PRK Sandakan: 270 pengundi awal mengundi esok

in PRK Sandakan by

SHAH ALAM – Seramai 270 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan akan mengundi esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata, mereka adalah anggota polis yang akan mengundi di Mes Pegawai Kanan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

“Pusat pengundian awal di Mes Pegawai Kanan PPM Sandakan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 2 petang, manakala bagi pusat mengundi di Rumah Kelab IPD Sandakan akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

“Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh setiap ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang terdiri daripada wakil organisasi dan badan bukan kerajan (NGO) yang dilantik SPR,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, proses pengundian awal juga akan disiar secara langsung menerusi laman Facebook rasmi SPR.

PRK Sandakan diadakan selepas penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt dari DAP meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

SPR menetapkan tarikh mengundi pada 11 Mei manakala hari pengundian awal adalah esok.

Dalam pada itu, PRK Parlimen Sandakan yang menyaksikan saingan lima penjuru itu merupakan PRK ke-8 diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu. – Bernama