PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

December 2018 - page 2

Ayuh bangkit di Hanoi, Harimau Malaya!

in Sukan Sinar by

HARIMAU Malaya membuktikan semangat juang apabila bangkit dua kali untuk mengikat kedudukan 2-2 pada aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Dua gol dalam tempoh masa lima minit dijaringkan Nguyen Huy Hung dan Pham Duc Huy pada separuh masa pertama sebelum Malaysia bangkit menyamakan kedudukan melalui Shahrul Saad serta Safawi Rasid mewarnai aksi menarik di stadium yang dibanjiri kira-kira 88,000 penyokong.

Melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama ekoran kecederaan dialami Mohamad Aidil Zafuan dan penggantungan perlawanan, Syahmi Safari anak didik Tan Cheng Hoe bermain agresif sebaik sahaja wisel perlawanan dibunyikan pengadil perlawanan dari Australia, Beath Christopher James.

Kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha pada minit ke-15 hampir menggembirakan puluhan ribu penyokong Malaysia namun sedikit tersasar melewati palang gol.

Kehilangan Aidil dan Syahmi memberikan impak ketara buat Harimau Malaya apabila Naga Emas menjaringan dua gol dalam tempoh lima minit melalui Nguyen Huy Hung minit ke-21 sebelum Pham Duc meledak gol kedua empat minit kemudian.

Gol tersebut tidak melemahkan semangat pemain negara apabila terus melancarkan serangan memburu gol dan akhirnya berjaya merapatkan kedudukan melalui tandukan Shahrul Saad pada minit ke-35 yang menyempurnakan sepakan percuma dari Syamer Kutty Abba.

Memasuki masa tambahan separuh masa pertama, Malaysia memiliki peluang namun rembatan lemah Zaquan dari luar kotak penalti berjaya ditangkap kemas penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam.

Memasuki minit ke-58, Harimau Malaya membuat pertukaran dengan mengeluarkan Amirul Azhan dan memasukkan Syafiq Ahmad untuk menambahkan sengat dibahagian serangan.

Asakan berterusan tuan rumah memastikan Vietnam melakukan kesilapan dengan memberikan sepakan percuma diluar kotak penalti dimanfaatkan sepenuhnya Safawi Rasid yang melakukan sepakan lencong menewaskan Van Lam untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-60.

Malaysia terus menggandakan serangan memburu gol ketiga dan hampir memperolehinya melalui sepakan percuma Syafiq Ahmad pada minit ke-90 namun digagalkan Van Lam untuk memastikan keputusan kekal dengan 2-2.

Malaysia bakal membuat perhitungan kedua di Hanoi, Sabtu ini bagi menentukan juaran Piala AFF Suzuki 2018.

Ini lebih gila dari penyokong Vietnam!

in Sukan Sinar by

MENJELANG pertemuan pertama final Piala AFF Suzuki 2018, Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, situasi di stadium keramat Harimau Malaya itu pagi tadi mendapat perhatian seorang wartawan Vietnam.

Memetik laporan Foxsports, Tran Van Trung, wartawan akhbar Nghe An yang bertugas untuk membuat liputan aksi final itu ternyata kagum dengan situasi sebelum proses penjualan tiket di kaunter stadium dibuka pada jam 9 pagi.

Katanya, beliau tidak pernah menyaksikan semangat kegilaan penyokong Harimau Malaya mendapatkan tiket seperti penyokong di Vietnam.

“Saya tak pernah lihat suasana ini, orang ramai beratur sejak tengah malam, beberapa jam sebelum daripada kaunter dibuka. Ini lebih gila daripada penyokong Vietnam!

“Saya harap kesemua mereka yang beratur berjaya membeli tiket seterusnya dapat menyaksikan perlawanan yang hebat di Bukit Jalil.” katanya.

Van Trung turut menjelaskan proses penjualan tiket di negaranya di mana penjualan secara fizikal hanya dibuat ketika saingan di peringkat kumpulan.

“Bagi aksi separuh akhir dan perlawanan akhir, semua tiket dijual secara online,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 40,000 tiket yang dijual dalam talian pada Jumaat dan semalam, habis dalam masa singkat.

Sementara baki sebanyak 40,000 keping tiket dijual secara fizikal di SNBJ dan juga butik Football Republic, Sunway Pyramid.

