PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

September 2018 - page 390

Hentikan polemik politik, bersatu bangunkan negara

in Uncategorized by


IPOH – Semua pihak perlu  menghentikan polemik politik sebaliknya melaksanakan peranan masing-masing membina negara.


Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara berkenaan secara keseluruhannya memerlukan kerjasama erat dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.


“Semua anggota  masyarakat pelbagai kaum diminta menghentikan polemik politik dan sebaliknya bersama bergerak ke hadapan membina negara.


“Kita perlu sama-sama bergerak ke hadapan dengan keluar daripada zon selesa dan bersatu tenaga untuk terus berkhidmat,” katanya.


Ahmad Faizal berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2018 di Dataran Bandaraya Ipoh, malam tadi.


Turut berkenan berangkat, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.


Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ghazali Jalal serta barisan Exco Kerajaan Negeri.


Dianggarkan lebih 5,000 pengunjung hadir bagi memeriahkan majlis sambutan  berkenaan.


Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, semua pihak perlu akur perubahan mendadak geo-politik dan ekonomi dunia pada hari ini.


“Kita mesti akur keadaan ini agar kita dapat menumpukan tenaga dan masa demi memperkukuhkan daya saing negara,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]

Ponteng sekolah bongkar kisah sedih lima beradik

in Uncategorized by


KUALA KURAU – “Saya sudah bersiap hendak ke sekolah, namun abang tidak dapat hantar kerana minyak motosikal hanya cukup untuk dia pergi ke tempat kerja.”


Demikian penjelasan Nur Farah Diana Mohd Sobri, 8, seorang daripada lima beradik yang kini terpaksa bergantung hidup kepada abangnya berusia 17 tahun susulan ‘kehilangan’ ibu bapa.


Lebih menyedihkan, kehidupan lima beradik tinggal di sebuah rumah pusaka keluarga usang di Batu 7, Kuala Kurau amat daif  memerlukan bantuan pihak prihatin.


Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Baharu, Hasmah Sharif berkata, penjelasan Nur Farah Diana itu amat meruntunkan jiwa susulan tidak menyangka tindakan pelajar itu bersama abangnya, Amirul Mukmin,10, sering ponteng  berpunca kesempitan hidup.


Tambah mengejutkan, Nur Farah Diana pelajar Tahun Dua sekolah terbabit dikatakan sering mengikat perut dengan berkongsi juadah nasi lemak dibeli menggunakan duit Rancangan Makanan Khas (RMK) bersama abangnya itu semata-mata untuk makan sehari sekali.


“Pada Julai lalu, apabila prestasi rekod kehadiran pelajar di sekolah kami terjejas, kami mula mengenal pasti ada dua pelajar adik-beradik hanya hadir sekolah lima hari sahaja dalam sebulan.


“Pada 18 Julai lalu, saya bersama guru penolong kanan Hal Ehwal Murid (HEM) pergi ke rumah dua pelajar berkenaan bagi menyiasat.


“Kehadiran kami membawa penemuan mengejutkan apabila keadaan rumah itu bukan sahaja kotor dan usang, malahan mereka bersama tiga beradik lain rupanya dijaga seorang abang berusia 17 tahun sejak beberapa bulan lalu,”katanya selepas membawa dua pelajar berkenaan menerima sumbangan barangan keperluan daripada Econsave Wilayah Utara bernilai RM1,000, kelmarin.

Hasmah(dua kiri) bersama Nur Farah Diana(tengah), Amirul Mukmin(tiga kiri) dan Luqmanul Hakim (tiga kanan) sewaktu menghantar barangan keperluan dan makanan sumbangan Econsave ke rumah mereka.


Hasmah berkata, pada lawatan kali pertama ke rumah lima beradik itu, dia dimaklumkan mereka ditinggalkan ibu sejak beberapa bulan lalu, manakala bapa mereka gagal dikesan hingga kini.


