PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

March 2019

Tular ‘kenyataan’ kontroversi, Guan Eng nafi

in Fakta Auta by

AUTA

KUALA LUMPUR – Hari ini tular dalam media sosial memaparkan gambar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng disertakan kenyataan yang pantas mengundang rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ada dua gambar tersebar dan kenyataan pertama menunjukkan seolah-olah Guan Eng berkata ‘Henti beri bonus dan duit raya kepada penjawat awam’.

Kenyataan kedua pula mendakwa Guan Eng mengarahkan agar ribuan doktor Melayu Islam yang belajar di Mesir tidak diiktiraf kelayakan mereka.

Dalam gambar sama, turut tertulis perkataan ‘PH penghapusan hak Islam dan Melayu’.

FAKTA

PUTRAJAYA – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak pernah mengeluarkan kenyataan berkenaan status pelajar perubatan dari universiti di Mesir dan menghentikan pembayaran bonus dan duit hari raya penjawat awam.

Setiausaha Akhbarnya, Lutfi Hakim berkata, gambar yang tular dalam media sosial adalah palsu dan mesej itu bertujuan memfitnah menteri dan menimbulkan kerisauan orang ramai.

Menurutnya, dua laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berkaitan hantaran yang telah ditularkan melalui media sosial melibatkan menteri kewangan itu.

“Tuduhan ini palsu, tidak berasas dan amat keterlaluan kerana cuba timbulkan sentimen perkauman dan mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

“Tindakan menyebarkan gambar itu merupakan perbuatan jenayah di bawah pelbagai undang-undang termasuklah Kanun Keseksaan (terutamanya seksyen 505, 500, 124H, 124I) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Seksyen 233).

“Diharapkan polis dapat menyiasat asal-usul gambar tersebut dan individu yang bertanggungjawab mencipta dan menyebarkan gambar dan kenyataan palsu berunsur fitnah dan berniat jahat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rakan dalam Pakatan Harapan tidak ikhlas

in Pilihan Editor by

INILAH masalah di antara rakan-rakan dalam Pakatan Harapan! Segelintir daripada mereka tidak ikhlas sesama sendiri.

Sekiranya inilah sikap tidak ikhlas dan tiada semangat kesetiakawanan sesama kita, macam mana Tun Dr Mahathir Mohamad nak kemudi negara ke era lebih gemilang dan cemerlang?

Tikam belakang sesama sendiri sentiasa berlaku yang akhirnya kita terpaksa buang masa untuk memikirkan bagaimana hendak menangkis serangan sesama kawan-kawan sendiri!

Kerja-kerja untuk membina semula negara sukar dilaksanakan secara licin dan berkesan! Banyak masa kena buang untuk ‘fire fighting!!’

Memberi komen-komen negatif terhadap Dr Mahathir di luar negara amat tidak wajar. Ini cukup tidak beretika!

Di dalam negara, kita semua lafaz sokongan pada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri tetapi bila berada di luar negara kita beri gambaran negatif pula terhadap beliau.

Ini menunjukkan kita tidak ikhlas sesama rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan!! Sikap yang seperti ini tidak harus berada pada sesama kita!!

YB Nurul Izzah mempunyai pelbagai platfom terbaik di dalam negara untuk meluahkan perasaan tidak puas hati beliau pada Dr Mahathir.

Ahli Parlimen Permatang Pauh ini amat emosional dan tidak rasional.

Kenapa beliau harus terus mengungkit kisah-kisah silam di saat semua sudah berikrar untuk berganding bahu secara erat untuk bina semula negara yang telah teruk dirosakkan oleh kerajaan kleptokrasi pada suatu masa dahulu.

Ini adalah masa untuk kita semua menggembeleng tenaga bagi bina semula tanahair yang tercinta ini.

Sesungguhnya, adalah tidak wajar serta tidak beretika untuk YB Nurul Izzah meluahkan kata-kata tersebut pada Dr Mahathir di dalam interbiu beliau dengan akhbar the New Straits Time Singapura dua hari yang lepas.

Bagi saya, YB Nurul Izzah cukup matang di dalam politik dan saya juga amat yakin beliau sendiri akan setuju dengan pandangan yang beliau lontarkan pada Perdana Menteri di Singapura amat tidak beretika sama sekali.

Kenyataan tersebut tidak harus keluar dari seorang tokoh politik yang agak berpengalaman kerana ia bukan saja bakal mengaibkan imej Dr Mahathir tetapi juga maruah negara turut tercemar.

