YANGON – MYANMAR . Pihak berkuasa Myanmar memusnahkan ratusan gading gajah yang dirampas termasuk haiwan lain, bernilai sejumlah AS$1.3 juta (RM5,380,687) di pasar gelap, sebagai tindakan tegas terhadap perdagangan haram hidupan liar.
Menerusi laporan Reuters, pihak berkuasa memusnahkan 277 gading gajah, 1,544 tanduk, 180 tulang harimau dan pelbagai barang yang dirampas seberat lebih 1.4 tan di sebuah komoditi kerajaan di ibu negara, Naypyitaw.
“Adalah penting untuk memulihara sumber alam semula jadi negara kita, termasuk tanah, air, hutan, gunung dan hidupan liar, demi generasi akan datang,” kata Menteri Sumber Asli dan Pemuliharaan Alam Sekitar, Ohn Win semasa majlis tersebut.
Myanmar, yang terletak di kawasan ‘Segitiga Emas’ yang bersempadan dengan Thailand dan Laos, berada di tengah-tengah perdagangan global dalam hidupan liar haram, dengan barangan yang diseludup kebanyakannya ke China.
Satu laporan oleh kumpulan pemuliharaan, Save the Elephants minggu ini berkata larangan China terhadap perdagangan gading baru-baru ini telah dilakukan sedikit demi sedikit untuk menghentikan ‘pertumbuhan prolifik’ dalam perdagangan di perbatasan sempadan Myanmar-China Mong La, di mana terdapat peningkatan 60 peratus Barang gading baru dilihat untuk dijual dalam tempoh tiga tahun yang lalu.
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi fokus terhadap industri digital kerana ia dilihat sangat penting dan berpotensi dalam pelbagai sektor pada masa depan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, bagi menjayakan perkara ini, Malaysia mesti mengalu-alukan industri baharu ini sekali gus mengembangkan bakat-bakat muda dalam teknologi digital seperti robotik dan kecerdasan buatan pintar atau AI.
Beliau berkata, bagaimanapun usaha awal ini memerlukan guru serta ibu bapa untuk turut sama memainkan peranan bagi mengenal pasti bakat generasi muda atau anak-anak mereka dalam dunia teknologi digital ini.
Menurutnya, jika dilihat menerusi internet, pelbagai inovasi serta bakat kreatif ditonjolkan anak muda di negara ini dan ada yang berkemampuan menghasilkan permainan, aplikasi tertentu dan bermacam produk digital lain.
Justeru itu katanya, negara perlu mempunyai satu sistem atau infrastruktur yang baik untuk membawa bakat generasi muda ini ke depan.
Gobind dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood (duduk, tengah) mendengar penerangan daripada seorang Digital Ninja berkenaan hasil ciptaannya.
“Setiap hari kita dengar Singapura, Vietnam mahupun negara lain mempunyai ciptaan baru. Jika kita tak ambil kesempatan sekarang untuk mencipta sistem atau infrastruktur di mana kita boleh membantu industri, kita akan kehilangan peluang keemasan ini.
“Kerajaan menerusi kementerian ini akan membangunkan industri digital ini dengan memastikan akses yang sama kepada internet bagi penduduk bandar dan luar termasuk penekanan mengenai celik digital.
“Tiada guna jika kita ada akses atau kemudahan yang baik tapi tiada pendidikan mengenai kebaikan yang kita boleh peroleh daripadanya dan begitu juga sebaliknya,” katanya pada sidang media selepas menjadi panel forum bertajuk ‘Persediaan Bakat untuk Masa Depan’ sempena pameran #mydigitalmaker Fair 2018 anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kementerian Pendidikan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad lalu.
Gobind dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood bergambar bersama pemenang pemenang pertandingan ‘Battle of Digital Ninjas’.
Gobind berkata, pihaknya juga mengambil pendekatan untuk membangunkan infrastruktur serta mengusulkan idea untuk menyediakan pendidikan di peringkat awal sekolah mengenai teknologi digital ini.
