Keluarga marah, geram, sedih, terkilan dengan kenyataan Satim

in PRK Semenyih by

SEMENYIH – Keluarga dan sahabat empat bekas ADUN yang meninggal dunia memberi tempoh dua hari kepada Setiausaha UMNO Selangor, Datuk Dr Mohamad Satim Diman untuk meminta maaf.

Ia susulan kenyataan Ketua UMNO Bahagian Puchong itu mengatakan kematian wakil rakyat PH di Selangor sebagai amaran daripada ALLAH supaya rakyat Malaysia memilih parti yang betul.

Menurut Adibah Ahmad, balu kepada bekas ADUN Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin, mereka juga mendesak Mohamad Satim menarik balik kenyataan yang mengguris hati keluarga, rakan dan kenalan arwah.

“Sesungguhnya tiada mana-mana pangkat, darjat, latar belakang parti politik yang dapat menghalang takdir ALLAH berkaitan kehidupan dan kematian. Inilah qada dan qadar.

“Kami sekeluarga mendoakan supaya tiada lagi unsur-unsur kempen yang melampaui batas norma dan budaya kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang media khas, di sini, petang tadi.

Turut hadir Fitri Al-Amin Bakhtiar, anak bekas ADUN Semenyih, Bakhtiar Md Nor; ADUN Teratai, Brian Lai Wai Chong (sahabat bekas ADUN Balakong, mendiang Eddie Ng Tien Chee) dan bekas pekerja Shaharuddin, Kamarulbahrin Zahid.