PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

May 2019

Tanda tanya apabila peguam tarik diri

in Analisis Sinar by

TIDAK henti-henti meja bilik berita menerima respons sama ada melalui e-mel atau WhatsApp berkaitan tindakan peguam Nor Syazlin Mansor menarik diri daripada mewakili kerajaan dalam prosiding inkues kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim baru-baru ini.

Ketika inkues berada pada fasa akhir, penarikan diri Nor Syazlin selaku peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta keluarga Muhammad Adib sangat mengejutkan.

Namun alasan Peguam Negara itu sendiri benar-benar mengundang kemarahan ramai. Biarpun telah dijelaskan bahawa tindakan itu adalah arahan daripada Peguam Negara tetapi tindakan mengejutnya itu meleburkan harapan rakyat Malaysia untuk melihat pembelaan terhadap kematian anggota keselamatan itu.

Mengapa arahan tersebut dikeluarkan selepas sebulan inkues berlangsung?

Penganalisis politik dan perundangan, Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, KPKT tiada keperluan melantik peguam swasta bagi mewakili mereka dan JBPM dalam prosiding tersebut sejak 11 Februari lalu.

Katanya, KPKT selaku agensi dan kementerian dalam kerajaan telah diwakili pegawai undang-undang dari Jabatan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Jelas beliau, sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan, Jabatan Peguam Negara mempunyai ramai pegawai undang-undang yang berpotensi dan layak melindungi kepentingan kerajaan.

Tindakan KPKT melantik peguam sendiri akan menimbulkan syak. Timbul persoalan adakah KPKT tidak percaya dengan kewibawaan pihak Peguam Negara atau kurang keyakinan dengan kewibawaan pegawai-pegawainya?

Beliau berkata, lantikan peguam luar mewakili KPKT menyebabkan pertindihan peranan yang dimainkan pegawai pengendali inkues daripada Peguam Negara sendiri.

Antara pertikaian terhadap Nor Syazlin termasuk ‘tindakan agresifnya’ yang dilihat bertentangan dengan pendirian Pendakwa Raya sedangkan tujuan inkues adalah mencari sebab kematian, bukan memulakan prosiding pendakwaan lagi.

Lebih malang lagi, kedudukan Nor Syazlin turut dipertikaikan apabila suaminya pula ialah Setiausaha Akhbar kepada Menteri KPKT dan disebabkan konflik berkepentingan maka beliau dinasihatkan tarik diri.

Pertembungan pandangan dua pakar, saksi ke-24 iaitu pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam dan bekas perunding kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz yang juga saksi ke-29, Prof Dr Shahrom menjadi perhatian sepanjang inkues.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan agar Nor Syazlin terus kekal mewakili keluarga Muhammad Adib bagi mencari kebenaran.

Katanya, kenyataan Tommy yang memberikan empat sebab Nor Syazlin diarah menarik diri telah pun dijelaskan.

Presiden Putra, Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali menawarkan diri untuk bertemu dan berbincang dengan keluarga Allahyarham Adib termasuk menawarkan khidmat nasihat guaman percuma bagi menjawab segala kemelut yang sedang berlaku.

Masih isu sama, blok pembangkang mempersoalkan tindakan ‘campur tangan’ secara terbuka.

Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah, Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim Hamzah selaku Pegawai Pengendali Inkues telah menyenaraikan lebih 30 saksi termasuk seorang pegawai penyiasat dan enam pakar perubatan yang merawat Muhammad Adib.

Barisan peguam keluarga Muhammad Adib diketuai Muhammad Kamaruzzaman A Wahab manakala KPKT diwakili peguam, Syazlin Mansor serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia adalah sebagai pihak berkepentingan dalam inkues itu.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan JBPM Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul perusuh di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Dia menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember 2018. Mahkamah Koroner di Shah Alam menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula bagi prosiding.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rofiah Mohamad memaklumkan, pihaknya akan menentukan sama ada Dr Shahrom dibenarkan untuk memberi keterangan semula atau sebaliknya.

Biar apa pun yang dibentangkan, rakyat Malaysia hanya mahu tahu satu perkara. Apakah sebenar yang berlaku kepada Muhammad Adib?

Rakyat masih belum pandai buang sampah

in Lidah Pengarang by

MAJLIS Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menguatkuasakan tindakan kompaun RM50 kepada individu yang membuang sampah merata-rata di tempat awam.

