Monthly archive

January 2019

PRK Cameron Highlands: Najib kata Bersih pelik

in PRK Cameron Highlands by

SHAH ALAM – Bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengkritik senarai kesalahan dikeluarkan Bersih dengan menyatakan BN dan Pas melakukan kesalahan paling serius dalam PRK Cameron Highlands.

Katanya, badan bukan kerajaan (NGO) pilihan raya itu menyatakan kedua-dua parti itu telah mempermainkan isu agama dan bangsa kerana menimbulkan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Dakwa Najib, bertahun-tahun lamanya sebelum mentadbir negara, PH menggunakan kes-kes kematian Teoh Beng Hock dan warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu sebagai modal ceramah serta kempen mereka namun Bersih katanya tidak pernah mengadu tentang perkara ini walaupun sekali.

“Pelik sungguh Bersih ini,” tulis Najib menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 23 kesalahan sepanjang PRK Cameron Highlands

Bersih dalam sidang media hari ini berkata, pihaknya merekodkan beberapa salah laku dan kesalahan pada PRK Cameron Highlands yang membabitkan permainan sentimen bangsa, agama dan identiti politik.

Pengerusnya, Thomas Fann berkata, hasil pemerhatian Bersih sepanjang kempen PRK merekodkan 23 kes yang berkaitan dengan salah laku dan kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh parti-parti politik.

Jelasnya, berdasarkan rekod kesalahan tersebut, PH mencatatkan lima kesalahan, BN pula 14 kesalahan, manakala Pas dua kesalahan dan lain-lain, masing-masing dua kesalahan menjadikan kesalahan terkumpul sebanyak 23 kes.

“Antara kesalahan pilihan raya yang dilakukan iaitu beli undi dan pengaruh tidak wajar melibatkan PH, dua kes, penjamuan empat kes dilakukan oleh BN, penggunaan sumber kerajaan PH satu kes, BN dua kes.

“Selain itu, mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan antara kaum dan agama, BN satu kes, Pas dua kes, lain-lain satu kes. Berkempen pada hari mengundi, dua dilakukan oleh PH manakala tujuh dilakukan oleh BN,” jelasnya.

23 kesalahan sepanjang PRK Cameron Highlands

in PRK Cameron Highlands by

PETALING JAYA – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) merekodkan beberapa salah laku dan kesalahan pada PRK Cameron Highlands yang membabitkan permainan sentimen bangsa, agama dan identiti politik.

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata, kesalahan-kesalahan etika pilihan raya ini dilakukan oleh calon dan pimpinan parti politik bahkan, ia sangat mengganggu proses demokrasi dalam perjalanan sesebuah pilihan raya.

“Dalam sesi ceramah di Kampung Keledek pada 18 Januari lalu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah dilaporkan berkata, sekiranya DAP menang ia akan memudaratkan Melayu dan Islam. Manakala Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi mendakwa, DAP akan meminda Islam sebagai agama rasmi.

ARTIKEL BERKAITAN: BN menang, Ramli cipta sejarah Orang Asli jadi MP

“Malah, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu rakaman video berkata, jika orang bukan Islam ingin selamat, jangan undi DAP, undilah calon Muslim, semua orang akan selamat, Muslim selamat, bukan Muslim pun akan selamat.

“Calon DAP, M Manogaran pula dijadikan subjek kempen kebencian apabila dikaitkan dengan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim menerusi edaran risalah grafik sewaktu musim kempen PRK tersebut,” katanya ketika sidang media di pejabat Bersih 2.0 di sini, hari ini.

Tidak hanya menyalahkan pembangkang, Thomas turut mengkritik pemimpin PH yang menyalahgunakan aset kerajaan untuk tujuan berkempen.

“Bersih 2.0 juga mempersoalkan tindakan pemimpin PH yang menggunakan pacuan empat roda Jabatan Perhutanan Pahang untuk hadir berkempen di Cameron Highlands.

