PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

February 2019 - page 3

Umum rasmi projek bukan untuk pancing undi: MB Selangor

in PRK Semenyih by

SEMENYIH – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata tindakannya memberitahu pengundi yang beliau akan datang merasmikan ‘projek’ di Semenyih selepas PRK bukan berniat untuk memancing undi.

Menurutnya, projek berkenaan dipercayai merujuk kepada projek perumahan yang sudah lama dirancang untuk dirasmikan sejak minggu lepas.

Namun, ia tidak dirasmikan lagi kerana menghormati tempoh kempen selain mahu menjaga etika ketika kempen PRK DUN Semenyih.

“Tunggu pengumuman, saya tak nak orang kata ada kaitan dengan pilihan raya.

“Sepatutnya sudah ada (dirasmikan) dalam minggu lepas atau awal minggu ini, tapi kita tak boleh nak teruskan sebab kita nak jaga etika serta perilaku kita ketika kempen,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran agenda Aiman 4Semenyih di Pangsapuri Bandar Rinching, Semenyih, malam tadi.

Hadir sama dalam program tersebut adalah calon PH, Muhammad Aiman Zainali.

Sebelum itu, ketika berucap dalam program berkenaan, Amirudin memberitahu hadirin yang hadir bahawa beliau akan datang merasmikan sebuah projek di Semenyih selepas PRK nanti.

Ketika ditanya adakah projek tersebut merupakan projek perumahan, Amirudin menjelaskan ‘ia adalah berkenaan rakyat mampu memiliki rumah yang selesa’.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan pemberian hamper dan khidmat membaik pulih rumah sempena kempen PRK DUN Semenyih adalah bercanggah dengan peraturan akta pilihan raya.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kesalahan berkenaan.

Beliau juga berharap pihak yang mempunyai maklumat lengkap melaporkannya kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Orang Asli Semenyih harapkan jalan berturap ke pekan

in PRK Semenyih by

SEMENYIH – Perkampungan orang asli di Kampung Kachau Dalam di sini hanya terletak 15km dari pekan Semenyih, tetapi perjalanannya memakan masa yang agak lama berikutan satu-satunya akses laluan keluar masuk ke kampung itu merupakan jalan yang tidak berturap.

Tanpa jalan yang sempurna, ia merupakan masalah besar kepada penduduk kampung terutama dalam hal mendapatkan khidmat perubatan.

Selain itu, timbul juga kebimbangan dalam kalangan penduduk kampung berkenaan yang keluarga mereka telah mendiami kawasan itu hampir 84 tahun, berkenaan status tanah petempatan mereka yang mungkin diambil alih kerana ia tidak pernah diwartakan sebagai tanah adat orang asli.

Dua masalah utama ini sejak sekian lama masih tiada penyelesaian untuk menanganinya.

Setiausaha Persatuan Penduduk Kampung Orang Asli Kachau Dalam Matzee Duman, 25, berkata kampung orang asli itu sudah wujud sejak 1935, namun masih banyak kesukaran yang terpaksa dilalui penduduknya.

“Kami berharap pihak berwajib boleh ambil tindakan ke atas perkara ini terutama sekali laluan masuk itu yang memerlukan turapan. Keadaan itu menyukarkan kami kerana jika laluan itu dilanda banjir ketika waktu hujan kami tidak boleh keluar bahkan menyukarkan kami mendapatkan kemudahan perubatan jika ada penduduk di sini yang sakit,” katanya kepada Bernama.

Katanya satu lagi perkara berbangkit adalah mengenai status tanah perkampungan itu yang sehingga kini masih tidak terjawab statusnya yang tidak pernah diwartakan sebagai tanah adat orang Asli.

“Kami pernah ajukan perkara ini, namun tiada jawapan muktamad sama ada (tanah) kampung ini akan diwartakan (sebagai tanah adat). Kami telah menetap di sini lama dan memohon perkara itu disegerakan sejak 2005. Kami risau dan difahamkan pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) ingin mengambil tanah itu,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah Sarimah Ikat, 22, pula mengharapkan kualiti perkhidmatan kesihatan dapat ditambah baik.

