Wadah nasihat Satim perbaharui iman, tarik kenyataan

in PRK Semenyih by

SHAH ALAM – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) mendesak Ketua UMNO Bahagian Puchong, Datuk Mohamad Satim Diman perlu memperbaharui iman dan menarik balik kenyataan yang mengatakan kematian bekas ADUN PH sebagai peringatan daripada Allah SWT untuk rakyat.

Timbalan Presiden Wadah, Abdul Halim Ismail berkata, pihaknya menyeru agar ahli-ahli politik lebih berhati-hati agar tidak sampai ‘memperjual beli ajaran-ajaran agama dan mentafsirnya sewenang-wenang’ bagi memenuhi agenda politik murahan mereka.

“Wadah amat kesal dan terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Satim semalam. Beliau berlagak bagaikan wakil istimewa dari tuhan bila menganggap dirinya mengetahui rahsia kematian berturut-turut beberapa orang wakil rakyat PH,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Halim berkata, kenyataannya bahawa kematian-kematian tersebut bermaksud Allah SWT memberi amaran agar rakyat memilih parti pemerintah yang tepat, bukan sahaja menggambarkan kejahilan bergandanya atau jahil murakkab tetapi juga menyerlahkan sikap takabbur dan angkuh terhadap kekuasaan dan ilmu Allah SWT.

“Beliau (Satim) sewenang-wenangnya menggunakan takdir Allah SWT yang telah terjadi, untuk memberi justifikasi bagi memenuhi kepentingan politik murahan. Sebagai seorang yang beragama Islam, beliau seharusnya tidak bersikap biadap terhadap Allah SWT dengan menceroboh dimensi dan rahsia ajal-maut yang sepenuhnya berada dalam kekuasaan Allah SWT,” katanya.

Ujar beliau, dengan mengeluarkan kenyataan yang demikian juga, Satim telah bertindak melampaui batas-batas adab dan kesopanan.

“Secara langsung beliau telah merendah-rendahkan rakyat yang memilih wakil-wakil mereka dan secara tidak langsung, menghina mereka yang telah meninggal dunia dan sekaligus kenyataan yang dikeluarkan beliau telah menusuk hati kaum keluarga yang masih tinggal,” katanya.