“Bukan itu saja, sebelum dan ketika tempoh berkempen di Parlimen itu juga, kita mendapati ramai pula menteri datang untuk ‘lawatan kerja’ di Cameron Highlands,” dedahnya.

Beliau turut mempertikai tindakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan bantuan sekolah rendah kepada 647 murid di Jelai dan juga mengeluarkan 22 permit tanah hutan simpan pada tempoh berkempen sedang berlangsung.

Susulan itu menurut Thomas lagi, Bersih 2.0 mendesak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan sisatan segera berkaitan semua kesalahan-kesalahan pilihan raya yang berlaku di Cameron Highlands dalam usaha menuju pengundian yang bersih dan adil.

Dalam perkembangan lain, Thomas menyatakan, hasil pemerhatian Bersih 2.0 telah merekodkan 23 kes yang berkaitan dengan salah laku dan kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh parti-parti politik.

Katanya, berdasarkan rekod kesalahan tersebut PH mencatatkan lima kesalahan, BN pula 14 kesalahan, manakala Pas dua kesalahan dan lain-lain masing-masing dua kesalahan menjadikan kesalahan terkumpul sebanyak 23 kes.

“Antara kesalahan pilihan raya yang dilakukan iaitu beli undi dan pengaruh tidak wajar melibatkan PH, dua kes, penjamuan empat kes dilakukan oleh BN, penggunaan sumber kerajaan PH satu kes, BN dua kes.

“Selain itu, mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan antara kaum dan agama, BN satu kes, Pas dua kes, lain-lain satu kes. Berkempen pada hari mengundi dua dilakukan oleh PH manakala tujuh dilakukan oleh BN,” jelasnya.

Tambahnya, diharapkan selepas ini SPR akan mengeluarkan garis panduan yang wajib dipatuhi setiap parti dalam setiap siri pilihan raya agar kesalahan sama tidak akan berulang.

Ada yang menangis undi dacing!

in PRK Cameron Highlands by

LIPIS – Tanggal 26 Januari merupakan tarikh bersejarah buat masyarakat di sini sehingga ada yang menitiskan air mata.

Itu antara situasi yang dihadapi bagi sesetengah ahli Pas yang turun mengundi bagi PRK Cameron Highlands, kelmarin.

Ia diceritakan kembali bekas calon Pas,Wan Mahadir Wan Mahmud, 47, yang bertanding di Parlimen itu pada PRU14 lalu.

“Pagi semalam (kelmarin) masa nak keluar dari rumah, ramai yang menangis. Macam mana aku (merdeka) dah 60 tahun tak pernah pangkah Umno akhirnya hari semalam mengundi dacing.

ARTIKEL BERKAITAN: Faktor calon, strategi faktor kemenangan BN

“Jadi memang sedih tapi disebabkan iman, wala’ pada pucuk pimpinan kami akur. Laksanakan dan terjemahkan melalui kertas undi. Syukur semuanya berjalan baik dan lancar.

“Memang tak dapat nak terjemahkan macam mana perasaan sedih itu tapi ia satu situasi luar biasa dan akhirnya ia telah berlaku,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Ujarnya, ibunya sendiri yang juga ahli Pas turut menangis namun berlapang dada dan terbuka untuk melakukan perubahan tersebut.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Perhubungan Pas Pahang turut menghargai sokongan yang diberikan oleh ahli hingga membantu kejayaan calon BN, Ramli Mohd Nor meraih kejayaan dalam PRK terbabit.

Wan Mahadir yang dikenali dengan gelaran ‘cikgu bulan’ memberitahu, pada peringkat awal, penerimaan ahli Pas terhadap kerjasama parti itu dan Umno sangat ‘keras’.

“Namun apabila blok itu dapat dipecahkan, ia dapat diterjemahkan dengan kerjasama baik kedua-dua jentera parti ini,” jelasnya.