Sejak itu, Hasmah mengetahui kehidupan lima beradik itu termasuk tiga masih bersekolah disara abang keempat, Muhammad Arif Iqbal, 17, yang terpaksa berhenti sekolah sewaktu Tingkatan Tiga dan kini bekerja sebagai pencuci kereta di Bagan Serai.


“Memandangkan gaji si abang itu tidak cukup bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga, jadi Nur Farah Diana dan Amirul Mukmin hanya boleh hadir ke sekolah jika abang mereka mempunyai minyak motosikal.


“Saya juga tidak dapat menahan tangisan apabila melihat keadaan dapur rumah mereka kering-kontang tanpa sebarang bekalan makanan,”katanya.


Susulan penemuan mengejutkan itu, Hasmah turut mengenal pasti seorang lagi abang kepada Nur Farah Diana, Luqmanul Hakim,13, juga seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) kini bersekolah di SK Sri Kurau, Kuala Kurau.


Manakala kembar Luqmanul Hakim iaitu Rabiatul Adawiyah,13, dimaklumkan kini bersekolah di Bagan Serai.


“Saya diberitahu abang ketiga, Muhammad Taufiq Aiman,19, turut tinggal bersama lima beradik itu masih mencari kerja sewaktu kali pertama kami melawat mereka.


“Keseluruhan adik-beradik keluarga malang itu sebenarnya berjumlah lapan orang. Kakak sulung dan abang kedua difahamkan tidak lagi tinggal bersama mereka,”katanya.


Hasmah berkata, pendedahan cerita menyayat hati melibatkan lima beradik itu menyebabkan dirinya bersama guru lain terpanggil menularkan kisah mereka melalui laman sosial.


Menurutnya, nasib lima beradik itu kini mendapat perhatian banyak pihak termasuk wakil rakyat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Econsave dan beberapa NGO.


“Sebaik kisah mereka tular, JKM Kerian segera membuat lawatan dan meluluskan bantuan bulanan  RM400.


“Nasib mereka turut mendapat perhatian Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa apabila sumbangan RM700.


“Selain itu, pelbagai NGO prihatin seperti Skuad Jom Bantu dan Juru Bikers Club turut menyalurkan bantuan bernilai lebih RM2,000 terus ke dalam akaun bank milik Muhammad Arif Iqbal yang kini bertindak sebagai penjaga keluarganya,”katanya.


Hasmah turut bersyukur kesusahan lima beradik itu kini mendapat simpati Econsave Wilayah Utara apabila pengurusan pasaraya itu bermurah hati memberi sumbangan baucar membeli-belah bernilai RM1,000 kepada mereka.


Peruntuk sumbangan RM1,000


Sementara itu, Pengurus Operasi Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor menegaskan pihaknya memperuntukkan sumbangan RM1,000 berbentuk baucar membeli-belah melalui Dana Econsave Prihatin 2018 kepada keluarga lima beradik malang itu.


Melalui sumbangan baucer itu, Zamzuri menjelaskan keluarga berkenaan diminta membelanjakan keseluruhan nilai baucer tersebut bagi membeli apa sahaja barangan keperluan, pakaian dan makanan mereka dengan diselia guru-guru sekolah masing-masing.


“Inisiatif ini merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat(CSR) kami dalam memberi pulangan semula kepada masyarakat susulan mengetahui kisah lima beradik berkenaan tular melalui laman sosial dan media tempatan.


“Selain itu, Econsave akan terus memantau perkembangan keluarga malang berkenaan sepanjang masa dan bersedia melibatkan kakitangan kami dalam apa jua aktiviti kebajikan membantu mereka,”katanya.

Zamzuri (kiri) teruja membantu Nur Farah Diana ( hadapan kanan), Luqmanul Hakim(hadapan dua kanan) dan Amirul Mukmin (hadapan dua kiri) mendapatkan sandal dihajati mereka.