Menurutnya, antara perkhidmatan kesihatan yang ada adalah pemeriksaan oleh Klinik Kesihatan Semenyih di kampung itu, namun ia mengambil masa yang lama buat penduduk mendapatkan bantuan pemeriksaan.

“Susah juga sebab kadang-kadang dia suruh datang ke klinik tapi ia terletak sejauh tujuh kilometer dan menyukarkan kami. Jadual pemeriksaan mereka juga tidak menentu kadang-kadang sebulan sekali kadang-kadang seminggu sekali. Kalau anak sakit kena tunggu…itu yang payah buat kami. Kalau keluar masuk, keluar masuk jauh. Kalau waktu hujan anak saya boleh demam balik,” katanya.

Difahamkan, Kampung Kachau Dalam, antara 10 kampung orang asli dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, mempunyai hampir 200 penduduk daripada 42 keluarga. DUN Semenyih merupakan satu daripada kawasan DUN dalam Parlimen Hulu Langat, selain Dusun Tua.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata masalah membabitkan orang asli sentiasa mendapat perhatian pihaknya.

Katanya dalam isu tanah kampung orang asli itu, ia timbul apabila kerajaan negeri terdahulu, sebelum diambil alih oleh Pakatan Rakyat pada 2008, telah menganugerahkan tanah berkenaan kepada Pertubuhan Peladang Negeri Selangor.

“Saya selaku Ahli Parlimen di kawasan ini sedang mencari formula penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu ini. Saya percaya dengan kerjasama erat daripada kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pejabat tanah, satu formula dapat dicari,” katanya. – Bernama

Aiman yakin lima agenda selesai penggal ini

in PRK Semenyih by

SEMENYIH – Calon PH, Muhammad Aiman Zainali optimis lima agenda dilancarkannya malam semalam mampu direalisasikan dalam penggal ini.

Bahkan, beliau menyifatkan lima agenda berkenaan merupakan sebahagian daripada harapan rakyat Semenyih.Menurutnya, idea tersebut diperolehi sepanjang pengalaman beliau tinggal di Semenyih dan juga suara rakyat ketika beliau berkempen bermula daripada minggu lepas.

“Saya telah berbincang dengan menteri besar (Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari) dan kita melalui beberapa proses.

“Mungkin semua agenda ini dapat dilaksanakan dalam penggal ini.

“Perbincangan bersama kerajaan negeri akan diteruskan dari semasa ke semasa dan kita telah putuskan untuk lancarkannya hari ini (malam semalam),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan lima agenda tersebut dalam majlis Agenda Aiman4Semenyih di Pangsapuri Bandar Rinching, di sini.

Tambah Muhammad Aiman, beliau tidak merasakan pelancaran agenda itu sedikit lambat dan menganggap ia adalah agendanya untuk perjuangkan keperluan rakyat Semenyih.

Dalam pada itu, Amirudin menganggap lima agenda itu menepati kehendak dan keperluan penduduk Semenyih tidak kira penduduk bandar mahupun luar bandar.

“Agenda ini terus dari pengalaman beliau selama berkhidmat menjadi pembantu kepada arwah Bakhtiar Md Nor (bekas Adun Semenyih).

“Saya berpendapat ia juga adalah hasil daripada pertemuan beliau dengan pengundi sepanjang waktu berkempen,” katanya dalam sidang media sama.

Semalam, Muhammad Aiman melancarkan lima agenda buat penduduk Semenyih.

Menurutnya, lima tekad itu adalah manifestasi buat anak muda sepertinya berusaha membangunkan Semenyih.

Tambah beliau, dengan hubungan baik bersama kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat, beliau yakin lima tekad tersebut dapat direalisasikan.

Lima agenda itu adalah Semenyih Lestari; Semenyih Selamat; Semenyih Maju; Semenyih Sihat dan Semenyih Terhubung.

Calon PH lancar lima agenda untuk Semenyih

in PRK Semenyih by

SEMENYIH – [DIKEMASKINI] Calon PH, Muhammad Aiman Zainali melancarkan lima agenda untuk penduduk Semenyih yang akan dilaksanakan selepas beliau memenangi PRK DUN Semenyih.