“Semua kanak-kanak kini mempunyai akses kepada telefon pintar pada usia yang sangat muda, adalah penting bagi kita untuk memastikan mereka memahami kuasa Internet,” katanya.
Selain itu katanya, kerajaan juga boleh membantu dari segi menyediakan bantuan kewangan kepada pereka digital untuk membawa produk ciptaan mereka ke depan serta bekerjasama dengan sektor swasta dari segi mendapatkan tajaan.
“Kita sangat komited dalam memastikan Malaysia bersedia untuk berdepan cabaran serta beralih ke era digital ini. Kita yakin perkara ini akan berjaya direalisasikan,” katanya.
MELAKAR masa depan yang cemerlang dalam pembangunan permainan video (games) dan industri sukan elektronik (E-Sukan) di negara ini bukan lagi sembang kosong, ia sudah pun berada di landasan tepat untuk terus digilap.
Malah, dunia games ini juga bukan lagi bahan bebelan ibu bapa sebaliknya mereka cenderung menyokong minat generasi masa kini dan sudah pun menjadikannya satu budaya.
Kesedaran dalam memanfaatkan peluang semakin jelas dengan adanya sokongan daripada badan swasta yang menawarkan ruang serta pihak kerajaan yang sedia memberi peluang dalam mendukung industri berkenaan ke peringkat global.
Menerusi forum bertajuk ‘Merancang Masa Depan bersama Belia dalam Pembangunan Games dan industri E-sukan’ sempena #mydigitalmaker Fair 2018, industri tersebut dibayangkan berpotensi mencapai matlamat dalam membawa nama negara ke peringkat antarabangsa berdasarkan platform dan ruang sedia ada dan bakal dikembangkan.
Forum yang dikelolakan oleh Naib Presiden, Teknologi Kandungan Kreatif MDEC, Hasnul Hadi Samsudin, menampilkan barisan panel terdiri daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim; Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Gaming Metronomik Sdn Bhd, Wan Hazmer Wan Abdul Halim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kitamen Resources, Hazman Hassan.
Barisan tulang belakang penganjuran #mydigitalmaker Fair 2018 bergambar selepas selesai forum.
Semua mereka juga senada dalam melihat potensi pembangunan games dan E-Sukan untuk lebih maju malah bersedia menggembleng peranan memastikan hasrat itu dapat direalisasikan.
Berkongsi pengalaman, Hazmer berkata, generasi hari ini beruntung apabila industri berkenaan kini lebih terbuka dengan pilihan platform yang ada membolehkan mereka membangunkan minat dan bakat.
Berbeza dengannya apabila memilih berhijrah ke Tokyo, Jepun untuk mencapai impian membangunkan games atas dasar minat dalam mencipta sesuatu yang baharu seterusnya menyediakan platform untuk membantu generasi hari ini turut sama terlibat dalam industri.
“Saya baru pulang dari Jepun dan melihat acara ini (#mydigitalmaker Fair 2018). Pada saya kita (Malaysia) benar-benar berada di landasan yang tepat. Paling menarik apabila seisi keluarga turut serta. Pembangunan game sememangnya menjadi sesuatu yang diraikan bukan hanya tentang perniagaan.
“Hanya kena pastikan ada kesungguhan dan minat selain usaha untuk pastikan apa yang dimahukan itu dapat dicapai. Kami di sini sedia membantu bawa idea untuk pastikan identiti sebagai rakyat Malaysia dikekalkan,” katanya.
Mampu membentuk kerjaya
Bagi Hazman pula, bidang pembangunan games dan industri E-Sukan juga merupakan platform membina kerjaya apabila banyak peluang pekerjaan ditawarkan.
Pihaknya melihat lebih banyak peluang dapat diwujudkan dengan menubuhkan syarikat yang menjadi pusat sehenti dalam bidang E-Sukan.