Mana-mana pihak yang ingin menyalurkan sumbangan kewangan bagi meringankan beban dipikul keluarga lima beradik malang ini boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional 0890 0410 0013 0640 atas nama MUHAMMAD ARIF IQBAL MOHD SOBRI.


Dalam pada itu, Hamdan Fadel sewaktu dihubungi menegaskan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar akan cuba menyalurkan bantuan susulan kepada keluarga lima beradik berkenaan dalam tempoh segera.


“Ada cadangan mereka dipindahkan ke sebuah rumah bantuan kerajaan, namun sebab tertentu saya fikir idea itu perlu dikaji semula.


“Cuma pihak kami akan menyalurkan bantuan kepada mereka terus kepada pihak pentadbiran sekolah sebagai pemegang amanah bagi memastikan ianya tidak disalah guna,”katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]

Lahir tepat detik merdeka

in Uncategorized by


IPOH – Ibu kepada seorang bayi lelaki yang dilahirkan tepat pada detik 12 tengah malam semalam, Saniah Ismail, 28 ternyata begitu gembira dengan kelahiran anaknya itu.


Saniah berkata, dirinya sama sekali tidak menyangka akan melahirkan anak tepat pada detik berkenaan dan menganggap kelahiran berkenaan sebagai cukup bermakna buat dirinya sekeluarga.


Bagaimanapun menurutnya, masih belum ada nama yang khusus untuk diberikan kepada anaknya itu kerana mahu berbincang dahulu dengan suaminya.


“Setakat ni, saya belum fikir lagi untuk memberikan nama kepada anak saya ini.  Pasal tarikh ni pun, saya memang  tak tahu dan tak rancang apa-apa.


“Tapi, saya dah rasa sakit sejak tiga hari lalu dan semalam (kelmarin) mak mentua suruh saya datang ke sini.


“Saya masuk wad dalam jam10 malam dan dalam masa dua jam, saya selamat bersalin,” katanya ketika ditemui di Wad Bersalin Hospital Raja Permaisuri Bainun, semalam.


Berdasarkan catatan rekod, bayi lelaki seberat 3.23 kilogram itu selamat dilahirkan secara normal oleh Saniah.


Bayi yang masih belum diberikan nama itu nama itu, adalah anak ketiga bagi Saniah serta suami, Mohd Ariff Fahmi, 29.


Dalam pada itu, bagi K Yogeswary, 28 menyifatkan dirinya serta suaminya,K Prakash, 32, cukup bertuah kerana mereka dikurniakan anak pada tarikh 31 Ogos, yang juga tarikh kemerdekaan negara.


Katanya, kelahiran anaknya itu juga cukup menggembirakan kerana mereka sememangnya telah menantikan sejak setahun yang lalu.

Yogeswary bersama suami, Prakash serta anak mereka. (Gambar kanan) Saniah bersama anaknya.


“Saya rasa sangat bertuah sebab anak saya lahir betul-betul pada masa 31 hari bulan Ogos. Ini adalah anak sulung saya.


“Saya sangat gembira anak saya lahir pada 31 Ogos dan anak saya telah menjadi anak Malaysia.  Saya dan suami sangat-sangat gembira,” katanya.


Sementara itu, Ketua Jururawat Wad Bersalin HRPB, Tengku Nor Laila Tengku Mat berkata, sejumlah 12 kelahiran direkodkan setakat 11.59 pagi semalam melibatkan empat bayi lelaki dan lapan bayi perempuan.


Katanya, wad bersalin berkenaan dijangka bakal menerima lagi beberapa kelahiran hari ini berikutan  masih ada pesakit yang menunggu giliran di bilik bersalin.


“Kita jangkakan mungkin ada pertambahan lagi kelahiran bayi, kerana di dewan bersalin ada lagi pesakit dalam proses menunggu kelahiran,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]

1 388 389 390
Kembali UTAMA