Pelaksanaan peraturan itu dipertahankan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan berkata, ia bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat untuk bersama-sama menjaga kebersihan sekitar pusat bandar raya.

Malah kata Ahmad Samsuri, walaupun tindakan tersebut dilihat agak keras, namun ia dilakukan bagi memastikan persekitaran Kuala Terengganu bersih terutama menjelang Aidilfitri nanti.

Kompaun kesalahan membuang sampah bukan isu baharu kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) lain sudah lama menguatkuasakannya.

Majlis Bandaraya Subang Jaya misalnya pada 2007 telah menguatkuasakan peraturan berkenaan dengan mengenakan hukuman denda lebih keras kepada pesalah.

Begitu juga dengan PBT lain di negara ini, majoritinya sudah memperuntukkan undang-undang untuk memberikan pengajaran kepada orang ramai bagi memastikan persekitaran negara kita lebih bersih.

Selain itu, kerajaan juga dalam usaha untuk memasang CCTV bagi mengekang aktiviti pembuangan sampah di merata-rata tempat.

Jika diteliti, sudah banyak usaha untuk mengawal persekitaran kita daripada terus menjadi lokasi pembuangan sampah sewenang-sewenangnya.

Bahkan ada cadangan supaya jumlah tong sampah ditambah di banyak kawasan dan taman perumahan supaya tiada ruang sampah dibuang merata-rata.

Namun, semuanya tidak akan mencapai matlamat jika sikap orang ramai yang pengotor dan gatal tangan jika tak buang sampah merata-rata.

Sikap yang baik apabila keadaan dalam kereta sendiri bersih. Sikap yang tak baik apabila sampah dari dalam kereta itu dibuang melalui tingkap dan memenuhi jalan raya.

Seperti kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bahawa 60 peratus daripada 32 juta rakyat Malaysia masih ‘belum pandai’ membuang sampah ke dalam tong sampah.

“Sekarang ini, budaya yang kita nak angkat ialah orang kena cari tong sampah, bukan tong sampah cari orang,” kata beliau.

Isu UEC, matrikulasi hantui DAP

in Analisis Sinar by

IMPIAN Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk tidak mahu menjadi parti pembangkang selama-lamanya akhirnya menjadi kenyataan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Keputusan PRU14 sememangnya mengejutkan semua pemimpin dan ahli-ahli DAP sendiri. Kemenangan besar dengan memperoleh 42 kerusi Parlimen dan 94 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah satu rekod luar biasa.

Hasilnya dalam sekelip mata, sebahagian besar pemimpin-pemimpin pusat dan negerinya diberi pangkat dan kuasa dalam kerajaan. Ada yang dilantik menjadi menteri, timbalan menteri, timbalan Speaker Dewan Rakyat, senator dan exco.

Dulu pembangkang, kini menjadi kerajaan. Jadi sudah tentu cara kerja mereka pun berubah. Mereka tidak lagi mengkritik kerajaan yang menjadi rutin harian mereka selama ini. Sebaliknya, mereka perlu lebih bersifat tanggungjawab menitikberatkan masalah rakyat.

Memasuki tempoh setahun membentuk kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pujian bagaimanapun perlu diberikan kepada beberapa pemimpin DAP yang memikul tugas dengan cekap dan berdedikasi.

Antaranya, Timbalan Pengerusi, Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia; Setiausaha Organisasi, Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan dan Timbalan Setiausaha Publisiti, Yeo Bee Yin sebagai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Timbalan Pengerusi Wanita, Hannah Yeoh sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sekadar menyebut beberapa nama.

Bagaimanapun, ia tidak pula berlaku pada beberapa pemimpinnya terutama sekali yang memegang portfolio membabitkan kepentingan kaum Cina. Isu pendidikan misalnya jelas masih gagal diselesaikan dengan baik.

Tidak dinafikan, kemenangan besar DAP pada PRU14 adalah hasil sokongan padu diberikan pengundi Cina. Selain mahu memastikan BN hilang tampuk pemerintahan, pengundi Cina seperti sepakat sokong DAP kerana setuju menerima janji-janji diberikan oleh DAP sepanjang kempen PRU lalu.

Barangkali ada yang masih mengingati taburan janji-janji DAP kepada pengundi Cina. Kata DAP, sekiranya menjadi kerajaan, sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dijamin akan diiktiraf kerana ia telah menjadi sebahagian daripada manifesto PRU.