“Peluang yang ada dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang adalah amat luar biasa. Dengan penglibatan dalam E-Sukan, ia bukan sekadar bermain game, tetapi juga mampu membentuk kerjaya pada masa akan datang.
“Sebagai contoh ppengulas sukan, programmer, video editor dan sebagainya. Pembangunan games dan industri E-Sukan saling melengkapi ibarat sebuah keluarga,” katanya.
Perkongsian berkenaan mendapat reaksi positif Steven Sim, apabila beliau menyatakan kesediaan untuk menyediakan lebih banyak ruang dan peluang dalam menjalin kerjasama bersama pihak swasta untuk masa depan pembangunan games dan industri E-Sukan.
Katanya, tidak boleh dinafikan industri berkenaan juga melalui zaman reformasi seiring dengan reformasi kerajaan pada hari ini.
Murid yang hadir tidak melepaskan peluang mencuba permainan komputer.
“Malaysia adalah negara di mana setiap warganya tidak kira dari mana ceruk, selagi rakyat Malaysia itu ada impian, kita mahu jadikan tanah air ini sebagai tempat kita mencapai impian tersebut. Kita mahu supaya sistem pendidikan menyediakan anak muda menghadapi cabaran. Kita mahukan sistem kerajaan memberikan akses kebebasan ruang demokrasi supaya anak-anak semua boleh meluahkan isi hati dan aspirasi mereka.
“Kerajaan sediakan demokrasi itu dan sediakan peluang itu kepada semua tanpa mengira bangsa. Kita boleh membina ‘Final Fantasy’ sendiri atau ‘Final Fantasy’ versi Hang Tuah di Malaysia,” katanya.
#mydigitalmaker Fair 2018 dianjurkan Kementerian Pendidikan Malaysia bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai sebahagian daripada gerakan #mydigitalmaker dalam memberi pendedahan kepada golongan belia tentang peluang kerjaya dalam sektor digital di masa hadapan.
Berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil ruang pameran #mydigitalmaker Fair 2018 memberi pendedahan kepada pelajar, guru dan ibu bapa sertai pengalaman digital menerusi aktiviti-aktiviti seperti robotik, pembuatan dron, percetakan 3D, ceramah kerjaya dan pertandingan berasaskan digital.
Pelbagai program dan pertandingan disediakan dan direka untuk membantu pelajar, guru dan ibu bapa lebih memahami pendidikan teknologi digital dan potensinya dalam memacu ekonomi digital negara.
PUTRAJAYA – Belum pun dua jam Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Rahim dilepaskan daripada tahanan reman, kini anak sulungnya pula dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Lelaki yang berusia 24 tahun itu ditahan jam 12 tengah hari selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM hari ini.
Penahanan itu bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek kerajaan bernilai jutaan ringgit.
Suspek dipercayai menjadi proksi kepada ayahnya yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno.
Menurut sumber, lelaki berkenaan berperanan sebagai ‘runner’ dalam urusan perpindahan wang rasuah membabitkan syarikat kontraktor.
Difahamkan, siasatan SPRM ketika ini dibuat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Penahanan terbaharu itu menjadikan lima individu direman sejak 26 September lalu termasuk Ahli Parlimen tersebut membabitkan kes sama.
Pada 25 September lalu, Abdul Azeez, abangnya serta sepupu mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes sama dan mereka direman sehari kemudian.
BAGAN SERAI – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Perak kesal dengan sikap kerajaan negeri cuba menyekat penganjuran program Himpunan Kebangkitan Ummah Perak yang diadakan selepas solat Jumaat hari ini.
Pengarahnya, Datuk Drs Khalil Idham Lim Abdullah berkata, program penyatuan umat Islam dan Melayu negeri Perak itu yang sepatutnya dijadualkan berlangsung di pekarangan Masjid Al-Athar, Masjid Tinggi di sini kini terpaksa berpindah lokasi ke Maahad Tahfiz Al-Akhlak Al-Islamiah, Masjid Tinggi susulan menerima tekanan banyak pihak termasuk Exco Agama, Asmuni Awi.
