PRK Semenyih: Peluang PH menang tinggi

in PRK Semenyih by

SHAH ALAM – PH dilihat lebih tinggi peluang untuk menang pada PRK Semenyih Sabtu ini berbanding calon yang lain termasuk daripada BN.

Penganalisis Politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, melihat pada kempen dan manifesto yang di nyatakan calon PH, kemenangan memang milik mereka.

“Namun mereka (PH) tidak boleh selesa kerana perlu tarik pengundi balik ke Semenyih. Jika tidak, BN ada peluang untuk menang.

“Sekarang ini khususnya PH bimbang jika peratusan keluar mengundi jatuh disebabkan pengundi terutama pengundi muda tidak balik kampung. Kerana biasa pada PRK jumlah turun mengundi rendah berbanding PRU,” katanya ketika menjadi salah seorang panel Wacana Sinar Harian Ke-91′ Semenyih Pasca PRK: Janji Untuk Rakyat’ di Dewan Karangkraf, di sini, hari ini.

Menurut Azizuddin, sebelum ini, demografi pengundi kawasan tersebut juga antara berumur 40 tahun ke atas yang sudah tahu siapa mereka mahu undi.

“Anak muda pula banyak menjadi pengundi atas pagar iaitu dianggarkan 10 peratus. Jadi mereka antara penentu undi tersebut.

“Jadi masing-masing ada strategi untuk menang dan dominannya adalah dua parti ini iaitu BN dan PH 50:50,” katanya.