Malaysia mencatat keputusan agregat seri 2-2 menentang Thailand pada aksi separuh akhir namun mara ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Vietnam pula menempah tiket ke final setelah mencatat kemenangan agregat 4-2 ke atas Filipina pada satu lagi aksi separuh akhir kejohanan yang menggunakan format timbal balik itu.

Tak nak dengar nasib bekas atlet terabai

in Sukan Sinar by

PELAN membantu nasib bekas atlet akan dibawa kepada perhatian kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, selepas ini beliau tidak mahu lagi mendengar mengenai isu kebajikan bekas atlet terabai.

“Minggu depan saya akan bawa pelan membantu kebajikan mereka ini ke dalam mesyuarat jemaah menteri.

“Saya tak nak dengar kebajikan mereka terabai,” katanya dalam program Bicara Minda, Sinar Harian di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, kebajikan dan keistimewaan atlet juga akan diberi perhatian oleh kementeriannya.

“Selasa depan saya akan mendatangi MOU dengan tiga universiti di mana biasiswa sukan dan kebajikan atlet dimudahkan kerana mereka bawa jenama negara,” katanya.

Sebelum ini timbul beberapa kisah nasib bekas atlet yang terbiar, terbaharu bekas pemain bola sepak kebangsaan yang dilaporkan terpaksa menjadi gelandangan rentetan ketidakmampuannya menampung kehidupan selepas menderita sakit jantung.

KBS dilaporkan sedang mencari bekas pemain kebangsaan yang kurang bernasib baik itu untuk dibantu.

Jaringan Syahmi macam Socrates

in Sukan Sinar by

KEJAYAAN Malaysia melangkah ke final Piala AFF Suzuki 2018 selepas mengikat juara bertahan Thailand, 2-2, malam semalam mendapat perhatian daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau yang menjangkakan kejayaan Harimau Malaya itu berkata, ia dipengaruhi oleh semangat dan prestasi keseluruhan anak buah Tan Cheng Hoe.

Malah beliau yang meminati pasukan Brazil berkata, gol pertama daripada Syahmi Safari pada minit ke-29 mengingatkan beliau terhadap pemain lagenda Brazil, Socrates.

“Sejujurnya, saya sudah dapat menjangkakan kemenangan ini setelah melihat prestasi keseluruhan pemain. Selain itu, sinergi Cheng Hoe dan barisan pemain yang mantap telah menghasilkan natijah yang membanggakan semalam.

“Gol Malaysia yang pertama oleh Syahmi Safari pada minit ke-29 mengingatkan saya kepada nostalgia gol jaringan legenda dan bekas kapten Brazil, Sócrates. Bagi saya, itu antara gol yang terbaik setakat ini,” katanya menerusi laman Twitternya, hari ini.

Zulkifli turut memberi nasihat kepada semua pemain agar sentiasa fokus dan bersemangat untuk melakar kejayaan buat kali kedua menjulang piala berprestij peringkat Asia Tenggara itu.

“Syabas dan tahniah! Cuma, jangan leka dan terus membina semangat untuk melakar kejayaan yang sudah tertangguh beberapa tahun. Moga #HarimauMalaya akan menjadi juara #AFFSuzukiCup2018,” katanya.

Dalam aksi kedua separuh akhir yang penuh mendebarkan di Stadium Rajamangala, Bangkok itu, skuad Gajah Perang gagal memanfaatkan sepakan penalti pada babak terakhir perlawanan sehingga terpaksa akur gagal melangkah ke pentas final.

Mencatat keputusan seri tanpa jaringan dalam aksi pertama di Stadium Bukit Jalil, sabtu lalu, Harimau Malaya bangkit dua kali menyamakan kedudukan melalui jaringan Syahmi dan Norshahrul Idlan Talaha.

Lawan Malaysia dipentas final pada 15 Disember nanti bakal ditentukan malam ini sama ada memihak kepada Vietnam atau Filipina.

‘Dakwaan Pafa pincang untuk tutup kesilapan sendiri’

in Sukan Sinar by

DAKWAAN bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berhubung wujud kepincangan dalam pengurusan Pafa sebelum ini pada sesi penggulungan Sidang Dun Perak semalam dilihat hanya sebagai usaha untuk menutup segala kesilapan termasuk ‘keaiban’ dilakukan.