Namun, sehingga hari ini, janji tinggal janji. Sijil UEC masih belum diiktiraf secara rasmi. Pemimpin DAP kata ia tetap akan diiktiraf, cuma masa tidak dipastikan. Ternyata kaum Cina tidak dapat terima jawapan sedemikian.

Kegagalan mengiktiraf UEC tidak terhenti melukakan hati kaum Cina di situ sahaja. Datang pula pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada pembentangan Bajet 2019 untuk memotong dana Universiti Kolej Tuanku Abdul Rahman sebanyak RM24.5 juta dan memperuntukkannya dengan hanya geran RM5.5 juta.

Kata Lim yang juga Setiausaha Agung DAP, universiti kolej itu layak mendapat geran berjumlah RM30 juta jika universiti itu memutuskan hubungannya dengan MCA.

Masyarakat Cina umumnya tidak setuju langkah dibuat oleh Guan Eng itu. Mereka menganggap universiti kolej itu perlu diberi bantuan kerajaan kerana telah melahirkan ramai graduan yang kebanyakan terdiri daripada keluarga golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Kedua-dua isu pendidikan itu yang menyebabkan masyarakat Cina mulai rasa tidak percaya kepada DAP dipanaskan lagi pula dengan isu matrikulasi yang tercetus baru-baru ini.

Pada 24 April lalu, Kabinet bersetuju mengekalkan kuota kemasukan dengan 90 peratus untuk pelajar Bumiputera manakala 10 peratus kepada bukan Bumiputera.

Keputusan ini segera mendapat reaksi daripada masyarakat Cina yang mencadangkan jumlah kuota kepada bukan Bumiputera perlu ditambah. Mereka turut mendakwa menteri-menteri DAP gagal membela nasib pelajar Cina seperti yang diharapkan.

Untuk menjadi kerajaan yang adil dan beramanah, tugasnya cukup berat. Oleh itu, dalam menghadapi isu matrikulasi ini, pemimpin-pemimpin DAP yang mempunyai jawatan dalam kerajaan memilih jalan untuk mendiamkan diri, malahan ada yang cuba mengelak diri ketika ditanya wartawan.

Kita mungkin boleh faham apabila menjadi menteri atau timbalan menteri, mereka sudah tidak boleh memberikan kenyataan dengan bebas.

Maka berlakulah tuduhan kerap dilemparkan ramai pihak pemimpin-pemimpin DAP kini sudah tidak boleh dipercayai lagi.

Kaum Cina yang sebelum ini percaya pemimpin-pemimpin DAP yang begitu lantang mengkritik kerajaan BN sebelum ini, rupa-rupanya tidak jauh bezanya dengan pemimpin-pemimpin MCA ketika menjadi menteri atau timbalan menteri.

Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Patuhilah lampu isyarat merah

in Pojok by

MINGGU lalu kita nyaris kemalangan.

Puncanya apabila sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki muda dengan selamba dan tanpa rasa bersalah melanggar lampu isyarat berwarna merah.

Nasib baik sempat tekan brek. Kalau tidak, mungkin ada yang telah menjadi arwah. Tapi dalam hati memang menyumpah seranah.

Kita selalu perhatikan perangai penunggang motosikal ini di berapa lampu isyarat.

Mereka dengan bersahaja melakukan kesalahan tersebut tanpa rasa takut disaman atau dilanggar kenderaan lain. Apakah mereka ini buta warna?

Ada juga yang bertindak terlebih berani dengan berhenti di tengah-tengah persimpangan menanti masa sesuai untuk melanggar peraturan lalu lintas.

Ramai terlupa, sikap mementingkan diri ini merugikan semua pihak, kerana selain memperjudikan nyawa dan keselamatan diri sendiri, ia turut membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Isu sebegini tidak akan ada penyelesaian selagi penunggang motosikal tidak sedar perlakuan merbahaya sebegini tidak mendatangkan manfaat kepada mereka.

Bila berlaku kemalangan, biasanya orang lain yang dipersalahkan.

Lebih leceh bila terpaksa buat laporan polis dan kena siasat punca kejadian. Kemudian terpaksa pula buat tuntutan insurans. Bukankah membuang masa? Orang lain punya pasal, kita pula yang menjadi mangsa.

Apa pun, kita perlu bersedia untuk berhenti sekiranya lampu isyarat bertukar menjadi kuning.