Ini adalah satu gerakan yang dirancang secara terancang untuk menjatuhkan kredibiliti Dr Mahathir seterusnya menggulingkan beliau dari jawatan Pedana Menteri Malaysia.

Gerakan untuk menggulingkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri masih digerakkan oleh kalangan tertentu demi untuk mencapai agenda politik mereka.

Dr Mahathir harus terus berwaspada di antara bulan Mac sehingga November tahun ini.

Seandainya kalangan parasit ini bersikap keterlaluan, saya akan perangi mereka secara habis-habisan walaupun terpaksa lawan seorang diri.

‘Alang-alang seluk pekasam; biar sampai ke pangkal lengan!’ Pantang anak melayu berundur sebelum melawan.

*Khairuddin Abu Hassan, Penyelaras Parlimen Jasin

Jururawat tarik balik kenyataan, rayu hantaran dipadam

in Pilihan Editor by

KUALA LUMPUR – Seorang jururawat yang mengecam keterangan pakar perubatan dalam inkues Muhammad Adib Mohd Kassim telah menarik balik dan memadamkan hantaran yang dibuat menerusi akaun Facebooknya yang dikenali sebagai Cik Miera.

Wanita yang mengaku telah merawat Muhammad Adib sejak hari pertama itu turut merayu kepada orang ramai supaya berhenti menyebarkan hantaran yang dibuat selepas Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam memberi keterangan kepada Mahkamah Koroner Shah Alam pada Jumaat lalu.

Dia mendakwa, berdasarkan pemerhatian sebagai seorang jururawat, kejadian yang menimpa Muhammad Adib akibat dipukul dan bercanggah dengan laporan bedah siasat yang dijalankan Ahmad Hafizam pada 18 Disember tahun lalu.

“Kepada pengikut saya, berdasarkan kenyataan kepada arwah (Muhammad Adib) saya merayu kepada mereka yang melakukan screenshot (tangkapan skrin) dan menyebarkan kenyataan tanpa kebenaran saya tolong padam.

“Saya tidak bermaksud untuk memberikan kenyataan yang salah dan menyebabkan salah faham. Saya akan memberikan kerjasama kepada mereka yang terlibat dalam inkues dan berdasarkan pemerhatian saya bersama kita berdoa agar ALLAH mempermudahkan segalanya,” katanya.

Dipercayai tindakan wanita tersebut yang dipercayai bertugas dengan Institut Jantung Negara (IJN) itu menarik balik kenyataannya selepas dihubungi oleh Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad yang meminta dia memberi keterangan dalam inkues tersebut.

Dalam pada itu, Sinar Harian telah menghubungi pihak IJN bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara itu telah dimaklumkan bahawa hantaran yang dibuat oleh wanita tersebut adalah kenyataan peribadi.

Perang disytihar ke atas pemburu harimau malaya

in Pilihan Editor by

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengisytiharkan perang terhadap pemburu haram sebagai agenda nasional dalam komitmennya untuk memastikan spesies Harimau Malaya tidak pupus.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata untuk itu, pasukan petugas yang akan menjalankan rondaan ditubuhkan di bawah Program Perlindungan Harimau dan Rondaan (TP3).

Penubuhan pasukan petugas yang terdiri daripada 2,000 kakitangan dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PETRHILITAN), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, dianggap penting memandangkan semakin banyak perangkap digunakan untuk menjerat haiwan itu dan peningkatan kes manusia menceroboh habitat harimau.

“Masa telah tiba untuk menghentikan pembunuhan Harimau Malaya dan hidupan liar yang lain oleh pemburu haram yang tidak berhati perut! Hari ini, pada Hari Hidupan Liar Sedunia saya mengisytiharkan perang terhadap pemburu haram!”, katanya pada pra-pelancaran Kempen Selamatkan Harimau Malaya sempena Hari Hidupan Liar Dunia 2019, di sini hari ini.

Dr Xavier berkata kempen selama dua tahun yang bermula hari ini dengan isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan PERHILITAN menjadi penaung kempen.

Dr Xavier berkata, beliau dimaklumkan bahawa daripada lebih 1,000 operasi yang dijalankan dari 2013 hingga 2018, sejumlah 3,500 jerat telah dimusnahkan dan 162 penceroboh terdiri daripada 98 warga tempatan dan 64 warga asing ditangkap kerana kesalahan memburu hidupan liar.

