Bilik gerakan PH kecoh, penyokong bergaduh sesama sendiri

in PRK Rantau by

RANTAU – Bilik gerakan PH PRK DUN Rantau kecoh apabila berlaku pergaduhan melibatkan dua kumpulan dalam PKR.

Menerusi portal Malaysiakini yang membuat liputan secara langsung, difahamkan kekecohan bermula selepas keputusan tidak rasmi jumlah undi yang diterima calon PH, Dr S Streram tidak mampu untuk mengejar majoriti undi yang diterima calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dikatakan, keputusan tersebut menyebabkan ahli PKR dari luar kawasan menyalahkan penyokong tempatan.

Kekecohan itu turut menyebabkan berlakunya adegan tumbuk-menumbuk antara penyokong parti tersebut.

Para pengamal media yang membuat liputan di lokasi tersebut turut diugut beberapa individu tidak dikenali yang mahu memecahkan kamera jika rakaman kekecohan itu diambil.

Situasi tegang itu berakhir apabila penyokong PH yang berada di lokasi berjaya menenangkan keadaan.

Dr Streram juga meninggalkan bilik gerakan itu tanpa memberikan sebarang kenyataan.