Kalau lampu merah menyala, berhenti sahaja. Bukan lama sangat pun. Jangan pentingkan diri sendiri.

Patuhilah warna lampu isyarat demi mengelakkan tragedi kemalangan yang sepatutnya boleh dicegah dengan begitu mudah.

Pertimbangkan duit raya kepada peneroka Felda

in Lidah Pengarang by

SERAMAI 112, 635 peneroka di seluruh negara ketika ini sedang resah atau hilang ‘mood’ untuk menyambut Aidilfitri berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih tidak memberi keputusan muktamad berhubung pemberian bonus atau ‘duit raya’.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, kerajaan tidak berupaya memberi sebarang janji dalam mengumumkan duit raya kepada peneroka seperti amalan sejak 2011 susulan keadaan kewangan negara yang dibebani pelbagai hutang.

Kenyataan Mohamed Azmin itu nyata memberi kesan kepada peneroka Felda yang ketika ini yang berdepan masalah ketidaktentuan harga komoditi dan pendapatan yang tidak menentu.

Dengan harga hasil kelapa sawit yang merudum, keadaan itu membuatkan golongan peneroka Felda ketika ini bergelut untuk menyara kehidupan harian keluarga masing-masing.

Kurang dua minggu lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri, sudah tentu peneroka Felda mengharapkan kerajaan PH dapat meneruskan tradisi kerajaan terdahulu yang tidak pernah terlepas memberi bantuan khas kepada peneroka Felda untuk membantu meringankan beban mereka membuat persiapan.

Tahun lalu selepas mengambil alih pentadbiran negara, kerajaan PH telah memperuntukkan kira-kira RM50 juta bagi tujuan itu.

Setidak-tidaknya ada sedikit saguhati untuk mereka berbelanja dalam membuat persiapan raya.

Ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN), Felda mampu memberikan duit raya sebanyak RM500 kepada peneroka Felda.

Dengan pendapatan di bawah RM1,000 sebelum ditolak hutang, jumlah itu sangat besar maknanya kepada mereka.

Peneroka Felda tidak boleh lagi menerima alasan-alasan lazim yang diberikan seperti penyelewengan pentadbiran terdahulu dan kedudukan kewangan yang teruk.

Kerajaan PH pula tidak boleh menjadikan hutang negara sebagai alasan tidak memberikan bantuan hari raya kepada kumpulan yang sering mendapat manfaat itu daripada kerajaan terdahulu.

Pertimbangkanlah pemberian duit raya kepada peneroka kerana sumbangan mereka terhadap ekonomi negara amatlah besar.

Sekurang-kurangnya berikan mereka sedikit kegembiraan bagi menyambut kedatangan 1 Syawal yang bakal tiba.

Harapan untuk jadi kurus pada bulan puasa

in Pojok by

“ADUH, patutnya bulan puasa ni lagi senang nak turunkan berat badan. Tapi sudah dua minggu puasa, rasanya berat badan aku makin naik. Apa yang silapnya?” rungut seorang rakan ketika kami sedang moreh di sebuah restoran yang menyajikan cheese naan ‘best in town’ (paling sedap dalam bandar).

Bukan rakan itu sahaja yang gagal dalam misi hendak menguruskan berat badan ketika bulan puasa. Lagi berat daripada sebelum puasa. Sebelum puasa berat badan 80 kilogram (kg) tetapi ketika bulan puasa tiba-tiba naik lagi 5kg.

Mana tidaknya, begitu banyak godaan di bazar Ramadan. Sana sedap, sini sedap. Kalau boleh semua hendak dibeli untuk berbuka puasa. Kalau larat, semuanya hendak dimakan.

Mentang-mentang penat berpuasa, habis macam-macam jenis kuih muih dan juadah yang dibeli.

Itu belum termasuk undangan berbuka puasa dengan hidangan bufet di hotel-hotel mewah. Waktu siang menahan lapar dan dahaga tetapi apabila berbuka tak ingat dunia. Belum termasuk bermacam-macam jenis air manis yang diminum ketika berbuka.

Kesudahannya, kenyang yang teramat sangat, mengantuk dan tidur. Sebenarnya tanpa kita sedar, jumlah kalori dan gula yang diambil ketika berbuka juga boleh melebihi kadar yang biasa kita ambil ketika tidak berpuasa.

Keadaan itu menyebabkan penghasilan lemak.