Tambah Wan Mahadir, sasaran mereka hampir 90 peratus penduduk keluar mengundi pada PRK itu tercapai.

Bekas guru dan juga AJK Pas Kawasan Cameron Highlands itu turut mengharapkan pucuk pimpinan bersama majlis tertinggi dapat duduk semeja sebagai titik permulaan mengukuhkan kerjasama parti demi Islam, Melayu dan tanah air.

“Jadi saya sangat bersyukur dengan keputusan ini selepas banyak suka duka dihadapi dan ini satu permulaan yang baik,”ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kemenangan itu juga menjadi hadiah buat Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Orang kampung bangga dengan Ramli

in PRK Cameron Highlands by

CAMERON HIGHLANDS – Penduduk di kampung Orang Asli Pos Menson, di sini, mempunyai sebab untuk berasa bangga dengan kemenangan calon BN, Ramli Mohd Nor dalam PRK Cameron Highlands pada Sabtu.

Ini kerana, Ramli yang merupakan Ahli Parlimen pertama dari kalangan masyarakat Orang Asli berasal dari kampung tersebut.

Pada hari pertama bergelar wakil rakyat, Ramli meluangkan masa bersama penduduk Pos Menson sebagai tanda terima kasih kepada orang kampungnya.

Salah seorang penduduk, Maria Zamani, 24, berkata, dia amat teruja dapat berjumpa dengan Ramli yang pulang ke kampung hari ini.

“Perasaan bangga, syukur, gembira semua ada dengan kemenangan beliau. Malah, sejak dulu lagi beliau merupakan kebanggaan kampung ini.

ARTIKEL BERKAITAN:BN menang, Ramli cipta sejarah Orang Asli jadi MP

“Saya harap beliau dapat jalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan baik,” katanya.

Basir Bah Tuin, 50, pula berkata, Ramli sewajarnya dijadikan contoh kepada semua masyarakat Orang Asli.

“Saya harap akan ada lebih ramai lagi Orang Asli yang berkelulusan tinggi dan berjaya seperti Ramli.

“Anak-anak muda khususnya perlu menjadikan Ramli sebagai contoh agar Orang Asli lebih maju dan tidak terpinggir berbanding masyarakat lain,” katanya yang juga abang saudara kepada Ramli.

Sementara itu, Angin Ansang, 75, berkata, dia sememangnya menyokong Ramli kerana beliau berasal dari kampung tersebut.

“Sudah tentu kita gembira Ramli jadi wakil rakyat. Selepas ini kalau ada apa-apa masalah, senang nak mengadu kepada beliau.

“Semoga Ramli dapat mendengar keluhan kami khususnya masalah untuk menjual hasil cucuk tanam yang tak seberapa,” katanya.

Tiga faktor PH kalah di Cameron Highlands

in PRK Cameron Highlands by

SHAH ALAM – Kegagalan PH memenuhi janji dalam manifesto PRU14 lalu merupakan antara tiga faktor utama kerajaan baharu itu kalah dalam PRK Cameron Highlands.

Pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, dua lagi faktor lain adalah kegagalan PH menunjukkan gerak kerja parti dan juga pemilihan calon yang sesuai oleh BN.

“Kalau hendak diikutkan, dari atas kertas, kerajaan PH mempunyai banyak kelebihan untuk menang dalam PRK Cameron Highlands.

“Pada PRU14, PH hanya kalah di Cameron Highlands dengan majoriti yang kecil. Kali ini PH sebagai kerajaan, dengan pelbagai kelebihan sumber, khasnya liputan media. Justeru peluang sepatutnya lebih tinggi.

“Namun disebabkan tiga faktor iaitu gagal menunaikan janji dalam manifesto, tidak menunjukkan gerak kerja parti dan pemilihan calon yang bersesuaian merupakan penyebab PH kalah di Cameron Highlands,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, BN juga tampil dengan kekuatan tersendiri apabila mengambil langkah bijak dengan meletakkan Ramli Mohd Nor yang juga merupakan masyarakat Orang Asli sebagai calon parti itu.