Menurutnya, lima tekad itu adalah manifestasi buat anak muda sepertinya berusaha membangunkan Semenyih.

Tambah beliau, dengan hubungan baik bersama kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat, jurutera muda itu yakin lima tekad tersebut dapat direalisasikan.

“Hari ini, saya melancarkan lima tekad saya untuk membantu Semenyih. Sebagai anak muda, kita nak bantu Semenyih.

“Selepas menang, berdasarkan hubungan dengan kerajaan negeri di bawah PH, insyaALLAH kita akan dapat laksanakan agenda tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Agenda Aiman4Semenyih di Pangsapuri Bandar Rinching malam ini.

Menurut Muhammad Aiman, lima agenda itu adalah, pertama, Semenyih Lestari iaitu memelihara dan memulihara ekosistem Semenyih sebagai kawasan hutan simpan dan meningkatkan potensi pelancongan Selangor.

Tambah beliau, agenda kedua ialah Semenyih Selamat iaitu memastikan keselamatan kampung dan taman perumahan supaya kadar jenayah tempatan dapat diturunkan.

“Ketiga, Semenyih Maju iaitu memastikan pembangunan ekonomi di Semenyih. Keempat, Semenyih sihat iaitu menaik taraf klinik kesihatan dan mewujudkan Smart Semenyih Mobile Clinic.

“Kelima, Semenyih Terhubung iaitu meningkatkan kekerapan perkhidmatan bas Smart Selangor dan menaik taraf terminal bas, teksi di Semenyih,” ujarnya.

Video pencuri panjat bumbung bukan kes di Subang Jaya

in Fakta Auta by

AUTA

SUBANG JAYA – Tular video memaparkan kejadian pencuri memanjat bumbung sebuah kediaman yang dikatakan bukan di Putra Height Subang Jaya di sini.

Video berkenaan memaparkan seorang lelaki dipercayai pencuri mengeluarkan objek seperti parang dan mengancam seorang lelaki yang mahu menangkapnya.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman menafikan kejadian berkenaan berlaku di daerah ini.

“Saya juga berjumpa dengan Jawatankuasa penduduk Zon 7 iaitu di kawasan Putra Heights. Kejadian ini tidak berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

FAKTA

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dennis Leong Soon Kuai dilaporkan berkata, kejadian berlaku di Jalan Hup Kee pada Jumaat lalu selepas penggera keselamatan rumah berkenaan berbunyi.

Sistem yang disambung terus ke telefon bimbit pemilik rumah yang kemudian menghubungi jirannya untuk bantuan namun apabila beberapa orang jiran cuba untuk menangkap suspek, suspek terus memanjat ke atas bumbung rumah.

Suspek bertindak melompat ke bawah tetapi percubaannya untuk melarikan diri gagal apabila orang ramai berjaya menangkapnya dan menyerahkannya kepada polis.

‘Perkembangan terbaharu TH Khamis ini’

in Bicara Minda by

SHAH ALAM – Penstrukturan semula Tabung Haji (TH), diyakini akan mengembalikan institusi itu ke landasan asal iaitu untuk memberi kebaikan kepada mereka yang mahu menunaikan ibadah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf berkata, penstrukturan yang dilakukan sudah semakin membuahkan hasil.

“Insya-ALLAH Khamis ini kita akan membuat pengumuman ,” katanya dalam program Bicara Minda Sinar Harian, di Dewan Karangkraf, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mujahid mengakui TH merupakan suatu amanah yang cukup besar buat dirinya.

“Sudah tentu amanah besar saya ketika pegang jawatan ini adalah melihat semua agensi di bawah saya dah salah satu yang saya prihatin adalah TH.

ARTIKEL BERKAITAN: Mujahid bimbang ‘permainan’ BN, Pas

“Sebab kita ada 9.7 juta pendeposit, 3 juta daftar haji setiap tahun ,” katanya.

TH sebelum ini terpalit dengan kontroversi apabila satu laporan polis dibuat pada November tahun lalu berhubung salah guna kuasa dilakukan bekas pengerusi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan kanan institusi itu.

Mujahid berkata, pendedahan skandal yang berlaku dalam TH bukan dibuat secara spontan tetapi hasil perancangan rapi bagi memastikan kepentingan umat Islam terus terjaga.