Waktu bersahur pula, makan ala kadar untuk melapik perut. Tetapi ada rakan ini makan sahur seperti makan tengahari. Cukup berselera. Selepas perut kenyang, sambung pula tidur. Kesudahannya, terlajak solat Subuh.

Seboleh-bolehnya elakkan makan dua tiga jam sebelum tidur.

Bersenam? Jauh sekali. Langsung tidak produktif pada bulan puasa. Seorang rakan lagi rakan mencelah, “Aku 10 hari puasa, pakai seluar dah londeh!” Ini lagi hebat. Apa formulanya?

“Ingatkan dah kurus, rupanya getah seluar dah putus!”

Kami sama-sama ketawa.

Trend penjawat awam pinjam ah long

in Lidah Pengarang by

PENDEDAHAN Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda pada Wacana Sinar Harian kali ke-111 di Shah Alam semalam bahawa ada kumpulan penjawat awam berhadapan masalah hutang yang serius dan terjebak dengan pinjaman ah long adalah satu situasi yang sangat membimbangkan.

Walaupun tiada statistik yang diberikan namun dilaporkan jumlah mereka yang terlibat dengan pinjaman ah long ini agak besar. Ini adalah satu masalah beban hutang dan psikologi yang sedang dihadapi masyarakat dan perlu dibendung daripada terus berleluasa.

Kemelut ini tidak boleh dipandang ringan kerana jika tidak ditangani, kita bimbang penjawat awam ini akhirnya terjebak dalam isu lain. Kita juga tak mahu ada perkara buruk berlaku kepada mereka.

Menurut Azih, penjawat awam yang terlibat dalam masalah hutang yang serius boleh dikenakan tindakan tatatertib dan boleh dibuang kerja. Bagaimana mereka mahu fokus kepada kerja sekiranya dibelenggu ketakutan kerana dikejar ah long yang menuntut hutang.

Kita tak mahu kerana hutang, akhirnya mereka hilang pekerjaan dan timbul pula penderitaan lain kepada keluarga secara keseluruhannya. Bahkan kita juga khuatir sekiranya mereka yang terdesak mendapatkan wang sanggup mengambil rasuah atau menjual maklumat rahsia negara.

Gaji rendah selain kos sara hidup tinggi pada masa kini menjadi dua faktor utama penjawat awam meminjam wang daripada ah long bagi mendapatkan pinjaman wang dengan cara mudah.

Lebih membimbangkan, turut dilaporkan terdapat ah long yang beroperasi dalam perkhidmatan awam dengan beberapa kakitangan kerajaan bekerja separuh masa sebagai ejen mereka yang bersedia memberikan pinjaman pada bila-bila masa.

Bagi mengatasi masalah ini, kakitangan awam perlu menguruskan pendapatan mereka dengan bijak. Berbelanja mengikut keperluan atau ukur baju di badan sendiri. Jangan boros dan belanja ikut nafsu.

Utamakan perbelanjaan kepada perkara-perkara yang perlu khususnya melibatkan perbelanjaan keluarga. Penjawat awam juga perlu mendisiplinkan diri dalam mengatur perbelanjaan serta membuat jadual belanjawan secara bulanan mengikut pendapatan yang diterima.

Paling penting, elakkan meminjam daripada ah long kerana tindakan itu akhirnya akan menjerat diri sendiri.

Seronok jadi geng bawang?

in Analisis Sinar by

BAWANG. Satu perkataan yang sinonim dengan rakyat Malaysia. Jika dulu bawang hanya digunakan dalam masakan, tetapi penggunaannya kini telah diperluaskan. Bawang ialah istilah terbaru yang digunakan apabila merujuk kepada individu yang sedang memperkatakan sesuatu isu atau bergosip atau lebih tepatnya ‘membawang’.

Mereka yang membawang itu pula diberi gelaran tertentu seperti mak cik atau pak cik bawang, geng bawang, tentera bawang, bawang rangers dan macam-macam lagi.

Siapa yang layak jadi geng bawang? Rasanya semua orang pernah merasa menjadi geng bawang atau dilabel sebegitu, asalkan anda dilihat sedang membawang.

Di mana untuk jumpa mereka ini? Jika mahu dengar sesi membawang secara live, boleh pergi ke kenduri-kendara, pasar malam, pantri pejabat atau mana-mana lokasi, malah di surau dan masjid pun ada orang membawang.