Mengulas mengenai kerjasama antara parti pembangkang pada PRK Cameron Highlands itu, Muhamad Nadzri berkata, parti-parti pembangkang perlu berpakat dengan pragmatik dan strategik.

“Cari titik temu untuk memperkasakan barisan pembangkang, sebagai kerajaan menunggu di masa depan,dalam menyaingi PH dalam pilihan raya akan datang.

“Peluang untuk mempertahankan sistem dua parti di Malaysia adalah masih tinggi kalau pemimpin terus berpolitik dengan hikmah, teruslah bermuafakat dalam perjuangan politik Malaysia yang pelbagai etnik dan agama ini,”katanya.

Ramli diumumkan menang selepas memperoleh 12,038 undi, manakala M Manogaran, 8,800 (PH dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib, 314, dan Wong Seng Yee 272.

ARTIKEL BERKAITAN: BN menang, Ramli cipta sejarah Orang Asli jadi MP

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Oktober lepas, membatalkan kemenangan calon BN Datuk C Sivarraajh pada PRU14 ekoran berlaku unsur rasuah untuk mendapatkan undi.

BN tak akan menang tanpa sokongan Pas: Penganalisis

in PRK Cameron Highlands by

TANAH RATA – BN tidak boleh berbangga dengan kemenangan pada PRK Parlimen Cameron Highlands hari ini kerana kejayaan itu tidak akan dicapai tanpa sokongan daripada pengundi Pas.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, penyokong Pas merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan majoriti BN di Parlimen Cameron Highlands jika dibandingkan pada PRU14, Mei tahun lalu.

Pas yang pada kali ini tidak bertanding, mendapat 3,587 undi menerusi calonnya, Wan Mahadir Wan Mahmud, pada PRU14 lepas.

“Pada PRU lepas undi berpecah kerana pertandingan pelbagai penjuru melibatkan BN, Pas, PH, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Berjasa,” kata pensyarah kanan Universiti Malaya itu ketika dihubungi di sini, malam tadi.

Pada PRK Parlimen Cameron Highlands ini, calon BN, Ramli Mohd Nor, mendapat 12,038 undi untuk mengalahkan wakil PH, M. Manogaran (8,800 undi), dan serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

Ramli, bekas pegawai polis, mencipta sejarah apabila menjadi wakil tunggal masyarakat Orang Asli yang bakal mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dan mengisi satu slot kerusi di Dewan Rakyat.

Majoriti yang diraih Ramli iaitu 3,238 undi meningkat berbanding 597 undi yang diperoleh calon BN, Datuk C. Sivarraajh pada PRU14.

Awang Azman juga berkata, keputusan ini tidak menghairankan kerana seperti kebiasaan, parti penyandang akan dapat mempertahankan kubu kuatnya.

Ini seperti mana juga empat PRK sebelum ini yang dimenangi PH. PH dilihat perlu bekerja lebih kuat di kawasan kubu BN, lagipun mereka taklah sepopular ketika menjelang PRU 2014,” katanya merujuk kepada PRK Dun Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia di SElangor dan Parlimen Port Dickson.

Sementara itu, pensyarah kanan Hal Ehwal Politik dan Antarbangsa Univerisiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, PH perlu melihat keputusan itu secara rasional termasuk menambahbaik pengurusan pentadbiran di peringkat kerajaan Pusat.

“Kerajaan perlu berusaha menambah baik banyak perkara termasuk Felda. Jangan melihat mereka (peneroka Felda) sebagai musuh,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kemenangan pada PRK ini menunjukkan kerjasama antara Umno dan Pas telah membuahkan hasil.

Beliau, yang kini menjalankan tugas-tugas presiden Umno berkata, pertolongan Pas pada PRK ini telah menarik pengundi Pas pada PRU14 lepas untuk memberikan kepercayaan kepada BN.

