PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

February 2019 - page 4

Terpulanglah kalau Zahid nak kembali

in Bicara Minda by

SHAH ALAM – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi boleh mengambil semula tempatnya sebagai Presiden Umno pada bila-bila masa.

Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana Ahmad Zahid hanya bercuti daripada jawatan itu buat sementara.

“Itu hak beliau (ambil semula jawatan) sebab beliau (hanya) bercuti.

ARTIKEL BERKAITAN: Zahid serah tugas kepada Tok Mat

“Kalau beliau dah letih bercuti dan nak balik (tempat presiden), terpulanglah. Saya cuma menjalankan tugas,” katanya kepada media selepas program Bicara Minda anjuran Sinar Harian, di sini.

Pada 18 Disember lalu, Ahmad Zahid memberi kepercayaan kepada Mohamad untuk menjalankan tugas sebagai Presiden Umno.

Dalam satu kenyataan, Ahmad Zahid berkata, ia selaras harapan ahli parti yang mahu pimpinan menterjemah hala tuju sesuai dengan slogan baharu ‘Umno bangkit’.

Mengulas mengenai kemunculan semula Ahmad Zahid di sebuah forum bersama pemimpin Pas di Bagan Datuk yang dikatakan tidak ‘direstui’ rakyat, Mohamad berkata, isu itu tidak perlu diperbesarkan.

“Tak ada isu kerana beliau mengadakan program di tempat sendiri. Sudah seharusnya Ahmad Zahid mengadakan gerak kerja di Parlimen dan bahagian beliau.

“Memang saya dah minta semua ketua bahagian, Ahli Parlimen dan ADUN supaya mulakan jentera sekarang. Semua orang kena bergerak, bukan tunggu dua bulan nak PRU baru gerak.

“Saya pun tak faham kenapa isu ini diperbesarkan,” katanya.

Berkenaan jawatan Ketua Pembangkang yang kosong selepas Ahmad Zahid bercuti, Mohamad berkata, beliau akan bermesyuarat dengan pemimpin BN dan parti pembangkang lain sebelum sesi Parlimen bermula, Mac ini.

“Setakat ini Ahmad Zahid bercuti dan beliau lepaskan tugasnya 100 peratus. Maknanya tugas sebagai Ketua Pembangkang, Pengerusi BN pun beliau lepaskan.

“Jawatan Ketua Pembangkang masih kosong. Saya akan panggil mesyuarat secepat mungkin atau jika tidak pun berjumpa setiap parti (untuk bincang),” katanya.

‘Sepatutnya kita janjikan bulan bintang…’

in Bicara Minda by

SHAH ALAM – BN mengakui tersilap strategi ketika melancarkan manifesto mereka pada PRU14 sehingga kalah pada PRU berkenaan.

Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, manifesto BN pada PRU14 lalu tidak ‘semanis’ manifesto PH sehingga tidak berjaya ‘memperdayakan’ rakyat.

“Kita punya manifesto tak betul, apa orang nak, kita mesti tawarkan… manifesto bukan bajet.

“Pada PRU15 kita nak janjikan bagi bulan bintang, lagipun manifesto bukan kitab suci,” katanya dalam program Bicara Minda Sinar Harian, di sini, hari ini.

Sementara itu menyentuh mengenai faktor kekalahan BN, Mohamad berkata, ada beberapa sebab yang menjadi punca.

“Kita kalah sebab tiga penjuru; salah calon; PH punya manifesto lemak manis; faktor Umno itu sendiri dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu menyentuh mengenai tanggungjawab beliau yang menjalankan tugas Presiden sekarang, Mohamad berkata, beliau selesa berkerja kerana semua pihak dalam Umno memberi kerjasama.

“Insya-ALLAH saya yakin kawan dalam Umno sedar dan faham perjuangan ini perlu diteruskan saya tak boleh sorang-sorang kebersamaan adalah penting.

“Ketenangan dalam Umno telah di pertingkatkan tiada masalah teras defisit ia tiada lagi,” katanya.