Cara paling senang untuk mengesan geng bawang ini adalah dengan membuka saja media sosial. Pergi ke pautan berita yang dikongsi oleh laman-laman popular, buka ruangan komen dan nah! ‘Bersepah’ geng bawang memberikan pandangan dan hujah masing-masing.

Tidak dinafikan ada komen-komen yang positif. Tetapi jika membaca komen-komen yang negatif, boleh sesak nafas dibuatnya.

Jika misalnya kisah yang dikongsi itu berkaitan perceraian artis popular, geng bawang akan tampil dengan teori dan spekulasi masing-masing tentang punca di sebalik perceraian itu. Lagaknya seperti mereka berkongsi kelambu dengan artis tersebut.

Lain pula jika isu pembunuhan dipaparkan, pasti ada yang memberi komen seolah-olah merekalah polis, peguam dan hakim. Tidak dapat dibayangkan apa perasaan ahli keluarga mangsa jika membaca komen-komen di media sosial.

Lebih malang jika anda tularkan dengan video yang tidak sepatutnya, bersiap sedialah untuk dihentam secara berjemaah oleh geng bawang. Silap hari bulan, mungkin satu keturunan malu untuk keluar rumah.

Media sosial yang dulunya menjadi tempat paling bahagia untuk berkongsi aktiviti harian, makanan kegemaran dan lokasi percutian, kini mungkin bagi sesetengah orang ia berubah menjadi tempat menakutkan.

Masakan tidak, penangan geng bawang terlalu besar dan sukar dikawal. Kadang kala sekecil-kecil isu pun ada saja yang tidak kena di mata mereka.

Semuanya ghairah dan berlumba-lumba untuk meninggalkan komen sehingga terlupa menjaga perasaan orang lain. Ayat yang digunakan pula melampaui batas, ikut sedap jari yang menaip.

Ramai yang seronok membawang di media sosial sehingga tidak sedar telah pun menjadi pembuli siber. Mereka terlupa atau mungkin buat-buat lupa bahawa apa yang ditulis di media sosial itu boleh meninggalkan kesan mendalam kepada individu yang diperkatakan.

Kalau setakat tutup akaun Facebook kerana tidak tahan dihentam geng bawang mungkin tidak apa lagi. Tetapi bagaimana pula jika ada yang mengalami tekanan dan lebih teruk sehingga membunuh diri?

Seperti kes PU Abu dan bekas isterinya, Ain ‘Afini yang kecoh diperkatakan baru-baru ini. Ain sendiri mengakui bahawa dirinya stress membaca kecaman dan kritikan netizen sehingga bayi dalam kandungannya tidak aktif.

Dalam kes ini, PU Abu yang teruk ‘dibantai’ netizen, tetapi Ain turut terkena tempiasnya. Bayangkan jika kandungannya bermasalah, adakah geng bawang mahu bertanggungjawab? Tetapi bukan dalam semua kes geng bawang dipandang negatif. Kesepakatan geng bawang boleh dipuji jika melibatkan kes berkaitan maruah negara, agama dan bangsa misalnya.

Mungkin masih ada yang ingat lagi kes laman Facebook Sukan Paralimpik Antarabangsa (IPC) ‘diserang’ ribuan bawang Malaysia gara-gara keputusan jawatankuasa IPC membatalkan hak penganjuran Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching.

Atau kes Senator Fraser Anning yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman sehingga ‘ditepek’ telur. Walaupun dia jauh nun di Australia, bukan penghalang untuk geng bawang Malaysia turut ‘menyerangnya’ di laman sosial.

Apa pun, tidak salah untuk membawang asalkan anda menjaga kata-kata, fahami sensitiviti orang lain dan bukan sekadar menaip tanpa kawalan.

Jadilah geng bawang yang berhemah dan bukan beremosi kerana setiap komen anda di laman sosial diperhatikan.

Ambil pengajaran daripada kes seorang wanita yang dipecat serta merta kerana menulis komen tidak sesuai berkenaan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim. Tersilap membawang, kerja pun hilang.

Raya dalam hambatan komersialisme

in Pojok by

TREND makan bufet memang tidak dapat dipisahkan pada bulan Ramadan. Tinjauan Sinar Harian pada tahun ini mendapati harga bufet Ramadan makin menggila bukan kepalang.

Rata-rata hotel menawarkan harga bufet mencecah RM100 untuk seorang dewasa, bahkan jangan terkejut kerana ada hotel meletakkan harga bufet Ramadan setinggi RM236 untuk satu kepala.