Kemenangan kali ini amat bermakna kerana BN menang dengan majoriti 3,238 undi berbanding majoriti 597 undi pada PRU14 lepas, katanya.

Mohamad juga berkata, kemenangan pertama BN selepas tewas dalam empat PRK sebelum ini akan dijadikan pembakar semangat untuk menghadapi PRK Dun Semenyih di Selangor pada 2 Mac ini. – Bernama

Manogaran terima kekalahan kali ketiga dengan hati terbuka

in PRK Cameron Highlands by

TANAH RATA – Calon PH, M. Manogaran menerima kekalahan bagi kali ketiga dengan hati terbuka apabila tewas kepada pesaing utamanya Ramli Mohd Noor daripada BN pada PRK Parlimen Cameron Highlands malam ini.

Manogaran, 61, berkata, beliau berharap Ramli Mohd Noor yang telah diberi mandat oleh pengundi parlimen itu akan menjalankan tugasnya dengan baik dan membawa segala permasalahan berbangkit disuarakan ke parlimen kelak.

“Kami menerima keputusan pengundi dan saya mengucapkan tahniah kepada Tuan Ramli atas pencapaiannya. Saya berharap beliau akan menjalankan tanggungjawab sebagai anggota parlimen Cameron Highlands dan mewakili semua penduduk Cameron Highlands.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas pada jam 8 malam di Bilik Operasi Pakatan Harapan PRK Cameron Highlands di Brinchang di sini.

Manogaran yang dilihat sugul berkata, pihaknya mengadakan sidang media sebelum pengumuman rasmi keputusan dibuat kerana telah menjangkakan kekalahan itu.

“Kami telah memperoleh semua keputusan tidak rasmi. Walaupun kalah, saya berpendapat bahawa ada perkara-perkara positif untuk diambil perhatian di sini, katanya.

“Kami telah menembusi kawasan Orang Asli terutama di Jelai, Ia menunjukkan bahawa pada masa akan datang, kami akan memperolehi sokongan lebih baik di sana,” katanya ketika menarik perhatian kepada lima kawasan Orang Asli – Pos Senderut, Pos Titom, Pos Betau, Pos Lanai dan Pos Lenjang.

Manogaran turut berjanji akan terus berkhidmat sebagai penyelaras PH Parlimen Cameron Highlands di kedua-dua Dun, iaitu Tanah Rata dan Jelai. – Bernama

Walaupun kalah, abang topi tetap berjiwa besar

in PRK Cameron Highlands by

CAMERON HIGHLANDS – Walaupun hanya meraih 276 undi dalam PRK Cameron Highlands, sikap calon Bebas, Wong Seng Yee harus dipuji.

Beliau merupakan calon paling awal sampai di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata bagi mengikuti proses penjumlahan undi.

Malah, walaupun kalah beliau tetap berbesar hati naik ke atas pentas bersama calon BN, Ramli Mohd Nor ketika pengumuman keputusan.

Sementara dua lagi calon yang tewas, M Manogaran (PH) dan Sallehudin Ab Talib (Bebas) tidak kelihatan.

Ditanya reaksinya, Seng Yee berkata, beliau akur dan menerima keputusan itu.

“Menang atau kalah saya sudah bersedia termasuk untuk hilang deposit. Namun, saya akan tetap bantu penduduk Cameron Highlands dengan cara sendiri untuk naikkan ekonomi mereka,” katanya.

Mengakui sedikit terkejut dengan majoriti besar diperolehi Ramli, beliau berharap wakil rakyat itu tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli.

Seng Yee yang juga seorang petani terkenal dengan imej bertopi mengkuang dan but kuning sepanjang berkempen.

Percaturan sulung Tok Mat menjadi

in PRK Cameron Highlands by

CAMERON HIGHLANDS – Selepas tewas dalam empat siri PRK sebelum ini, BN akhirnya berjaya menagih kembali sokongan rakyat melalui pengundi di Cameron Highlands.

