kuala Terengganu dan di Cherating serta Gambang masing-masing di Pahang yang kesemuanya mampung menampung kapasiti ternakan kira-kira 5,300 ekor lembu,” katanya.


Roslin yang juga Pengurus Besar Syarikat Indahraya Enterprise Sdn Bhd (Indahraya) berkata demikian pada perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koindah Kali Ke-3 serta Majlis  Apresiasi Warga Indahraya di Residence Inn Cherating, petang semalam.


Majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Omar.

Pekerja Indahraya yang menjalani latihan bersiri untuk membolehkan Indahraya memperoleh persijilan ISO menerima sijil yang disampaikan Tengku Hassan.


Bagaimanpun, Roslin berkata, ketiga-tiga ladang itu ketika ini hanya mempunyai kira-kira 1,400 ekor lembu dan ia akan ditambah lagi bagi memenuhi permintaan ekoran produk baharu yang diperkenalkan itu.


Mengulas lanjut, menurutnya, untuk mengeluarkan daging burger, pihaknya berkolaborasi beraama sebuah kilang burger di Pahang.


“Kita perkenalkan juga  produk cuka epal bercampur madu  kerana keberkesanan produk ini yang dapat membantu menurunkan kadar kolestrol seterusnya menjadikan badan lebih aktif. Kakitanga kita telah mencuba produk ini dan kita dapat lihat kesan ketara,” katanya.


Katanya, pada masa sama pihaknya turut menambah satu lagi kemudahan baharu iaitu lori dilengkapi dengan bilik sejuk untuk penyimpanan daging semasa proses penghantaran produk itu ke stor-stor yang membeli produk mereka.

Tengku Hasaan menyerahkan replika kunci kepada ahli Koindah yang memenangi hadiah sebuah kereta pada acara cabutan bertuah.


Tambah beliau, setakat ini Koindah berkolaborasi bersama tiga buah koperasi di Kemaman iaitu dua buah Koperasi Perwaja dan sebuah koperasi di Felda.


“Koperasi-koperasi ini yang menjual produk-produk kita. Pada tahun lalu kita berjaya peroleh keuntungan lebih RM4,000. Namun dengan tambahan dua lagi produk kita yakin mampu jana keuntungan sebanyak RM100,000,” katanya.


Koindah mempunyai seramai 108 ahli dan keseluruhan kakitangan Indahraya berjumlah lebih 200 orang.


Sementara itu, sehingga kini Indahraya mencapai beberapa kejayaan dan yang paling membanggakan mereka diiktiraf sebagai satu syarikat bertarafkan International Organisation for Standardization (ISO).


Roslin berkata, ia adalah satu kejayaan yang amat besar bagi warga Indahraya kerana pengiktirafan itu adalah bertaraf antarabangsa kerana dikeluarkan United Kingdom Accredation Service (Ukas).


“Persijilan ISO memberi kepentingan kepada Indahraya bagi membantu menguruskan institusi dengan lebih baik bagi memenuhi keperluan pelanggan. Selain itu ia melatih pekerja untuk menjadi lebih cekap dan produktif serta akan mengurangkan kesilapan dan kerja semula, mengurangkan kos operasi, masa dan penggunaan sumber,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

'Allahyarham Wan Amizan banyak berjasa'

in Edisi by


JERANTUT – Jasa dan pengorbanan allahyarham Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak, 46,  akan sentiasa diingati penduduk di sini.


Adun Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badardin berkata, beliau terkejut menerima berita pemergian rakan politiknya itu.


“Allahyarham adalah seorang wakil rakyat yang disenangi penduduk Dun Tahan dan telah berjasa dua penggal sepanjang beliau menjadi wakil rakyat sebelum ini.


“Antaranya, allahyarham telah berusaha menyediakan kemudahan kepada penduduk termasuk jalan raya antara Kuala Tahan dan Ulu Tembeling serta mempromosikan pelancongan Taman Negara.


“Saya mewakili Pas kawasan Dun Tahan mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham dan mendoakan agar segala kebaikan yang dilakukan olehnya mendapat ganjaran setimpal ALLAH SWT,” katanya ketika dihubungi.


[ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Adun Tahan meninggal dunia di Sri Lanka]


Bekas Adun Tahan itu meninggal dunia di sebuah hospital di Sri Lanka ketika menjalani rawatan bagi mengubati penyakit buah pinggangnya, petang tadi.


Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Jerantut itu baru menyambut ulang tahun kelahirannya Khamis lalu.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

Kes lemas makin meningkat

in Edisi by


KUALA TERENGGANU – Kesedaran masyarakat yang masih kurang berhubung langkah keselamatan di air menjadi antara punca menyebabkan jumlah kematian akibat lemas berlaku peningkatan di seluruh negara.


Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, insiden mati lemas meningkat daripada 260 kes pada 2016 kepada 327 kes pada tahun 2017 manakala bagi lapan bulan pertama pada tahun ini pula mencatatkan sebanyak 194 kes di seluruh negara.