Ya, tawaran harga yang tinggi itu diiringi dengan ledakan ratusan jenis menu. Tapi hakikatnya berapa pinggan sangatlah seseorang itu mampu makan untuk berbuka puasa.

Akhirnya kita akan mendengar betapa banyak makanan yang dibazirkan pada bulan Ramadan.

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Malaysia mendedahkan sepanjang bulan Ramadan setiap tahun, sebanyak 270,000 tan makanan yang tidak diusik dibuang!

Seorang aktivis masyarakat pernah berkata, jika disusun longgokan makanan 270,000 tan itu, ia bersamaan ketinggian 30 buah bangunan KLCC.

Ya, itulah penangan komersialisme pada musim perayaan kita.

Bulan Ramadan bukan lagi diisi dengan penekanan kepada amal ibadah dan amal jariah tetapi tanpa kita sedar sedikit demi sedikit Ramadan kita telah dieksploitasi oleh industri perniagaan yang mengaut keuntungan.

Penangan komersialisme dalam menyambut Syawal ternyata lebih hebat. Apa tidaknya, lokasi tumpuan bisnes seperti di kompleks beli-belah atau Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di tengah-tengah Kuala Lumpur selain Bangi dan Shah Alam di Selangor sesak setiap kali cuti umum atau cuti hujung minggu sepanjang Ramadan.

Orang ramai bukan sahaja sanggup beratur panjang, bahkan berhabisan ribuan ringgit lantaran termakan pujukan iklan komersialisme seperti raya hanya setahun sekali atau raya mesti meriah.

Itu belum dikira dengan sofa baharu, langsir baharu, kuih raya penuh satu almari atau rumah terbuka yang mengalahkan majlis kenduri.

Apa yang menyedihkan tekanan komersialisme pada musim lebaran menyebabkan ramai yang sanggup menghabiskan duit simpanan sepanjang setahun untuk membuat persiapan lebaran.

Lebih menyedihkan apabila yang sanggup membuat pinjaman peribadi.

Walaupun pahit untuk diakui, hakikatnya saban tahun musim perayaan kita dihambat budaya komersialisme oleh peniaga-peniaga besar yang menukarnya menjadi keuntungan berlipat ganda.

Telur rebus kicap di Jogja, nasi minyak di KL

in Analisis Sinar by

AURA Rumah ALLAH pada bulan Ramadan sangat luar biasa. Suara alunan al-Quran bergema tidak berhenti. Daripada budak kecil, anak muda, warga tua, mualaf hingga kepada warga asing bersatu dengan satu misi penting. Masing-masing seboleh-bolehnya mahu menggenggam infiniti pahala. Bahasa tubuh setiap jemaah memberi refleksi bahawa mereka ialah pemburu syurga.

Di Rumah ALLAH, sarat dengan pelbagai cerita dan suasana. Kelazimannya, saya terhibur mendengar suara riuh kanak-kanak memecah keheningan masjid. Ada yang menempelak. Bising. Alah, usahlah dimarahi budak-budak itu. Lama-kelamaan, mereka akan mengerti masjid itu untuk apa.

Sekali-sekala saya mendengar pelajar tahfiz yang sedang mengaji melabuhkan kehibaan mereka dengan tangisan kecil. Barangkali, maksud di sebalik kalimah al-Quran begitu menusuk kalbu. Dataran hati saya bergetar melihat perlakuan indah itu.

Di Rumah ALLAH juga, darjat seseorang tidak dinilai. ‘Filosofi’ itu nampaknya difahami. Saya melihat beberapa tokoh terkenal hadir tanpa protokol.

Seperti kelaziman, pada bulan Ramadan, masjid bertalu arus menerima tajaan makanan daripada para dermawan dan syarikat korporat. Menunya memang lazat seperti kari ayam, ikan masak lemak, nasi tomato dan nasi minyak. Pakej dilengkapkan lagi dengan kuih-muih dan air.

Ketika berada di sebuah masjid di Kuala Lumpur, saya bersembang dengan seorang wanita dari Cheras. Katanya, beliau dan tiga anaknya akan menaiki LRT setiap hari untuk berbuka puasa di masjid. Wanita itu sambil memegang sebungkus nasi tomato berkata, pada bulan Ramadanlah mereka anak-beranak boleh makan sedap. Tangkai tas yang hampir putus dan selipar bersaiz besar daripada kaki yang dipakai dua anaknya membuatkan saya mengerti mengapa kata-kata itu lahir daripada mulutnya.