Beliau berkata sempena kempen yang dilancarkan hari ini, kementerian telah menubuhkan Akaun Amanah Konservasi Biodiversiti dan syarikat-syarikat dan agensi lain dialu-alukan untuk menyumbang kepada dana ini untuk aktiviti penguatkuasaan, pemuliharaan dan kesedaran. -Bernama

KPJ Pasir Gudang tak isytihar ‘external disaster’

in Fakta Auta by

JOHOR BAHRU – Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang menafikan kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp dan platform media sosial yang tular mengenai pengisytiharan ‘external disaster’, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hazarul Azly Hamzah berkata, Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang menegaskan tiada pengisytiharan ‘External Disaster’ diumumkan pihak hospital sehingga kini.

“Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang menasihatkan orang ramai supaya lebih prihatin dalam menyebarkan maklumat yang belum pasti kesahihannya.

“Elak daripada mempercayai dan menyebar maklumat palsu yang boleh menimbulkan kerisauan kepada masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp dan media sosial bahawa Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang mengesahkan ‘external disaster’ berikutan tiada katil Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk menerima mangsa pencemaran bahan kimia.

Ancaman pengganas cabaran utama pertahanan negara

in Bicara Minda by

SHAH ALAM – Kementerian Pertahanan melihat ancaman daripada pengganas sebagai cabaran utama dalam mempertahankan keselamatan Malaysia berbanding geopolitik daripada negara jiran.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, Malaysia sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan ancaman pada masa akan datang.

“Saya tidak nampak Malaysia akan berperang dengan mana-mana negara jiran seperti

Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei, Filipina kerana kita mempunyai hubungan diplomatik yang cukup baik dan diplomasi pertahanan yang cukup hebat.

“Tapi kita nampak ancaman masa depan adalah daripada pengganas yang kita tidak tahu di

mana kem latihan mereka, di mana mereka berada, tapi mereka boleh menjelma di

mana-mana.,” katanya ketika Program Bicara Minda anjuran Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, ancaman pengganas bukan lagi sesuatu yang asing malah ia merupakan fenomena yang berlaku di seluruh dunia.

“Di sebabkan itu, kita sentiasa meminta sama ada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), polis, perisik tentera dan sebagainya sentiasa memantau kumpulan ini supaya ia tidak tumbuh kerana ia boleh mengancam keselamatan negara.

“Kita harap Malaysia dapat membendung pergerakan dan kumpulan seperti ini yang mengambil sikap perjuangan ala Daesh,” katanya.

Harapan Mat Sabu terhadap LIMA’19

in Bicara Minda by

SHAH ALAM – Penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) diharap akan melahirkan lebih banyak perjanjian berkaitan industri pertahanan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, ini berikutan industri pertahanan semakin penting dan berkembang di negara dan rantau ini.

“LIMA’19 ini bukan hanya tempat jual beli aset, tetapi kita akan buat perjanjian untuk industri pertahanan. Kita tidak mahu jadi pengimport saja.

“Sekarang industri pertahanan sudah berkembang dan kita boleh manfaatkan bersama. Melalui LIMA’19, saya harap akan lahirkan banyak perjanjian industri pertahanan, bukan hanya perjanjian beli barang yang dipamerkan,” katanya dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian, hari ini.

Mohamad juga mengesahkan LIMA’19 akan dihadiri menteri pertahanan dari negara-negara Asean seperti Filipina, Indonesia dan Singapura.

LIMA’19 akan bermula dari 26 hingga 30 Mac ini dan dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia disertai 350 syarikat pempamer tempatan dan antarabangsa yang melibatkan 20 negara, diadakan di dua lokasi iaitu Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL).

Pameran persidangan antarabangsa, seminar, pameran statik dan pertunjukan udara akan diadakan di MIEC manakala pameran kapal perang, pameran statik maritim dan demonstrasi maritim di RWL.

‘Orang Melayu masih percaya DAP tunggang PH’

in Bicara Minda by

SHAH ALAM – PH berdepan laluan sukar dalam usaha mengalahkan UMNO di DUN Rantau kerana orang Melayu masih termakan dengan dakwaan gabungan parti itu ditunggangi DAP.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan bekerja lebih kuat dan memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai perkara sebenar.