Menurutnya, tekanan dan panggilan telefon bertalu-talu diterima pihaknya selepas mempromosi program himpunan itu melalui media sosial awal bulan lalu.
“Lebih mengecewakan, pihak penganjur dan pengurusan kariah masjid turut diugut segelintir pihak susulan penganjuran program itu.
“Seolah-olah program NGO Ummah ini memberi ancaman kepada keselamatan rakyat di sini, “katanya kepada media selepas menganjurkan majlis persidangan meja bulat Himpunan Kebangkitan Ummah Perak membabitkan lebih 50 NGO melayu dan Islam di sini hari ini.
Khalil Idham Lim berkata, setelah menerima tekanan bertali arus daripada kerajaan PH Perak, Ummah Perak akur untuk memindahkan lokasi perhimpunan ke tempat lain.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Ummah Perak masih tidak berpuas hati dengan pelbagai halangan dihadapi untuk menganjurkan program bukan berbentuk kepartian.
“Sebagai kerajaan memperjuangkan kebebasan bersuara, program memperkasakan umat Islam dan Melayu seperti ini sepatutnya diraikan kerajaan PH Perak, bukan disekat.
“Bagaimanapun, halangan sebegini tidak akan mematahkan semangat Ummah Perak dengan kerjasama NGO melayu dan Islam untuk terus berusaha menyatupadukan umat Islam dan Melayu pada masa hadapan.
“Kita juga berharap tiada lagi sebarang bentuk sekatan atau halangan dikenakan kerajaan PH Perak terhadap mana-mana NGO yang membawa agenda perjuangan positif, “katanya.
Sementara itu, Pengerusi Ummah Malaysia, Kamaruzzaman Mohammad mengesahkan pelancaran cawangan kelima NGO itu di Perak selepas menerima sokongan padu lebih 50 NGO melayu dan Islam negeri itu.
Menurutnya, pelancaran itu membolehkan Ummah Malaysia kini memiliki lima cawangan termasuk Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
“Ummah akan bertindak selaku satu NGO yang akan cuba menyatupadukan umat Islam dan orang Melayu di negara yang semakin berpecah-belah selepas PRU14 disebabkan perbezaan politik.
“Kita juga akan memastikan suara umat Islam dan Melayu didengari kerajaan baharu PH dan tidak diperlekehkan kerana kita tidak mahu ada pihak cuba menafikan hak keistimewaan orang Melayu dan umat Islam sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan Malaysia, “katanya.
PUTRAJAYA – Seorang proksi kepada ahli parlimen yang ditahan baru-baru ini dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Selasa lalu.
Lelaki berusia 40 tahun yang juga broker jualan kenderaan itu ditahan bagi membantu membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek kerajaan bernilai jutaan ringgit.
Dia disyaki berperanan sebagai runner dalam urusan perpindahan wang rasuah membabitkan syarikat kontraktor.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim terhadap individu yang bergelar datuk itu selama enam hari bermula Rabu.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana rasuah.
Penahanan terbaharu itu menjadikan empat individu direman sejak 26 September lalu termasuk Ahli Parlimen tersebut berhubung kes sama.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bersama abang dan sepupu di tahan SPRM 25 September lalu sebelum mereka direman keesokan harinya.
PORT DICKSON – Calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong mendakwa calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba membeli undi semasa berkempen PRK Parlimen Port Dickson.
Malah, beliau turut menyenaraikan lima perkara yang dikaitkan dengan Presiden PKR itu dan mendakwa ia adalah percubaan untuk membeli undi rakyat kawasan tersebut.
Menurutnya, sekiranya rakyat membenarkan budaya ‘politik lama’ ini diteruskan maka Malaysia akan kembali ke zaman lama yang penuh dengan penganiayaan kepada rakyat.
