Shahrel Fikri mampu beri impak bahagian depan Harimau Malaya

in Sukan Sinar by

PENYERANG negara, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi mampu memainkan peranan penting dalam skuad Harimau Malaya yang akan turun menentang Thailand pada aksi separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018.

Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berkata pengalaman beraksi selama lima bulan dalam liga utama Thailand bersama Nakhon Ratchasima FC adalah satu bonus kepada Muhammad Shahrel yang boleh memberi impak kepada gerakan serangan pasukan negara.

Beliau berkata Muhammad Shahrel atau lebih dikenali sebagai ‘Eki’ lebih memahami corak permainan barisan pemain skuad ‘Gajah Perang’ itu, selain ‘naluri pemusnah’ yang turut dimiliki beliau sudah pasti memberi kesukaran kepada benteng pertahanan lawan.

“Eki ada senjata tersendiri dalam menyerang dan tidak dinafikan beliau juga sering memberi keputusan positif apabila diturunkan. Kelebihan Eki dalam aksi berdepan Thailand adalah beliau sedikit sebanyak tahu corak permainan Thailand dan tahu kelebihan pemain lawan,” katanya kepada Bernama.

Abu Bakar adalah individu yang bertanggungjawab membentuk Eki menjadi antara penyerang berbisa di negara ini, sehingga dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017.

Eki berjaya meledak 29 gol untuk PKNP FC dalam tiga kempen liga berbeza bermula dari Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 2016, Liga Perdana 2017 dan separuh musim dalam Liga Super 2018.

Sepanjang lima bulan dipinjamkan ke kelab dari Thailand itu bermula Jun lepas, Eki berhasil menjaringkan satu gol dalam 10 penampilannya.

Abu Bakar, bagaimanapun berkata keputusan sama ada Eki bakal diturunkan dalam kesebelasan utama terletak di tangan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Beliau percaya Cheng Hoe lebih mengetahui kemampuan setiap pemain untuk digunakan dalam satu-satu perlawanan mengikut kekuatan pasukan lawan.

“Cheng Hoe adalah ketua jurulatih dan segala keputusan biar beliau putuskan. Terpulang kepada beliau sama ada inginkan Eki sebagai pemain utama atau pemain gantian. Apa yang penting skuad negara perlu bermain sebagai satu pasukan jika ingin mengatasi Thailand nanti,” katanya.

Malaysia akan melayan kunjungan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, dalam aksi separuh akhir pertama sebelum berkunjung ke Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok untuk aksi timbal balik pada 5 Disember.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menewaskan Thailand adalah pada final edisi 2014 menyaksikan Malaysia menang 3-2, namun gagal menjulang piala berkenaan, berikutan keputusan agregat 4-3 memihak kepada pasukan lawan itu. – Bernama