Bekas Timbalan Presiden Pafa, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, dakwaan Hasnul Zulkarnain yang juga Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi berkenaan jelas satu usaha bagi mengalihkan pandangan serta perhatian orang ramai dengan ‘menyerang’ pihak dan individu lain.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hasnul dedah kepincangan dalam Pafa]

Bagaimanapun, menurutnya, kesemua dakwaan berkenaan sudah dijawab ketika sesi penggulungan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini.

“Pertama, kesemua pemain dipilih adalah atas persetujuan bersama jawatankuasa pasukan serta pemilihan pemain Pafa yang turut melibatkan ketua jurulatih. Ini bagi tujuan ‘check and balance.’

“Kemudian, kami tidak melakukan perkara yang tidak masuk akal termasuk membelakangkan ketua jurulatih dengan pergi ke luar negara (London), kononnya untuk mencari pemain import baru ketika tinggal seminggu lagi final Piala Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.

Shahrul Zaman berkata, biarpun menang 5-0 pada separuh akhir pertama, pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Likas Kota Kinabalu difahamkan keempat-empat pemain import sedia ada hampir tidak mahu beraksi.

“Tindakan keempat-empat pemain import berkenaan dipercayai disebabkan pemergian Hasnul Zulkarnain ke London untuk mencari pemain import baru untuk menggantikan mereka.

“Cuba kita letakkan diri kita di tempat mereka, apa agaknya perasaan mereka setelah bertungkus lumus membantu pasukan tetapi presiden pula pergi mencari import baru untuk menggantikan mereka,” katanya.

Menurutnya, Pafa sentiasa cuba membuat keputusan yang terbaik terutama berhubung pengambilan pemain import bagi skuad The Bos Gaurus itu.

“Tapi, Pafa juga terpaksa mengambil risiko tinggi dalam membuat keputusan apabila pemain import yang kita tandatangani akan mendapat kecederaan atau tidak menunjukkan prestasi yang baik.

“Seseorang pemain cedera atau tidak menunjukkan prestasi yang baik kita boleh tamatkan kontrak pemain tetapi penamatan kontrak bermakna kita perlu membayar pampasan secara ‘lump sum’ dan ini pastinya memerlukan jumlah dana yang banyak sekali gus mengganggu ‘cash flow’ Pafa.

Shahrul Zaman berkata, justeru pihaknya mengambil pendekatan untuk berbincang dengan pemain berkenaan yang kemudian bersetuju kontrak tidak ditamatkan namun menerima bayaran bulanan jauh lebih rendah berbanding gaji asal mengikut kontrak yang ditandatangani.

“Dengan cara ini, ia membantu mengurangkan keperluan kewangan berbanding dengan membayar pampasan sekali gus apabila kontrak pemain ditamatkan. Perkara sama juga berlaku kepada pemain tempatan yang masih dibayar gaji walaupun mengalami kecederaan di sepanjang musim,” katanya.

Menurutnya, pemain berkenaan sebenarnya sudah pulih dan mula berlatih bersama rakan sepasukan, namun berdasarkan ketua jurulatih, dia tidak boleh beraksi atau tidak mencapai tahap ‘match fit’ untuk diturunkan dalam perlawanan sebenar.

“Kita tidak mahu bertindak zalim dengan menamatkan kontrak serta-merta terhadap pemain yang tercedera ketika beraksi dan mereka juga bersetuju untuk mengambil potongan hampir separuh gaji di sepanjang musim. Peluang diberikan kepada mereka untuk pulih, kembali berlatih dan seterusnya beraksi bersama pasukan.

“Tetapi mengapa tidak dibangkitkan bagaimana kita istiqamah untuk terus menjaga kebajikan seorang pemain yang digantung selama dua tahun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan akhirnya selepas penggantungan berakhir, dia kembali beraksi dalam kesebelasan utama pasukan dan menjaringkan gol termasuk pada perlawanan akhir Piala Malaysia yang menyaksikan kebangkitan semula pasukan Perak?” katanya.

Dalam pada itu. Shahrul Zaman turut menyelar dakwaan Hasnul Zulkarnain berhubung kos bagi program pembangunan yang dilakukan pengurusan terdahulu pada 2017 dan 2018 kerana ia tidak tepat .