“Bersih 2.0 menyatakan bahawa PH paling banyak melakukan kesalahan dalam PRK Dun Seri Setia dan Dun Balakong. Kesalahan tersebut termasuklah menggunakan aset kerajaan, menawarkan hadiah dan makanan percuma untuk mendapatkan sokongan.
“Dalam beberapa hari ini, saya juga telah melihat perkara sebegitu berlaku di Port Dickson,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Stevie Chan berkata, antara tindakan Anwar yang dianggap membeli undi adalah apabila memberitahu pengundi bahawa beliau memperoleh dua projek swasta untuk Port Dickson selain makan malam bernilai RM200,000 anjuran persatuan tempatan.
“Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memberitahu orang ramai pada majlis penyampaian anugerah untuk veteran tentera mengatakan kebajikan mereka akan dijaga sekiranya Anwar menang.
“Malah, Kelab Anwar Ibrahim (AIC) menganjurkan konsert percuma, membawa artis terkenal dan menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma. Semalam, Anwar melancarkan program tuisyen dalam talian percuma untuk Port Dickson tetapi laman web ini dikaitkan dengan ezLearn2u,” ujarnya.
Stevie Chan turut meluahkan rasa kecewa dengan wujudnya percubaan secara terang-terangan untuk membeli undi sedang dilakukan dalam kempen PRK Parlimen Port Dickson.
GEORGETOWN – Pulau Pinang tidak mahu hasrat mereka mempertahankan gelaran juara bertahan Piala Emas Raja-Raja (PERR) dihalang oleh Kelantan pada suku akhir PERR 2018 di Stadium Kompleks Penjara Kajang, Selangor petang esok.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Melayu Pulau Pinang (PBMPP), Mohd Azlan Hyder Ali berkata, perlawanan tersebut umpama ulangan final PERR 2017 namun pasukannya berjaya menewaskan Kelantan dengan keputusan 2-1 tahun lalu.
Menurutnya, beliau percaya lawan akan berusaha menebus kekecewaan kepada Pulau Pinang pada perlawanan kali ini.
“Kita tidak pandang rendah dengan kekuatan semasa Kelantan yang sudah tentu mempunyai banyak peningkatan berbanding musim 2017.
“Bagaimanapun Pulau Pinang sudah tentu akan bermain dengan rentak kami sendiri dan berusaha memastikan kemenangan berpihak kepada kita petang esok,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.
Mohd Azlan berkata, keyakinan pemain-pemainnya berada pada tahap baik selepas mencatatkan empat kemenangan berturut-turut di peringkat Kumpulan A.
Jelasnya, Misi Pulau Pinang pada tahun ini adalah cuba mempertahankan kejuaraan tahun lepas bagi mengulangi pencapaian muncul juara berganda pada tahun 1968 dan 1969.
“Pasukan perlis adalah pasukan terakhir yang merekodkan muncul juara berganda PERR pada tahun 2013 dan 2014 dan untuk kali ini Pulau Pinang sekali lagi mahu melakarkan sejarah tersebut,” katanya lagi.
PORT DICKSON – Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak pernah di arah untuk mengundi calon tertentu dalam PRK Parlimen Port Dickson.
Panglima 1 Briged, Brigedier Jeneral Reduan Omar berkata, pihaknya menggalakkan semua anggota tentera untuk pergi mengundi kerana itu adalah tanggungjawab.
“Siapa yang mereka nak undi nanti itu terserah kepada masing-masing dan kita tidak beri apa-apa saranan kerana itu hak mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis Ramah Mesra Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun Bersama Warga Tentera Darat di Pusat Latihan Asas Tentera (Pusasda) di sini, hari ini.
Menurutnya, dijangkakan seramai 5,633 anggota tentera di Port Dickson termasuk ahli keluarga akan mengundi awal pada 9 Oktober ini.
Beliau berkata, pihaknya sudah membuat persiapan rapi dengan dibantu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar.