Ide Adol ‘kaya’ dengan kasut Adidas

in Pilihan Editor by

KUALA LUMPUR – Demi minat seseorang sanggup melakukan apa saja. Itu yang terjadi kepada Dulkifli Djuaeri, 37, yang begitu taksub terhadap kasut klasik terpakai berjenama Adidas hingga pernah menghabiskan wang bonusnya untuk membeli lima pasang kasut dari koleksi kawannya.

Dulkifli yang lebih dikenali sebagai Ide Adol dalam kalangan pengumpul kasut, kini mempunyai kira-kira 220 pasang kasut klasik jenama popular terutama Adidas, yang dianggarkan bernilai RM180,000.

Koleksi kasut itu, yang kebanyakannya terdiri daripada edisi ‘City Series’ dan ‘Island Series’, dan saya menjadi pengumpul kasut klasik berjenama terpakai itu sejak tahun 2011, katanya dalam temubual dengan Bernama di sini baru-baru ini.

“Kebanyakan kasut yang saya miliki ketika ini diperoleh menerusi pembelian di bundle, dalam talian dan rakan-rakan pengumpul kasut klasik.

“Kasut-kasut yang saya simpan sekarang kebanyakannya dari era 1950-an hingga 1980-an dan berasal dari negara antaranya Jerman, Slovenia, Jepun, Australia, Perancis dan Hungary,” kata Dulkifli.

Dulkifli, yang berjawatan ketua penyelidikan dan pembangunan sebuah syarikat di sini berkata pengaruh rakan-rakannya sewaktu mengikuti mereka ke pameran dan jualan kasut klasik suatu ketika dahulu telah mempengaruhi minatnya untuk menjadi pengumpul kasut.

Ditanya mengapa beliau amat meminati jenama Adidas, beliau berkata tiga jalur yang amat sinonim dengan jenama dari Jerman itu adalah antara faktor tarikan, selain warna dan reka bentuk kasut itu yang lebih menarik daripada jenama lain.

Bagi Dulkifli kasut yang amat disayanginya ialah kasut ‘high cut’ edisi Oasis berwarna coklat dari Perancis, yang juga mempunyai nilai sentimental yang tinggi buat dirinya.

Dulkifli juga mendakwa hanya beliau sahaja memiliki kasut itu di Malaysia.

“Jika terdapat orang yang berminat untuk membeli kasut edisi Oasis ini, saya enggan menjualnya,” katanya dan menambah bahawa kasut Adidas Riviera adalah kasut termahal yang dibelinya dengan harga RM2,000.

Bapa kepada tiga anak lelaki itu, tidak menafikan pada mulanya isteri agak terkilan melihat beliau sanggup membelanjakan kesemua wang bonusnya untuk membeli kasut terpakai yang diminatinya.

“Namun lama kelamaan beliau faham kerana saya juga dapat menjana pendapatan sampingan melalui penjualan kasut kepada pembeli yang berminat,” katanya ketika ditanya mengenai reaksi isterinya mengenai hobinya itu.

Dulkifli juga berkata berikutan koleksi kasutnya yang semakin banyak, sebahagian dari ruang tamu rumahnya terpaksa diubah menjadi rak simpanan kasut setinggi 10 tingkat, dan menjadikan ruang tamunya bagaikan sebuah butik kasut.

Malah obsesinya terhadap kasut Adidas turut mendapat perhatian pengumpul kasut dari luar negara sehingga koleksi kasutnya terpilih untuk dipaparkan di dalam sebuah majalah khas buat pengumpul kasut klasik Adidas iaitu majalah ‘Adidas Only Addiction’ yang diterbitkan di United Kingdom.

Beliau juga merancang untuk menganjurkan sebuah acara pameran dan jualan kasut klasik pada tahun ini.

“Pada tahun 2016 dan 2017, saya bersama rakan-rakan pernah menganjurkan pameran “Three Stripes Maniacs (TSM) iaitu di Ruang, Subang Jaya dan Universiti Malaya.

