Pelaburan modal insan perangi ancaman siber

in Pilihan Editor by

KUALA LUMPUR — Kepentingan pendidikan dalam membangunkan modal insan merupakan pelaburan terbaik untuk mengurangkan risiko ancaman keselamatan siber dalam sesebuah organisasi, menurut seorang ahli akademik hari ini.

Pensyarah kanan Fakulti Teknoloji dan Informatik Razak, Universiti Teknoloji Malaysia (UTM), Hafiza Abas berkata, pelaburan modal insan dalam latihan pekerja penting kerana kebanyakan isu keselamatan berpunca daripada faktor kesilapan manusia dalam syarikat dan bukan daripada pihak luar.

Beliau berkata kejahilan dan kecuaian pekerja akan mendorong mereka untuk menjadi mangsa penipuan e-mel melalui klik pada pautan yang diberikan.

“Kami sering mendengar bagaimana syarikat membelanjakan ribuan ringgit dalam membangunkan perisian dan perkakasan untuk memerangi pencerobohan sistem pangkalan data dalam organisasi tetapi mengabaikan persediaan pekerja mereka.

“Pekerja perlu dididik mengenai keselamatan siber kerana apa saja tugas dilakukan melalui komputer boleh membawa kepada ancaman siber…walaupun kadang-kadang dengan memuat turun filem atau klik pada pautan iklan boleh menyebabkan pelanggaran data,” katanya, semalam.

Hafiza berkata pelanggaran data merupakan ancaman yang semakin meningkat dan organisasi perlu meningkatkan inisiatif keselamatan siber di semua lapisan.

Misalnya, katanya, syarikat boleh mempunyai sistem keselamatan siber yang teratur dengan adanya anggota keselamatan siber dalaman.

“Serangan siber kini menjadi semakin rumit apabila pengodam membangunkan teknik baharu dan berbeza setiap hari untuk mengeksploitasi kelemahan sebarang sistem.

“Kita tidak dapat menghalang ancaman siber tetapi boleh mengurangkan risiko dengan meletakkan sebuah sistem pencegahan dan perancangan yang betul,” katanya.- Bernama