Kaji selidik UM: BN kini di depan mendahului PH

in PRK Semenyih by

SEMENYIH – Hasil kaji selidik daripada Universiti Malaya mendapati sentimen pengundi sehingga Rabu lepas memperlihatkan BN telah mendahului PH untuk memenangi kerusi PRK DUN Semenyih.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, BN mendahului dengan 53 peratus sementara PH 47 peratus.

“Ini situasi terbalik berbanding minggu lepas. Namun sekiranya pengundi Cina dan India turun seperti jumlah mereka turun pada PRU14, 2018 maka PH akan menang,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘BN mampu buat kejutan, PH bergelut pertahan undi’

Mengulas lanjut Awang Azman berkata, sekiranya pengundi Melayu turun beramai-ramai sehingga mencecah 70 peratus pula, maka BN bakal melakar kemenangan di Semenyih, esok.

“Namun kemenangan oleh BN menang pun majoriti tidak besar,” katanya lagi.

Tegasnya, kekuatan BN terletak di atas faktor calonnya iaitu Zakaria Hanafi berdasarkan faktor penerimaan akar umbi dan sudah lama dikenali ramai.

“Calon Bersatu Muhammad Aiman Zainali dilihat kurang dikenali berbanding calon BN,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai sokongan penyokong Pas pada PRK kali ini, Azman Awang berkata, lebih 75 peratus penyokong Pas akan menyokong BN di Semenyih.

“Angka ini meningkat selepas kepimpinan Pas seolah-olah dihebahkan isu derma RM90 juta. Pengundi akar umbi Pas marah dekat PH,” katanya.

Esok, 53,411 pengundi biasa layak menunaikan hak mereka untuk memilih wakil rakyat baharu selepas kematian penyandangnya, wakil Pakatan Harapan (PH) Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon muda PH Muhammad Aiman Zainali dengan Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.