Melihat hidangan hebat-hebat disajikan itu, memori saya terimbau yang kenangan berpuasa di Jogjakarta, Indonesia. Saya memberitahu rakan baik saya (anak jati Jogja) hasrat mahu bertarawih di beberapa masjid di sana.Impian itu ditunaikan dengan membawa saya ke sebuah masjid yang sudah berusia lebih 100 tahun.

Sebelum itu, saya dibawa ke satu lorong (seperti bazar Ramadan) untuk membeli juadah. Saya pelik, rakan saya tidak membeli apa-pun. Tidaklah saya bertanya kenapa? Saya? Berjenis-jenis kuih dibeli.

Alunan

Pada jam 5 petang, masjid itu sudah dipenuhi ramai jemaah. Saya tidak mendengar suara hingar-bingar orang atau kanak-kanak bercakap. Sebaliknya, hanyalah alunan kalam suci kedengaran melalui pembesar suara. Ramai juga khusyuk membaca al-Quran.

Petugas-petugas masjid pula bertungkus-lumus memasak lauk dan nasi. Setengah jam sebelum azan bergema, semua beratur mendapatkan makanan. Tiada ‘adegan’ meminta ekstra lauk atau nasi.

Disebabkan itulah kali pertama saya berbuka puasa di bumi asing, saya teruja. Namun, sebaik saya membuka kotak makanan, isinya cuma nasi putih dan telur rebus masak kicap. Semua orang bersungguh-sungguh menikmatinya kecuali saya yang terpinga-pinga. Tidak mahu dianggap memilih, saya ‘gagahkan’ diri untuk makan. Tekak saya tidak boleh menerimanya lalu saya capai makanan yang dibeli tadi. Sebelum itu, saya menoleh ke kiri dan ke kanan. Nampaknya, seperti tiada seorang pun yang membawa makanan lain kecuali saya. Seperti ada yang tidak kena, saya ikat kembali plastik kuih dan terus menghabiskan makanan masjid.

Selepas bertarawih, rakan saya membawa saya ke sebuah kedai kopi hipster. Saya sudah tidak lalu makan. Di benak saya terlalu banyak soalan yang mahu diajukan kepadanya.

Tidak sempat saya membuka mulut, rakan saya yang kini ibu kepada dua zuriat berkata: “Lynn, yang pertama, masjid itu sebuah masjid sederhana. Biaya kewangan hasil keikhlasan hati manusia. Berapa yang diperoleh, itulah yang diberi (makan) kepada jemaah.

“Kalau kamu tertanya kenapa aku tidak membeli makanan di lorong itu kerana aku akan membawa kamu ke masjid. Di masjid itu, kami makan apa sahaja yang dihidangkan. Kalau kami bawa makanan lain, jemaah lain yang fakir akan memandang. Jadi, untuk tidak mengecilkan hati mereka, kita makan sama-sama apa yang tersedia.

Oh, garisan pemikiran saya tidak memikirkan sampai ke tahap itu. Saya terdiam. Perasaan saya dijajah dengan emosi hiba yang berlebihan. Saya kembali ke Kuala Lumpur dengan satu renungan perspektif yang berbeza.

Saya kembali beriftar di masjid di Kuala Lumpur. Ternyata, limpahan rezeki di mana-mana masjid di Malaysia cukup murah. Kebetulan, pihak masjid mengagihkan telur rebus. Namun, telur rebus itu dimakan bersama nasi minyak dan kurma paha ayam.

Peristiwa kecil di sebuah masjid di Jogja itu memberi definisi yang sangat mendalam. Di Malaysia cukup bertuah. Justeru, kita wajib belajar bersyukur dan berterima kasih kepada ALLAH SWT di atas limpah dan kurnia-Nya.

Saya tidak perlukan pengalaman lain kerana setiap kali Ramadan, kenangan di sana menyedarkan bahawa hidup ini perlukan kesederhanaan.

Semoga pada bulan mulia, kita sama-sama menyebarkan kebaikan, bukan propaganda. Cuci hati daripada terus berprasangka buruk. Semoga ALLAH SWT terus menyayangi kita. Amin.

Mazlina Abdul Majid ialah Pengarang Rencana Sinar Harian

1 2 3 25
Kembali UTAMA