“Kita mahu sediakan ramai pemain pelapis dengan menyelenggarakan pusat latihan di rancangan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan atau Felcra di Lekir.

“Bagaimana kita boleh menjuarai pingat emas acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) untuk tiga kali berturut-turut? Jawapannya adalah program pembangunan kita yang berterusan,” katanya.

Berhubung dakwaan hutang tiket yang hampir mencecah RM20,000 Shahrul zaman berkata, ia sebenarnya adalah tiket yang diberikan secara percuma di bawah program tanggungjawab korporat sosial Pafa.

“Jika pengurusan yang baru sekarang mahu menganggap pemberian tiket-tiket itu sebagai ‘hutang’ mereka perlu kemukakan invois atau menghantarkan notis tuntutan.

“Bekas Ketua Pemuda Umno Perak, Khairul Shahril Mohamed juga tidak mengetahui perkara berkenaan kerana tidak pernah menerima apa-apa invois atau surat tuntutan,” katanya.

Sementara itu, menurutnya timbul persoalan bagaimanakah rombongan Hasnul Zulkarnain boleh berada tempat duduk VVIP sedangkan keluarga pemain berada di tempat yang tidak begitu strategik iaitu di bahagian paling bawah.

Katanya, ini mengakibatkan keluarga pemain terkena hujan hingga menyebabkan mereka terpaksa berdiri di bahagian tengah ruang stadium sepanjang perlawanan.

“Ada yang mendukung anak sambil memberikan sokongan kepada suami yang beraksi di padang. Ini jelas menunjukkan kegagalan pengurusan Pafa untuk merancang untuk final Piala Malaysia.

“Bermula daripada aspek jemputan sehinggalah ke aspek sambutan kemenangan selepas penantian selama 11 tahun untuk mara ke final Piala Malaysia dan menamatkan penantian untuk muncul Piala Malaysia selama 18 tahun,” katanya.

Gajah Perang ‘terduduk’

in Sukan Sinar by

HARIMAU Malaya melangkah ke pentas akhir Piala AFF Suzuki 2018 selepas mengatasi juara bertahan, Thailand dengan kelebihan jaringan gol di tempat lawan selepas seri 2-2 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok sebentar tadi.

Mencatat keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu anak didik Tan Cheng Hoe bangkit dua kali menyamakan kedudukan melalui jaringan Syahmi Safari dan Norshahrul Idlan Talaha pada setiap babak.

Hanya melakukan satu pertukaran dalam kesebelasan utama dengan memasukkan Nazirul Naim Che Hashim menggantikan Syazwan Andik yang mengalami kecederaan anak didik Tan Cheng Hoe berjaya menghadapi tekanan awal dari Thailand.

Memasuki minit ke 18, pertahanan tengah Malaysia, Aidil Zafuan Abd Radzak terpaksa dikeluarkan susulan kecederaan dialami dan digantikan Muhammad Irfan Zakaria yang kali pertama beraksi dipentas Piala AFF Suzuki 2018.

Selang tiga minit kemudian, Thailand memperolehi gol pertama melalui Thitiphan Puangjan yang menanduk masuk menewaskan penjaga gol Malaysia, Farizal Marlias.

Rembatan kencang Syahmi Safari dari luar kotak penalti pada minit ke 29 memastikan Malaysia berjaya menyamakan kedudukan 1-1.

Gol tersebut nyata menaikkan semangat dan keyakinan Harimau Malaya yang berjaya mengekang asakan tuan rumah sehinggalah kedua pasukan beredar ke bilik persalinan dengan keputusan seri 1-1.

Memasuki babak kedua Malaysia memiliki peluang menjaringkan gol namun Mat Yo merembat bola deras melepasi palang gol.

Pemain tuan rumah, Pansa Hemviboon meletakkan pasukan dihadapan apabila menjaringkan gol kedua pada minit 64 sebelum Mat Yo menyamakan kedudukan selang tujuh minit kemudian.

Ketika perlawanan hampir ditamatkan, tuan rumah memiliki peluang menjaringkan gol selepas dihadiahkan sepakan penalti namun penyerang tuan rumah Adisak Kraisorm merembat bola melepasi palang sebelum pengadil perlawanan dari Jordan, Adham Mohamad Tumah meniupkan wisel penamat.

