Nama Najib terus jadi sebutan di PRK Cameron Highlands

in PRK Cameron Highlands by

LIPIS – Nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus hangat dalam PRK Cameron Highlands apabila terus menjadi modal PH dalam tempoh kempen berbaki tidak sampai 24 jam.

Penampilan sulung Pengerusi PH,Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kempen PRK hari ini di Dataran Koyan 1 turut mengulangi nada sama seperti pemimpin-pemimpin lain.

Ketika dalam ucapannya bersama orang ramai di dataran tersebut,beliau yang juga Perdana Menteri itu menyelar tindakan dan apa yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu sehingga menyebabkan Umno tumbang pada PRU14 lalu.

“Selama 22 tahun saya jadi PM dan Presiden Umno, masa tu Umno tak pernah buat benda tak baik,tak melakukan jenayah.

“Sebab itu lima PRU pada tahun berkenaan,BN menang 2/3 ketika lima kali masa saya jadi PM dan Presiden Umno,”katanya ketika berucap kepada orang ramai di dataran tersebut hari ini.

Tun Mahathir yang turut menyifatkan Najib sebagai ‘pencuri’ itu turut bertanyakan kepada orang ramai jika ingin menyokong perbuatan tersebut.

“Siapa nak sokong ‘pencuri’. Kalau nak sokong, saya nak angkat tangan nak jadi ‘pencuri’, saya ada peluang sebab dah jadi PM.

“Saya lantik beliau dahulu sebagai PM supaya dapat tadbir negara dengan baik dan beri peluang kehidupan yang baik kepada semua kaum,pangkat muda,tua semua patut dapat nikmat.Kita semua dapat nikmat dari Umno yang dulu.Bila dia (Najib)ambil alih semua rosak habis,”katanya.

Dalam pada itu,Tun Mahathir turut menyelar sikap Najib seringkali memberikan nasihat dan teguran kepada kerajaan yang diterajui PH kini.

“Nak nasihat kami macam mana nak tadbir negara.Buat ucapan sana sini.Dulu awak (Najib) jadi PM tak buat tapi sekarang cukup pandai nak ajar kita macam mana nak tadbir negara.

“Kerajaan PH ini menghormati undang-undang bukan sahaja dikenakan kepada parti lawan tetapi parti kerajaan turut dikenakan undang-undang yang sama.Umpama saya tak boleh guna kapal terbang kerajaan kena sewa helikopter swasta,kalau guna aset kerajaan salah la…kita tidak mahu buat salah..ikut peraturan undang-undang negara,kita hormat,”jelasnya.

Sementara itu,Tun Mahathir juga mengakui bintang ‘Kerja Sampai Mati’ menjadi kegemarannya berikutan dirinya semakin dimamah usia.

“Alhamdullilah selagi boleh bercakap, saya bercakap. Dah 93 tahun dah tak berapa banyak nak tinggal nak buat kerja sampai mati. Saya dapat bintang yang elok, ‘Kerja Sampai Mati’ itu bintang yang saya minati.

“Selagi ada hayat saya akan betulkan keadaan dalam negara, bukan kerana duit nak buat kerja tapi kerana sayang kepada negara.

“Tak sayang ke kita pada negara sendiri.Sebab itu kalau sayang maka kita ingin lihat negara ditadbir oleh orang yang bukan pencuri.Di sini PH akan diwakili M.Manogaran,jangan lupa esok pangkah PH jangan pangkah lain,silap undi kita la yang jadi mangsa sebaliknya jika undi PH nasib kita lebih terjamin,”katanya lagi.