“Jadi saya berharap mereka akan hadir untuk menjalankan tanggungjawab kepada Negara sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu Aminuddin pada sidang media sama memberitahu, kerajaan perlu mempunyai hubungan baik dengan tentera yang memainkan peranan penting terhadap Negara.
Menurutnya, pihaknya juga akan mempertimbangkan untuk menyediakan kouta khas kepada anggota tentera untuk memiliki rumah.
“Walaupun sikit, tapi kita akan pastikan ada kuota untuk anggota tentera dan kita akan serahkan kepada pihak pengurusan tentera untuk tentukan siapa yang benar-benar memerlukan.
“Jika ada rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat, kita juga akan tawarkan terutama kepada mereka yang tiada rumah atau nak bersara,” katanya.
Hadir sama, Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Wira Md Tajri Alwi
SEREMBAN – Walaupun sebelum ini calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali menegaskan yang beliau tidak akan menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen pada PRK Parlimen Port Dickson, tapi ia sebaliknya berlaku.
Pada majlis ramah mesra Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun bersama warga Tentera Darat di Pusat Latihan Asas Tentera(Pusasda) di sini, hari ini, Anwar hadir sebagai tetamu, malah turut diberi peluang untuk memberikan ucapan.
Dalam ucapannya, beliau tidak mahu menawarkan sebarang janji bagi mematuhi peraturan kempen pilihan raya yang bersih.
“Saya telah ambil keputusan untuk jadikan Port Dickson sebagai markas saya dalam memulakan semula karier politik dan meneruskan perjuangan.
“Sudah tentu saya akan memberi perhatian kepada masalah rakyat termasuk juga masalah tentera. Saya pernah jadi menteri kewangan selama lapan tahun dan dari mula saya ambil, stretegi kita adalah untuk pastikan belanjawan berimbang dan kemudian setelah dua tahun belanjawan lebihan.
“Pada waktu itu saya telah menyelesaikan masalah perumahan dan itu pertama kali diadakan perumahan untuk golongan tentera dan polis,”katanya yang kemudiannya beredar lebih awal sebaik selesai menyertai jamuan makan yang disediakan.
Bagaimanapun Aminuddin ketika ditanya pemberita mengenai kehadiran Presiden PKR itu, beliau menafikan Anwar datang untuk berkempen.
Jelasnya, jemputan kepada Anwar untuk turut serta dalam program tersebut dibuat ketika mereka bersarapan pagi bersama.
“Saya cakap nak hadir ke Pusasda dan telah pelawanya untuk bersama dan Datuk Seri Anwar pun bersetuju. Kami pun naik satu kereta.
“Saya rasa tiada pun ucapan kempen dan Anwar pun tiada pula cakap undilah saya. Beliau hadir ke sini atas jemputan peribadi saya dan saya juga yang menjemputnya untuk berucap,” katanya.
Manakala Panglima 1 Briged, Brigedier Jeneral Reduan Omar ketika diasak soalan sama memberitahu sebagai tuan rumah, beliau sangat mengalu-alukan kehadiran Menteri Besar buat pertama kali dan menganggapnya sebagai satu penghormatan.
“Jika menteri besar nak bawa sesiapa, saya tak dapat nak melarang kerana kehadiran beliau pun adalah satu penghormatan buat warga tentera. Tapi bila Anwar datang, tak kan kita nak halau pula dan saya anggap dia sebagai tetamu,”katanya.
Hadir sama bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah dan Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Wira Md Tajri Alwi.
Terdahulu media melaporkan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘cakap tidak serupa bikin’ apabila tidak mahu menggunakan jentera dan kemudahan kerajaan dalam kempennya di PRK Parlimen Port Dickson, tetapi sebaliknya berlaku.
Beliau merujuk kehadiran Anwar di majlis penganugerahan pingat kepada pesara tentera di Muzium Tentera Port Dickson serta menggunakan kenderaan rasmi Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, baru-baru ini.