‘Semoga ALLAH beri saya kekuatan’

in Bicara Minda by

SHAH ALAM – “Semoga ALLAH beri saya kekuatan.” Demikian reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ketika mengulas serangan diterimanya dalam media sosial sepanjang melibatkan diri dalam arena politik.

Menurutnya, mereka yang cuba menimbulkan persepsi sebenarnya tidak ramai dan bukan semua pengguna laman sosial bersetuju dengan persepsi ditimbulkan.

“Ramai juga kasihan kepada saya bila tengok saya kena ‘belasah’. Mereka kata mereka ada di belakang saya.

“Mereka adalah golongan yang tidak terpengaruh dengan persepsi. Semoga ALLAH beri saya kekuatan,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Bicara Minda Sinar Harian di Dewan Karangkraf, di sini, hari ini.

Jelasnya, sebagai ahli politik, beliau sudah terbiasa dengan serangan sebegitu malah ketika menjadi pembangkang dulu, Ahli Parlimen Parit Buntar itu pernah dilabel dengan pelbagai gelaran.

“Apa yang penting, saya tak buat sesuatu yang bercanggah dengan Islam,” katanya.

Keunikan gaya hidup orang laut di Semporna

in Pilihan Editor by

SEMPORNA – Keistimewaan Semporna tidak hanya terletak pada pulau-pulau yang terkenal di dunia tetapi tetapi juga keunikan yang terdapat pada cara kehidupan masyarakat Bajau Laut yang dikategorikan sebagai manusia ‘nomad laut’, ‘gipsi laut’ dan komuniti yang hidup dengan perahu yang masih lagi mengamalkan cara hidup berpindah-randah.

Kebanyakan komuniti ini tinggal di di daerah Semporna seperti pulau Mabul, Boheydulang, Sibuan, Maiga, Mantabuan, Selakan, Tatagan dan Omadal.

Pulau Boheydulang, Selakan, Sibuan dan Mantabuan adalah sebahagian daripada Taman Marin Tun Sakaran juga dikenali sebagai Taman Kepulauan Semporna, yang diwartakan pada tahun 2004 sebagai taman ketujuh Sabah.

Pada 4 Feb lepas penulis telah diberi peluang menyertai sekumpulan pelancong dari China bagi menyambut Tahun Baharu Cina di pulau Mabul.

Penulis tertarik pada gaya kehidupan orang laut ini. Selain bahasa ibunda, kebanyakan daripada mereka, mungkin bukan semua, boleh bertutur bahasa Cina dan Inggeris dengan kefasihan yang sederhana.

Sungguhpun kebanyakannya buta huruf namun mereka menguasai kedua-dua bahasa ini untuk mencari nafkah kehidupan dengan menjual hasil laut seperti udang karang, ketam. ikan, kupang, kerang dan pelbagai jenis cangkerang kepada pelancong.

Dalam banyak perkara mereka menghafal beberapa baris ayat atau perkataan atau hanya menyebut beberapa perkataan mudah.

“Setiap hari kami bertemu dengan pelancong berbahasa Cina dan Inggeris di Mabul, Kami mendengar mereka bercakap dialek mereka dan kami menangkapnya secara perlahan kata-kata yang mereka gunakan untuk bertanya, tawar-menawar dan menolak tawaran kami.

“Kami ingat kata-kata itu dan kemudian ucapkannya apabila bertemu dengan pelancong lain , “kata seorang Bajau Laut berusia 40 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Otok.

Sejak bertahun-tahun sehingga sekarang mereka tinggal di laut dalam rumah bot yang diperbuat daripada kayu atau pondok yang dibina atas terumbu karang.

Kehidupan mereka bergantung kepada laut dengan menangkap ikan, mengutip kupang dan kerang selain memungut mutiara di pulau-pulau terpencil.

Komuniti Bajau Laut ini terikat dengan laut dan jarang sekali mereka menjejakkan kaki ke daratan.

Apabila mereka berada di darat semalam dua mereka akan ‘mabuk darat’. Mereka akan hanya turun ke darat untuk urusan menjual hasil tangkapan, mendapatkan bekalan air bersih serta mengumpul kayu dan akan kembali ke bot mereka apabila malam melabuh tirai.