Angka itu melibatkan kes-kes kejadian lemas di sungai, air terjun, pantai, tasik, lombong dan juga empangan.


Berdasarkan rekod JBPM, sehingga Ogos tahun ini, negeri Selangor paling banyak merekodkan jumlah kematian akibat lemas iaitu 44, diikuti Sarawak (34) dan Perak (22).


“Negeri-negeri lain seperti Pahang juga mempunyai kes lemas iaitu sebanyak 21, Kelantan (20), Sabah (18), Kedah (16), Terengganu (13), Johor (10), Negeri Sembilan (10), Pulau Pinang (5), Melaka (4), Perlis (1) dan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur (1).


“Melihat kepada kadar berkenaan, terbuktilah kesedaran masyarakat tentang keselamatan di air masih rendah dan kerajaan juga perlu melakukan kaedah-kaedah tertentu bagi mengatasi masalah itu supaya tidak membimbangkan pada masa akan datang.


Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air Peringkat Negeri Terengganu di Pulau Warisan, di sini, semalam.


Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohammad Hamdan Wahid, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zamri Salleh, Pengarah JBPM Negeri, Azlimin Mat Noor.


Dalam masa sama, jabatan bomba juga telah mengenalpasti kawasan-kawasan ‘panas’ iaitu 12 lokasi berisiko tinggi dan 34 kawasan berisiko di seluruh negara.


“Antara 12 kawasan berisiko tinggi yang dicatatkan melibatkan seperti Sungai Kampung Batu Payung, Tawau, Sabah, Air terjun Sungai Sendat, Selangor dan Empangan Semenyih, Selangor serta Pantai Nipah dan Muara Tok Bali, Kelantan.


“Manakala antara 34 kawasan berisiko pula ialah Sungai Panggung Wayang Lama, Jitra, Kedah, Air Terjun Belukar Bukit, Terengganu, Tasik Bekok, Johor dan Pantai Tanjung Kuala Kemasik,” katanya.


Ekoran itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta memasang papan-papan tanda amaran dengan menggunakan simbol-simbol ISO supaya mudah difahami oleh semua pengunjung.


Sebagai langkah proaktif lain, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengkaji dan menggubal undang-undang yang bersesuaian bagi tujuan penguatkuasaan keselamatan di air dan rekreasi oleh Jabatan Kerajaan Tempatan.


PBT juga akan didedahkan dengan garis panduan pengurusan dan penyelenggaraan kolam renang di kawasan PBT yang dijangka diumum awal tahun depan.


Beliau turut menasihati pelancong untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan keselamatan semasa menjalankan sebarang aktiviti melibatkan air termasuk pemantauan ibu bapa terhadap pergerakan anak-anak memandangkan kejadian lemas yang berlaku di dalam negara banyak melibatkan kanak-kanak dan juga pelajar.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

GPM lancar tabung #PeduliGempaSulawesi

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Global Peace Mission (GPM) Malaysia melancarkan tabung kecemasan #PeduliGempaSulawesi ekoran bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda nrgara jira , Indonesia.


Ketua Pegawai Operasinya, Syahrir Azfar Saleh berkata pelbagai barangan keperluan asas diperlukan mangsa-mangsa tersebut.


“Berikutan gempa bumi disusuli tsunami


yang melanda bandar Palu dan Donggala Sulawesi Tengah, Indonesia, GPM Malaysia telah melancarkan tabung bantuan kemanusiaan


#PeduliGempaSulawesi bagi membantu mereka yang terjejas.


“Berdasarkan laporan yang telah dikeluarkan oleh Pusat Koordinasi ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan (AHA Centre), bantuan yang diperlukan


ketika ini adalah makanan siap saji, bekalan air bersih, sanitasi dan kit kebersihan, keperluan perubatan, kit kebersihan untuk wanita termasuk keperluan lain yang bukan makanan seperti khemah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Dua hari lalu, wilayah tengah Indonesia digegarkan dengan gempa bumi berkekuatan 7.5 pada skala Richter yang mengorbankan banyak nyawa dan infrastruktur.


[ARTIKEL BERKAITAN: Palu dilanda tsunami selepas gempa kuat]


Menurut Syahrir, pihaknya sudah berhubung dengan GPM Indonesia bagi mengatur


penghantaran barang-barang bantuan kemanusiaan kepada masyarakat yang


terjejas.


“Khususnya mereka yang berada di Kota Palu dan Kabupaten Donggala dalam


kadar yang segera.


“GPM mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin dan menyeru agar usaha bantuan kemanusiaan ini diberikan sokongan oleh semua,” katanya.


Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi dan


tsunami di Sulawesi Tengah boleh melakukannya melalui butiran berikut :


1. Sumbangan dalam talian : www.billplz.com/gempasulawesi


2. Pindahan ke akaun GLOBAL PEACE MISSION :


Maybank : 5642 2161 1602


Bank Islam : 1402 3010 02922 4


Ref : tsunami


e-mel : [email protected]


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

LiSA inovasi baharu bomba

in Edisi by


KUALA TERENGGANU – Life-Saving Appliances (LiSA) dicipta sebagai alternatif amaran kecemasan awal di air dalam usaha mempercepatkan respon daripada orang awam dan balai bomba terdekat.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur, Mohd Eirwan Hussin berkata, hasil inovasi itu (LiSA) sama dengan fungsi amaran kes kebakaran di bangunan tetapi diaplikasikan di kawasan aktiviti air.


