UMNO perlu tunjukkan mereka belajar daripada kesilapan: KJ

in Bicara Minda by

SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] UMNO perlu tunjukkan kepada rakyat bahawa mereka telah belajar daripada kesilapan dan kini mengamalkan nilai-nilai positif.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, selepas kalah PRU14 lalu, UMNO tidak boleh lagi menegakkan benang yang basah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator Bicara Minda Sinar Harian, Tan Sri Johan Jaaffar berhubung fenomena ‘Bossku’ mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Setiap orang ada hak untuk pertahankan diri tapi pandangan peribadi saya, selepas UMNO kalah PRU14, kita tak boleh tegakkan benang yang basah.

“Saya harapkan kalau ada usaha pertahankan diri, itu tidak melibatkan UMNO. Kalau orang UMNO nak pergi (ke program Najib) itu tiada masalah tapi jangan kaitkan dengan UMNO.

“Kita kena buktikan kepada rakyat bahawa kita belajar dari kesilapan.

“Kita kena tunjuk bahawa kita tak rasa terancam dengan populariti jangka masa pendek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bicara Minda Sinar Harian di Dewan Karangkraf, di sini hari ini.