Bajau laut adalah penyelam yang luar biasa, dengan kebanyakan mereka menguasai seni menyelam sehingga ke dalaman lebih dari 20 meter sambil menahan nafas selama beberapa minit, dan mereka melakukan ini ketika menangkap ikan, udang kara, timun laut (tripang) dan kehidupan laut yang lain.

Dengan melestarikan jejak nenek moyang, mereka menampung hidup hanya daripada hasil laut,

Selain mempunyai kemahiran luar biasa dalam menangkap ikan dan menyelam mereka juga mahir membina rumah di atas laut dan perahu yang dibina sendiri yang dipanggil ‘lepa’.

Perahu lepa mempunyai dua kaki di sebelah kiri dan kanan bagi memberi keseimbangan ketika mengharungi laut yang bergelora.

Namun nasib orang laut ini masih tidak berubah kerana masih merupakan orang ‘tanpa negara’ sungguhpun kerajaan Sabah berusaha meneliti mereka untuk tujuan kewarganegaraan.

Kebanyakan anak-anak mereka tidak bersekolah kerana tidak mempunyai sijil beranak dan ibu bapa pula tidak mempunyai kad pengenalan. – Bernama

Ahli Umno, mohon jangan bodoh sombong lagi

in Bicara Minda by

SHAH ALAM – Ahli-ahli dan kepimpinan Umno diingatkan agar tidak mengulangi sikap bodoh sombong yang menyebabkan kekalahan parti itu dalam PRU14.

Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, itu antara pengajaran utama yang perlu diamalkan jika parti mahu bangkit.

“Dulu kita semua dengan jawatan masing-masing. Kadang-kadang bukan orang luar pun, cakap orang bawah sendiri pun kita tak nak dengar.

“Cakap orang muda pun kita ketepikan padahal inilah sumber ilmu baru yang perlu kita ada. Itu salah satu sebab mengapa kita kecundang,” katanya dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian, hari ini.

Katanya, Umno perlu menjaga imejnya yang telah dipulihkan.

“Dulu air politik tanah air keruh, apa saja berlaku semua Umno tak betul. Hari ini air sungai dah jernih tapi jangan keruhkan lagi supaya kejernihan itu dapat dimanfaatkan.

“Sekarang Umno dah tak ada isu, jadi kita akan masuk PRU15 dengan susun atur dan tertib yang baik. Tetapi jangan ulangi lagi perangai lama bodoh sombong dan ego yang terlalu tinggi,” katanya.

Khalid Ibrahim tiada dalam senarai calon: Tok Mat

in Bicara Minda by

SHAH ALAM – Nama bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tiada dalam senarai calon yang sedang dipertimbangkan BN untuk PRK Semenyih.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, hari ini.

“Saya tak ada pula menerima nama Tan Sri Khalid, cuma daripada media sosial saja,” katanya kepada media selepas program Bicara Minda anjuran Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata demikian mengulas spekulasi Abdul Khalid akan menjadi calon BN seperti tersebar di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN:

Khalid Ibrahim taruhan BN, bakal berdepan situasi sukar

Spekulasi Khalid calon BN hanya provokasi

Menurut Mohamad, setakat ini beliau menerima banyak pencalonan daripada pelbagai pihak dan turut mengambil cadangan dari luar Umno.

Namun, katanya, kriteria utama calon BN dalam PRK Semenyih ialah individu itu boleh diterima oleh pengundi setempat.

“Maknanya calon tersebut mesti orang yang dikenali. Sebab susah juga jika kita nak perkenalkan calon ‘brand new’.

“Selain itu, calon yang ada masalah memang kita takkan senarai pendek,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin isu saman melibatkan Pas dan Sarawak Report tidak akan menjejaskan BN dalam PRK Semenyih walaupun kedua-dua parti itu saling bekerjasama.

“Saya tak fikir ia akan beri kesan kepada BN kerana isu itu merupakan isu Pas dengan Sarawak Report. Tetapi kita dukacita dalam keadaan sebegini nampak sangat isu ini digunakan untuk PRK,” katanya.

Kembali UTAMA