LiSA dihasilkan berikutan tiada siren amaran yang dapat dilakukan di tempat kejadian (lokasi aktiviti air) bagi menarik perhatian orang awam dan balai bomba terdekat dengan cara lebih pantas.


Mohd Eirwan berkata, apabila berlakunya kecemasan atau terdapat kes lemas, orang awam dapat memberi respon segera dengan memecahkan pintu kaca bagi membuka kotak terbabit dan dalam masa sama, satu isyarat akan dihidupkan secara terus menghubungkan balai bomba terdekat selain siren atau loceng akan berbunyi.


“LiSA direka khas dengan sistem simkad di mana ia akan menjadi penghubung kepada balai bomba terdekat apabila pintu kaca dipecahkan sebelum pintu utama dapat dibuka bagi mengambil peralatan di dalamnya seperti tali, jaket keselamatan, ubatan dan banyak lagi yang disediakan di dalam kotak ini.


“Biasanya dalam keadaan panik, orang awam terlupa untuk menghubungi pihak bomba tetapi dengan menggunakan kemudahan LiSA, ia mempercepatkan pihak bomba mendapat isyarat serta lokasi kejadian dengan pantas kira-kira 30 saat selepas kotak dibuka,” katanya kepada Sinar Harian.


Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohammad Hamdan Wahid berkata, beliau menggalakkan kakitangan menghasilkan inovasi tersendiri bagi memudahkan penyelesaian kerja mereka mengikut bidang-bidang tertentu.


Menurutnya, sebelum ini LiSA telah dibawa ke pertandingan di beberapa agensi untuk membentangkan kegunaannya dalam membantu mangsa atau orang awam sebagai respon awal kes-kes kecemasan di air.


Bagaimanapun, pihaknya sedang mengkaji di mana lokasi sesuai untuk meletakkan peralatan terbabit pada masa akan datang sekiranya ia dipersetujui untuk dikomersilkan supaya ia tidak disalahguna dan mengelak panggilan palsu.


Perbincangan itu mungkin akan dibuat bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), Angkatan Pertahanan Awam dan banyak lagi pihak lain seperti taman negara, taman laut, resort dan sebagainya.


“Saya harap mereka ini akan dapat patenkan produk LiSA suatu masa nanti supaya ia dapat dikomersilkan ke pelbagai peringkat termasuk antarabangsa,” katanya.


Dalam masa sama, beliau berkata, banyak lagi inovasi lain yang dihasilkan pegawai bomba di balai seluruh negara, dan disebabkan itu juga pada Oktober ini, satu pertandingan inovasi bakal diadakan di Pulau Pinang yang disertai balai bomba dari 16 buah negeri.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

Dr Mahathir saksikan koleksi dunia Islam Muzium British

in Nasional by


LONDON – Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad berpeluang menyaksikan prebiu eksklusif koleksi Galeri Dunia Islam Yayasan Albukhary di Muzium British pada Ahad.


Galeri Dunia Islam Yayasan Albukhary yang mengetengahkan artifak kesenian Islam, sedang dalam pembinaan dan akan dibuka kepada umum pada 18 Oktober ini.


Galeri baharu di muzium ini memaparkan pelbagai koleksi kesenian Islam secara menyeluruh melalui seni dan budaya material.


Ia mempamerkan objek yang memberi gambaran mengenai pertukaran budaya melibatkan kawasan bermula dari Nigeria hingga ke Indonesia, dari abad ke-7 hingga sekarang.


“Ia mengetengahkan jalinan hubungan global merentasi wilayah dari Afrika Barat ke Asia Tenggara dan mencerminkan kaitan antara zaman purba, pertengahan dan moden,” demikian menurut kenyataan Muzium British.


Galeri ini disokong oleh Yayasan Albukhary dan Muzium Kesenian Islam yang berpangkalan di Malaysia.


Turut hadir pada prebiu eksklusif itu ialah hartawan Malaysia Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, yang terkenal sebagai seorang dermawan.


Pengarah Muzium British Hartwig Fisher dalam kenyataan berkata Galeri Dunia Islam Yayasan Albukhary membenarkan muzium itu mempamerkan koleksi berkelas dunia untuk menghebahkan tentang Islam yang lebih universal dalam konteks global.


Sementara itu Syed Mokhtar Albukhary yang juga Pengerusi Yayasan Albukhary berterima kasih kepada Muzium British atas kejayaan kerjasama itu yang bertujuan menampilkan konvergens dan diverjens Islam.


“Dalam konteks globalisasi, saya berharap galeri baharu ini akan menarik pengunjung pelbagai budaya dan menyumbang kepada pemahaman sejarah, kesenian dan kebudayaan dunia Islam,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Kembali UTAMA