Malaysia bakal membuat perhitungan terakhir pada 11 dan 15 Disember nanti menentang sama ada Vietnam mahupun Filipina yang bakal beraksi malam esok.

Malaysian Tigers pertajam penyudah

in Sukan Sinar by

MALAYSIAN Tigers giat menggandakan usaha membaiki dan menajamkan lagi pukulan sudut penalti mereka sejak beberapa hari lalu, sebagai persiapan ke perlawanan kedua Piala Dunia Hoki kumpulan D menentang juara dunia empat kali Pakistan di Stadium Kalinga di India malam ini.

Pakar pukulan sudut penalti negara Muhammad Razie Abd Rahim berkata, pemain memberikan perhatian kepada pukulan sudut sebagai persediaan terhadap sebarang kemungkinan dalam pertembungan dengan Pakistan, yang amat mengharapkan kemenangan pertama selepas kalah 0-1 kepada Jerman dalam perlawanan pembukaan beberapa hari lalu.

“Pukulan sudut penalti Pakistan selalunya sangat baik. Walaupun pasukan itu tidak disertai nama-nama besar, tapi mereka mampu mencapai keputusan baik sekiranya mereka mendapat pukulan sudut penalti. Itu sebabnya strategi pukulan sudut penalti di bahagian pertahanan dan bahagian serangan amat penting,” kata Muhammad Razie yang dipetik menerusi laman web Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) www.mhc.org.my.

Muhammad Razie percaya pasukan negara perlu memperoleh jaringan awal dalam pertemuan dengan Pakistan untuk membakar semangat juang dan meningkatkan moral pemain bagi meraih kemenangan.

“Saya percaya kita boleh menang, tapi usaha perlu datang dari semua pihak, Kita tidak boleh membuat kesilapan atau memberikan gol mudah kepada lawan. Mesejnya jelas, semuanya dalam tangan kita, sejauh mana kita dapat pergi dalam kejohanan ini,” tambahnya.

Faizal Saari yang berkongsi pandangan sama dengan rakan sepasukan pula berkata, mereka perlu menajamkan barisan serangan dan memperoleh kelebihan sama ada menerusi jaringan padang ataupun pukulan sudut penalti.

“Kami perlu menang. Semua tahu, kami perlu buat yang terbaik. Saya cuba dapatkan gol, saya juga sudah biasakan dengan pukulan sudut penalti. Saya tidak mahu pasukan negara berada di tempat paling bawah,” tambahnya.

Malaysia yang dimalukan dengan kekalahan 0-7 kepada Belanda dalam perlawanan pembukaan beberapa hari lepas, perlu menumpaskan Pakistan untuk menghidupkan peluang meneruskan kempen Piala Dunia.

Belanda menerajui Kumpulan D dengan perbezaan gol yang banyak, berbanding Jerman walaupun kedua-dua pasukan berkongsi tiga mata selepas bermain dalam masing-masing satu perlawanan. – Bernama

Northport nafi aktif siren amaran banjir

in Fakta Auta by

FAKTA

KLANG – Northport (Malaysia) Bhd memaklumkan tidak pernah mengaktifkan siren amaran banjir seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Jabatan Komunikasi Korporat Northport (Malaysia) Bhd menerusi satu kenyataan berkata, mesej yang tular itu bukan dikeluarkan pihaknya.

“Kami ingin merujuk kepada mesej yang tular di platform media sosial berkaitan dengan siren amaran banjir yang dibuat oleh Northport.

“Kami ingin maklumkan bahawa pihak kami tidak pernah mengaktifkan siren amaran banjir seperti yang dinyatakan di dalam mesej tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, katanya pihaknya akan sentiasa memantau keadaan semasa di pelabuhan.

Menurutnya lagi, pihaknya juga akan memaklumkan kepada pihak-pihak yang berkaitan sekiranya air laut di Northport berada pada paras yang merbahaya.

AUTA

Makluman berita terkini …sekarang di Northport siren amaran banjir telah aktif menunjukkan paras air terlalu tinggi yang memungkinkan banjir akan berlaku di sekitar persisiran…harap kita dapat bersedia ..mohon maklumkan pada mereka yang tinggal di kawasan rendah persiapkan apa yg perlu.

Kembali UTAMA