Percaturan sulung pemangku Presiden Umno dan Presiden BN, Datuk Seri Mohamad Hasan nampaknya membuahkan hasil.

Malah majoriti diperolehi jauh lebih banyak berbanding dengan penyandang kerusi ini, Datuk Seri C. Sivaraajh.

Akui gembira dengan keputusan pilihan raya tersebut, Mohamad menyifatkan kerjasama dengan Pas dan strategi digunapakai dalam PRK Cameron Highlands ini menjadi.

“Agenda penyatuan ummah yang kita telah lakukan ini telah membuahkan hasil. Kerjasama dan bantuan daripada Pas terutamanya amat jelas sekali dalam PRK ini.

“Seperti dijangka, pengundi-pengundi yang memberi undi kepada Pas pada pilihan raya lalu telah pun memberi kepercayaan kepada BN. Ini dibuktikan melalui peti-peti undi yang dimenangi Pas kini memihak kepada kita.

“Strategi ini amat baik dan kita akan teruskan untuk kita pastikan supaya agenda penyatuan ummah di negara ini akan dapat diperkasakan,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan PRK Cameron Highlands, sebentar tadi.

Beliau juga melihat strategi kempen yang digunakan sedikit berbeza kali ini nyata membuahkan has.

“Kita lihat strategi kita untuk berkempen sangat baik sekali. Kita meletakkan jentera kita bersama-sama pengundi. Ada yang duduk selama 10 hari di kawasan dijaga.

“Ini membuahkan satu hasil yang amat baik. Ini kita akan teruskan dalam PRK Semenyih dan di tempat-tempat lain,” katanya.

Beliau tidak lupa mengucapkan rasa terima kasih kepada pengundi yang memberi kepercayaan kepada BN.

“Syukur BN dapat pertahan kerusi ini dan yang lebih menggembirakan kita ialah majoriti kemenangan tersebut bertambah daripada 597 kepada 3,828 undi.

“Satu angka yang besar dalam pilihan raya kecil ini. Saya berterima kasih kepada pengundi kerana memberi kepercayaan kepada calon BN untuk terus kita beri khidmat di kawasan ini serta kepada semua jentera juga rakan dalam BN,” katanya.

Beliau juga menyifatkan kemenangan itu sebagai pembakar semangat bagi menghadapai PRK Semenyih tidak lama lagi.

Tambahnya, “terima kasih juga kepada undi pos dan undi awal kerana jelas undi awal ini juga memihak banyak majoritinya kepada BN.”

Katanya, BN akan memberi perhatian kepada isu-isu yang diangkat sepanjang berkempen dan cuba menyelesaikannya.

Ramli syukur, ucap terima kasih kepada pengundi

in PRK Cameron Highlands by

CAMERON HIGHLANDS – Ahli Parlimen Cameron Highlands yang baharu, Ramli Mohd Nor tidak putus melafazkan syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantunya.

“Pertamanya saya ingin bersyukur ke hadrat ALLAH Taala kerana dengan izinnya saya menang kerusi Parlimen ini. Saya berterima kasih kepada pengundi-pengundi kerana telah mengundi BN.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada jentera-jentera BN, Pas, MIC, MCA yang telah membantu saya.

“Saya tak ada nak banyak cakap cuma saya berjanji akan berusaha untuk berkhidmat kepada masyarakat di Parlimen Cameron Highlands ini,” katanya.

Ramli menewaskan tiga calon lain iaitu M Manogaran (PH) 8,800 undi; Sallehudin Ab Talib (Bebas) 314 undi dan Wong Seng Yee (Bebas) 276 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis di Dewan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, jam 8.30 malam.

Dalam pada itu, sebanyak 568 kertas undi ditolak dan 23 kertas undi tidak dikembalikan.

1 2 3 6
Kembali UTAMA