“Pameran TSM turut berjaya menarik pengumpul dari Jerman, United Kingdom dan Hong Kong dengan kehadiran 5,000 pengunjung,” tambahnya. – Bernama

Caj penalti lewat bayar bil TNB: Ini cara kiraan yang betul

in Fakta Auta by

AUTA

SHAH ALAM – Tersebar di media sosial mengenai pengiraan denda lewat bayar bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sebaran itu mendakwa, berdasarkan bil yang diterima pengguna, caj lewat satu peratus akan dikenakan setiap hari.

“Jika bil yang diterima menyatakan penggunaan elektrik sebanyak RM500 sebulan dan jika lewat membayarnya dalam tempoh ditetapkan, sehari anda akan didenda RM5.

“Bayangkan jika anda lewat bayar lima hari,” katanya.

FAKTA

Menjawab dakwaan tersebut, Facebook TNB Careline menjelaskan, formula pengiraaan caj penalti lewat bayar yang tular itu kurang tepat.

Katanya, TNB akan mengeluarkan bil untuk penggunaan elektrik sebulan dan pelanggan diberi tempoh 30 hari dari tarikh bil untuk membuat pembayaran.

“Sekiranya pembayaran bil dibuat selepas tempoh ini, caj penalti lewat bayar (1 peratus sebulan dari jumlah keseluruhan bil) akan dikenakan.

“Pengiraannya begini, jumlah bil RM500 dan tarikh bil adalah 1 November 2018 serta pembayaran perlu dilakukan sebelum 30 November.

“Jika pengguna membuat tarikh pembayaran pada 5 Disember 2018 (lewat lima hari), kiraannya adalah RM500 (jumlah bil) didarab dengan satu peratus (caj penalti lewat bayar) dan didarab dengan lima (lewat lima hari) kemudian dibahagi 30 (hari). Jumlahnya adalah 83 sen,” jelasnya.

Tambahnya, bagi mengelakkan daripada dikenakan caj penalti lewat bayar, pengguna dinasihatkan menggunakan perkhidmatan AutoPay atau direct debit.

“Selain itu, muat turun aplikasi mudah alih myTNB untuk memantau, menerima notifikasi dan membayar bil dengan mudah setiap bulan,” katanya.

Info pengiraan bagi penalti lewat bayar:-

Jumlah bil – RM500

Tarikh bil – 1 November 2018

Perlu bayar sebelum – 30 November 2018

Tarikh pembayaran – 5 Disember 2018 (lewat 5 hari)

Kiraan caj penalti lewat bayar: RM500 x 1peratus x 5/30 hari = RM0.83

Mana ada larangan merokok ditangguh!

in Fakta Auta by

AUTA

TERSEBAR satu makluman di media sosial yang mengatakan mahkamah memerintahkan larangan merokok di restoran ditangguhkan.

Melalui mesej yang tular itu, perokok boleh kembali merokok di restoran dan perlu menjadi perokok yang bertanggungjawab.

Mesej itu turut memaparkan barisan peguam yang didakwa berjaya mendapat penangguhan larangan merokok itu.

FAKTA

Kementerian Kesihatan menegaskan tiada arahan mahkamah diterima bagi memberhentikan atau menangguhkan penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mengingatkan semua pihak supaya terus mematuhi peraturan.

“Kementerian Kementerian akan terus menjalankan aktiviti penguatkuasaan pendidikan sehingga Jun depan, disusuli penguatkuasaan sepenuhnya pada Julai ini,” katanya.

Noor Hisham berkata, semua lapisan masyarakat perlu menerima pelaksanaan larangan merokok sebagai langkah positif ke arah meningkatkan tahap kesihatan.

“Ini juga dapat membudayakan amalan tidak merokok dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, selaras hasrat kerajaan mencapai matlamat negara yang bebas daripada amalan merokok,” katanya.

Kembali UTAMA