Pengantin mengundi curi tumpuan

in PRK Rantau by

SEREMBAN – Kehadiran sepasang suami isteri yang lengkap berpakaian pengantin mencuri tumpuan pada hari pengundian PRK DUN Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Rantau di sini, hari ini.

Nurliyana Mohd Yazid, 30, ditemani suaminya, Mohd Adham Adnan, 36, tiba di pusat pengundian itu kira-kira jam 11 pagi.

Kata Nurliyana, dia sama sekali tidak menyangka tarikh penting dalam hidupnya dan suami itu turut dikongsi bersama seluruh rakyat DUN Rantau.

Menurutnya lagi, majlis akad nikah telah berlangsung pada 23 Mac lalu dan selepas itu diikuti majlis di sebelah keluargnya.

“Hari ini merupakan majlis sambut menantu di sebelah suami di Ampangan. Pihak keluarga saya dan suami sudah merancang majlis lebih awal.

“Jadi apabila diumumkan PRK Rantau diadakan pada 13 April kami terpaksa juga teruskan majlis,” katanya ketika ditemui sebaik selesai mengundi.

Tambahnya lagi, meskipun hari ini menjadi antara detik penting dalam hidupnya, namun dia tidak melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Mohamad, calon PH, Dr S Streram serta dua calon Bebas, R Malar dan Mohd Nor Yassin.