“Anggapan bahawa PH adalah barua DAP masih kuat selain pihak lawan menggunakan ayat al-Quran. Kita akan beri penjelasan dan selebihnya kita serahkan kepada rakyat untuk menentukan.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK DUN Rantau 13 April depan

“Oleh demikian, PH kena ambil perhatian dan perlu berjaga-jaga supaya tidak timbul persepsi yang salah. Ini kerana pihak lawan memang kerja mereka menimbulkan persepsi sebegitu,” katanya dalam Bicara Minda Sinar Harian, hari ini.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada PRU14 dibatalkan dan tidak sah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelmarin mengumumkan PRK DUN Rantau akan diadakan pada 13 April manakala penamaan calon pada 30 Mac.

Ketika ditanya berkaitan kekalahan PH di DUN Semenyih, Mohamad berkata, ia berpunca daripada persepsi dibawa pihak pembangkang kepada pengundi.

“Mereka memainkan isu ekonomi, perkauman dan keagamaan juga lebih hebat,” katanya.

Susah rupanya jadi pemerintah: Mat Sabu

in Bicara Minda by

SHAH ALAM – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengakui menjadi kerajaan pemerintah lebih sukar berbanding bergelar pembangkang.

Katanya, lebih-lebih lagi beliau kini memegang jawatan penting sebagai menteri dan perlu menjaga tutur kata.

“Setiap patah kata akan dianalisa oleh kawan dan lawan. Susah rupanya jadi pemerintah.

“Kalau tersalah cakap maka kita kena betulkan semula segera. Kalau pentas ceramah, lagi kita pandai hentam, lagi orang tepuk,” katanya di program Bicara Minda anjuran Sinar Harian hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, banyak perbezaan dirasai setelah bertukar dari pembangkang kepada pemerintah.

“Jadi pembangkang lebih mudah sebab kerja kita bangkang, kritik dan cari kelemahan lawan. Tapi dah jadi pemerintah nak berceramah pun tak sesedap dulu.

“Semua fakta kena jaga sebab ucapan kita bukan didengari di sekitar kampung itu saja malah seluruh dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad turut berkongsi sikap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang paling dikaguminya iaitu menepati masa.

“Dulu ketika dalam parti Islam (Pas) kami dilatih baca Surah Al-Asr (Demi Masa) terutama bila nak mula mesyuarat.

“Tun Mahathir tak pernah baca surah itu tapi dia sangat tepati masa. Kalau lewat, beliau akan beritahu alasannya,” katanya.

Kerugian Khazanah beri kesan kepada ekonomi negara

in Pilihan Editor by

SHAH ALAM – Kerugian yang dialami Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan memberi kesan kepada keseluruhan ekonomi negara memandangkan organisasi itu merupakan syarikat induk bagi cabang pelaburan.

Pensyarah Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Roshaiza Taha berkata, ini kerana kerugian berjumlah RM6.27 bilion seperti yang dilaporkan itu juga memperlihatkan kelemahan kerajaan dalam menguruskan pelaburan negara.

“Situasi ini juga dijangka akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara dan memberi cabaran kepada syarikat terutamanya syarikat kecil untuk meneruskan kelangsungan perniagaan.

“Selain itu, ia turut memberi kesan terhadap keyakinan pelabur tempatan dan asing untuk membuat pelaburan di Malaysia, malah mungkin ada yang akan menarik balik pelaburan yang dibuat sebelum ini,”katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Khazanah rugi buat pertama kali sejak 2005

Jelas Roshaiza lagi, kerajaan perlu membuat penstrukturan semula pelaburan yang telah dilaksanakan bagi mengatasi kerugian dialami ketika ini.

“Bagaimanapun ia tidak boleh dilakukan secara terburu-buru dan memerlukan kajian yang mendalam.

“Jadi, penelitian merangkumi pelbagai aspek harus dilaksanakan segera supaya kerugian yang sedang ditanggung ketika ini dapat diatasi sebaiknya,” katanya.

Tambahnya lagi, tahun lalu juga menjadi cabaran besar buat syarikat-syarikat selepas berlakunya pertukaran kerajaan.

“Perubahan kerajaan juga turut mengakibatkan berlakunya perubahan dasar negara sebagai contoh Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),katanya.

Terdahulu, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan mendedahkan, syarikat itu mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.27 bilion pada 2018, berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.89 bilion setahun sebelumnya.

1 2 3 21
Kembali UTAMA